Di Malaysia juga tidak terkecuali, hari istimewa tersebut disambut oleh pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Persidangan Ramsar mengenai Tanah Lembap yang Berkepentingan Antarabangsa, terutam sebagai habitat burung air adalah suatu perjanjian antarabangsa yang telah ditandatangani antara kerajaan-kerajaan sebagai rangka kerja memulihara tanah lembap dan potensi alam semula jadinya yang kemudiannya dikuatkuasakan pada 21 Disember 1975.

Sehingga kini, sebanyak 169 negara setuju menandatangani persidangan tersebut yang beribu pejabat di Switzerland. Terdapat 2,293 kawasan tanah lembap dalam senarai dengan keluasan 225,418,823 hektar (ha). Malaysia juga telah menyertai Persidangan Ramsar (Ramsar Convention) pada 10 Disember 1994. Biasanya tanah lembap ini termasuklah kawasan paya bakau, rumpai laut, terumbu karang dan pelbagai ekosistem yang lain.

Tapak Ramsar Tasik Bera mempunyai keluasan 31,120 ha. Tasik semula jadi terbesar di Malaysia itu terletak kira-kira 70 kilometer (km) dari bandar Temerloh.

Di Johor pula, Tapak Ramsar Tanjung Piai mempunyai keluasan 526 ha dan 400 ha tanah lembut berlumpur. Tanah Lembap Kukup pula berkeluasan (647 ha) dan Sungai Pulai seluas 9,126 ha. Negeri Johor secara umumnya mempunyai kawasan bakau yang luas 18,740 ha yang telah diwartakan pada 1923 lagi.

Taman Negara Tanah Lembap Kuching (KWNP) pula berkeluasan 6,610 ha terletak 30 km dari bandar raya Kuching diwartakan pada 10 Oktober 2002.

Tapak Ramsar Tanah Lembap Hilir Kinabatangan-Segama merupakan kawasan tanah lembap dan perlindungan hidupan liar terbesar di negara ini. Kawasan seluas 78,803 ha ini meliputi kawasan hutan bakau dan paya gambut di pantai timur Sabah. Tapak ini mengandungi tiga kawasan hutan simpan iaitu Hutan Simpan Trusan Kinabatangan seluas 40,471 ha, Hutan Simpan Hidupan Liar Kulamba (20,682 ha) dan Hutan Simpan Kuala Maruap dan Kuala Segama (17,650 ha).

Tapak Ramsar Tanah Lembap Kota Kinabalu (KK Wetlands) pula berkeluasan 24 ha merupakan satu daripada dua kawasan tanah lembap di dunia yang terletak dalam kawasan 10 km dari sebuah bandar.

Perlindungan dan pemuliharaan kawasan tanah lembap terutama kawasan paya bakau menjadi perhatian antarabangsa setelah berlakunya tsunami Aceh pada 26 Disember 2004. Pelbagai persidangan diadakan bagi membincangkan hal berkaitan tanah lembap terutama kawasan pantai.

Tanah lembap mempunyai kepelbagaian biologi yang tinggi dan berperanan penting dalam memberikan perkhidmatan ekosistem seperti sumber makanan, bekalan air, perlindungan daripada ribut, pengawal banjir, pengawal hakisan, penapis air dan penstabil cuaca tempatan.

Tanah lembap juga penting dalam ekonomi seperti perikanan, pertanian, penghasilan kayu balak, sumber tenaga, sumber hidupan liar, pengangkutan, rekreasi serta peluang-peluang pelancongan.

Hutan bakau yang subur penting dalam kehidupan marin untuk pembiakan dan tumbesaran hidupan laut seperti ikan, ketam, kerang dan udang. Struktur akar pokok bakau sesuai untuk menghalang hakisan pantai dan habitat hidupan laut.

NGO bantu pemuliharaan

Persatuan Kebajikan Nelayan Pantai Pulau Pinang (PIFWA) antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif di Utara Semenanjung sejak penubuhannya pada tahun 1994.

Aktiviti pada asasnya bagi menjaga kebajikan nelayan pantai daripada aktiviti menangkap ikan secara haram.

Ini kerana aktiviti tersebut menjejaskan pendapatan nelayan pantai, kemusnahan alam semula jadi pantai dan pencemaran yang boleh mengganggu kawasan ikan membiak serta membesar, dan memulihkan kawasan sekitar pantai yang berkepentingan kepada nelayan pantai.

