• Nama biasa perosak: Lelompat daun mangga
  • Nama saintifik: Dua spesies yang biasa dijumpai adalah :

i. Idioscopus (Idiocerus) nitidulus Wlk

ii. Idioscopus clypealis Leth.

  • Famili: Cicadellidae
  • Order: Homoptera
  • Perumah utama: Mangga
  • Penyebaran: Asia Tenggara dan India
  • Status perosak: Salah satu perosak utama tanaman mangga di Malaysia

Pengenalan:

Dewasa – Lelompat dewasa I. Nitidulus berwarna coklat. Terdapat jalur nipis keputihan merentangi bahagian depan dan di bahagian hujung sayap hadapan. Badan berbentuk seperti baji dengan bahagian kepala lebar dan tirus di bahagian abdomen.

Telur – Telur berbentuk panjang bujur dan berwarna putih jernih, berukuran 0.5 mm panjang. Pada hujung telur yang terdedah terdapat unjuran lilin putih berfungsi sebagai pelindung kepada telur tersebut.

Nimfa – Anak yang baru menetas berwarna putih kekuningan dan bertukar menjadi coklat kehitaman.

Edaran hidup lengkap (telur sampai dewasa mengambil masa antara 12 hingga 16 hari.

Biologi dan Ekologi: Lelompat dewasa dan nimfa dijumpai pada jambak bunga dan pucuk terutama pada musim panas yang berpanjangan atau kemarau. Biasanya populasi lelompat meningkat pada musim kemarau. Lelompat dewasa dan nimfa menghisap cairan sel pada kuncup bunga, jambak bunga dan pucuk muda. Hisapan cairan sel menyebabkan pembesaran terbantut. Jika populasi lelompat tinggi, bunga-bunga akan layu dan kering. Tabiat lelompat mengeluarkan sisa buangan yang mengandungi manisan yang jatuh pada permukaan daun menggalakkan pertumbuhan kulat hitam. Ini akan mengurangkan cahaya sampai ke permukaan daun menyebabkan fotosintesis terganggu.

Lelompat bertelur pada tisu-tisu muda iaitu pada tangkai bunga dan pucuk. Ia menyelit telur berderetan antara dua hingga 12 biji dalam kulit atau epidermis tisu-tisu muda.

Terdapat lilin putih pada tempat-tempat telur tersebut diselitkan. Telur menetas selepas dua atau tiga hari. Nimfa berwarna putih kekuningan yang kemudian bertukar menjadi coklat. Nimfa bersalin kulit (moult) empat kali dan menjadi dewasa dalam tempoh antara 10 hingga 13 hari.

Kerosakan: Lelompat dewasa dan nimfa menghisap cairan sel pada kuncup bunga, jambak bunga dan pucuk muda. Jika populasi lelompat tinggi, pertumbuhan akan terbantut, jambak bunga akan layu dan kering. Di samping itu, tisu-tisu tangkai bunga dan tunas dan tulang daun muda, lelompat betina akan meletakkan telur mengalami kecederaan dan pecah sehingga jangkitan kulat berlaku. Ini juga menyebabkan pembesaran jambak bunga terbantut. Tabiat perosak ini mengeluarkan sisa buangan mengandungi manisan yang jatuh pada permukaan daun menggalakkan pertumbuhan kulat hitam (sooyu mould), mengurangkan cahaya sampai ke permukaan daun menyebabkan fotosintesis terbantut.

Kerugian: Jika populasi lelompat tinggi dan tidak dikawal secara berkesan, maka jambak bunga akan layu dan kering. Putik-putik buah yang baru terjadi juga akan gugur.

Kawalan: Kawalan kimia

Kawalan kimia dilakukan jika perlu sahaja. Pengesanan lelompat perlu dilakukan terutama ketika pokok-pokok mula mengeluar pucuk dan ketika jambak bunga mulai terbentuk. Jika perosak ini dikesan, semburan racun serangga perlu dilakukan. Racun-racun yang boleh digunakan antaranya cypermetrin dan gamma cyhalothrin.

ULAT PENGOREK PUCUK

  • Nama biasa: Ulat pengorek pucuk (Mango shoot borer)
  • Nama saintifik: Chlumetia transverse Walk.
  • Famili: Noctuidae
  • Order: Lepidoptera
  • Perumah utama: Mangga
  • Perumah gantian (lain): Lychee
  • Penyebaran: Malaysia, Indonesia, Filipina dan India
  • Status perosak: Minor

Pengenalan:

Dewasa – Kupu-kupu dewasa berwarna hitam keabuan dengan panjang rentangan sayap antara 16 mm hingga 20 mm. Sayap depan mempunyai jalur berbentuk zig-zag merentangi sayap tersebut. Deretan bintik coklat terdapat pada tepi depan sayap hadapan. Sayap belakang berwarna lebih cerah daripada sayap hadapan.

Telur

Larva – Ulat yang baru menetas berukuran kira-kira tiga mm panjang, badan berwarna putih pucat dengan kepala hitam dan berkaki. Ia bertukar menjadi kemerahan, kemudian ungu. Ulat yang dewasa berwarna ungu dengan tompok-tompok putih kotor di bahagian (dorsal) atas dan bawah (ventral), 16 mm panjang.

Kepompong – Berwarna coklat gelap. Terbentuk dalam kepompong (cocoon) bersutera.

Biologi dan Ekologi : Kupu-kupu betina meletakkan telur sebiji-sebiji pada pucuk dan daun muda. Telur menetas dalam waktu satu hingga dua hari. Selepas menetas ulat mengorek masuk ke dalam tulang daun muda dan membesar dengan memakan tisu-tisu daun tersebut. Selepas satu atau dua hari ulat akan keluar dari tempat tersebut seterusnya mengorek masuk ke dalam pucuk melalui tisu lembut pada hujung tunas pucuk tersebut. Ia membesar dengan memakan tisu dalam pucuk tersebut. Ulat akan mengorek ke bawah, membentuk terowong sepanjang antara 10 hingga -15 cm, iaitu sepanjang ruas terujung. Kadang-kadang terowong terus menembusi ruas-ruas berikutnya. Longgokan najis dapat di lihat pada lubang masuk. Daun pada pucuk yang diserang akan gugur dan pucuk pula akan kelihatan layu dan akhirnya mati. Selepas menetas, ulat bersaiz tiga mm panjang dan berwarna putih pucat dengan kepala hitam dan berkaki. Warna ulat menjadi kemerahan dan berubah menjadi ungu semasa matang. Ulat matang berukuran 25 mm panjang.

Tempoh larva adalah antara 12 hingga 20 hari. Ulat matang akan keluar daripadaa pucuk dan memasuki rekahan atau lubang pada batang atau masuk ke dalam tanah untuk menjadi kepompong. Ia membentuk kepompong yang bersutera. Dalam kepompong tersebut, ia berwarna coklat gelap dan berukuran antara lapan hingga 12 mm panjang. Tempoh kepompong adalah antara antara 15 hingga 18 hari. Di makmal, kupu-kupu dewasa yang diberi makan air gula boleh hidup selama kira-kira 15 hari.

Kerosakan: Ulat mengorek pucuk muda menyebabkan pucuk layu dan mati.

Menyebabkan pembungaan tidak menjadi selepas itu. Di samping itu, ulat ini kadang-kadang juga merosakkan jambak bunga.

Kawalan: Kawalan kimia

Jika perlu sembur racun serangga seperti beta-cypermethrin pada kadar yang sesuai.