Kesepakatan nelayan pantai melindungi dan memulihara ekosistem pantai bagi kepentingan mereka telah mendapat perhatian ramai pihak termasuk jabatan kerajaan dan swasta.

Lebih daripada 30 syarikat swasta dan agensi kerajaan telah komited membantu PIFWA melindungi dan memulihara ekosistem pantai melalui pelbagai aktiviti mereka. Antara aktiviti yang aktif ialah menanam spesies bakau di pantai.

Hampir 20 spesies bakau ditanam bukan sahaja untuk membantu aktiviti perikanan, tetapi boleh dijadikan kawasan penyelidikan dan pendidikan hutan bakau di Pulau Pinang masa hadapan.

Pulau Pinang yang pesat membangun sudah tentu memberikan kesan kepada ekosistem hutan bakau di persisiran pantai. Aktiviti PIFWA di Sungai Aceh, Pulau Pinang membantu memantau dan memulihara ekosistem hutan bakau di negeri berkenaan.

Aktiviti persatuan telah mendapat pengiktirafan daripada banyak pihak.

Mungkin aktiviti persatuan tersebut sama dengan aktiviti Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) yang menerajui aktiviti berkaitan tanah lembap di Taman Alam Kuala Selangor (KSNP).

KSNP merupakan antara tempat singgah utama burung berhijrah dan dalam senarai Kawasan Penting Burung (IBA) di Malaysia dalam laluan burung berhijrah EAAF (East Asia Australia Flyway).

Taman tersebut yang diuruskan oleh MNS ini juga merupakan tempat tarikan pelancong tempatan dan antarabangsa yang utama di Selangor.

Kebanyakan tanah lembap menjadi tumpuan burung berhijrah dan merupakan IBA di dunia.

Kawasan tanah lembap pantai di Malaysia menjadi tempat singgah burung berhijrah dalam kawasan laluan utama EAAF.

Malaysia menjadi rakan EAAF yang ke-28 pada November 2012.

Telok Bako Buntal di Sarawak adalah tapak jaringan EAAF ke-112, menyertai EAAFP pada 15 Mei 2013, sebagai kawasan yang dilindungi.

Kini EAAFP disertai 17 negara, enam agensi antara kerajaan, sebanyak 11 NGO serta sebuah sektor swasta.

Laluan EAAF ini sangat penting bagi burung berhijrah dari kawasan Artik Rusia dan Alaska (Amerika Syarikat) ke Australia dan New Zealand.

Lebih 50 juta burung air melalui Asia Timur dan seluruh Asia Tenggara yang sangat cepat membangun dan memberi tekanan kepada burung berhijrah serta habitat mereka.

Kebanyakan kawasan pasang surut IBA yang sangat produktif menjadi tempat persinggahan burung berhijrah mencari makan dan berehat sekarang ini terancam akibat aktiviti manusia dan bencana alam.

Fenomena tersebut bukan sahaja mengancam hidupan liar tetapi juga manusia.

Kawasan seperti Kuala Gula dan Kuala Selangor boleh diperkenal sebagai tapak Ramsar yang baharu. Kuala Gula telah pernah dicadangkan sejak 2003 lagi untuk diberi pengiktirafan tersebut seperti dilaporkan media massa pada 28 Ogos 2003.

Menteri Besar Perak pada masa itu Tan Sri Mohd. Tajol Rosli Ghazali dilaporkan memaklumkan kerajaan negeri semasa itu bersetuju untuk memberikan 1,200 ha di Kuala Gula untuk tapak Ramsar. Cadangan diulangi Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali pada 14 Ogos 2015.

Kuala Gula yang kaya dengan burung-burung berhijrah, aktif dengan penternakan kerang dan ketam perlu diberikan perhatian.

Pihak bertanggung jawab bolehlah mengaktifkan semula cadangan Kuala Gula sebagai tapak Ramsar. Mungkin Kuala Gula dan Kuala Selangor boleh diketengahkan sebagai tapak Ramsar baharu di negara ini.

Semua pihak hendaklah menghormati kawasan tanah lembap yang dilindungi dan tapak-tapak Ramsar ini dengan memastikan aktiviti pembangunan yang dijalankan tidak menyebabkan kemusnahan atau mengganggu keseimbangan ekosistem berkaitan.