Umumnya, MARDI diberi mandat untuk menjalankan penyelidikan dari segi sains, teknikal, ekonomi dan sosial berkenaan pengeluaran, penggunaan dan pemprosesan segala tanaman (kecuali komoditi seperti getah, kelapa sawit dan koko), ternakan dan makanan.

MARDI turut dikenali sebagai pusat pengumpulan dan penyebaran maklumat dan nasihat berkenaan perkara saintifik, teknikal dan ekonomi berkaitan industri makanan, pertanian serta industri asas tani.

Menurut Dr. Mohamad Roff, pada tahun ini, pihaknya mahu menumpukan perhatian terhadap beberapa perkara penting yang seiring dengan hasrat kerajaan dalam bidang pertanian.

“Antaranya adalah dalam sektor tenusu, (memandangkan) kerajaan sedang berusaha meningkatkan kadar pengambilan produk susu segar dalam kalangan penduduk negara ini.

“Dicatatkan pengambilan susu segar dalam kalangan rakyat negara ini secara purata hanyalah sekitar 20 liter (L) setahun berbanding negara- negara maju lebih tinggi,” katanya.

Justeru itu, beberapa projek dan kajian sedang diusahakan oleh MARDI terutamanya di Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC), Muadzam Shah, Pahang.

Tambah Dr. Mohamad Roff, kerajaan turut melaksanakan pelbagai program berkaitan susu sejak dahulu lagi seperti Program Susu 1Malaysia (PS1M).

Ia dilaksanakan sedari awal persekolahan iaitu sekolah rendah lagi. Bagaimanapun, kebanyakan produk tenusu tersebut diimport dalam bentuk serbuk dan dibancuh apabila hendak digunakan.

“Apa yang ditekankan oleh kerajaan adalah pengambilan susu segar dan untuk itu pelbagai kajian berkaitan sedang dilaksanakan. Antaranya adalah pemilihan baka yang sesuai dengan keadaan cuaca di negara ini, kajian tentang bahan makanan yang terbaik seperti sumber rumput napier dan makanan tambahan,” katanya.

MENJAMIN KUALITI SUSU

Pemilihan baka lembu tenusu dan makanan yang terbaik adalah bagi menjamin kualiti susu yang terbaik juga dapat dikeluarkan. Oleh demikian, kajian berkaitan beberapa spesies rumput napier dan jagung turut dijalankan.

Bagi kajian bijian khas untuk ternakan iaitu jagung, terdapat empat spesies yang ditanam di Stesen MARDI, Seberang Perai, Pulau Pinang dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkenaan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Seterusnya, tumpuan diberikan kepada kajian berkaitan durian untuk dipasarkan ke negara China.

“Buat masa ini durian yang terdapat di China adalah berasal dari Thailand, namun penggemar durian di sana lebih menyukai durian dari negara kita.

“Keadaan tersebut menunjukkan potensi durian Malaysia menembusi pasaran China amat besar, sekali gus dapat memenuhi permintaan rakyat mereka,” katanya.

Ujar Dr. Mohamad Roff, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah melakukan promosi secara besar-besaran dengan membawa 3,000 tan metrik durian ke Nanning, China.

Ternyata, mereka amat menyukainya terutama varieti Musang King sehinggakan terdapat pengunjung yang datang sejauh antara 300 hingga 400 kilometer (km) dari tempat promosi untuk merasai durian Malaysia.

Walau bagaimanapun, China masih lagi tidak membenarkan import secara terus buah durian dari Malaysia dan kebanyakan buah durian yang terdapat dibawa masuk dari Hong Kong.

Terdapat hampir 1.5 juta batang pokok durian varieti musang king dalam negara yang mampu memenuhi permintaan peminatnya di China.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa masalah yang terlebih dahulu perlu diatasi, antaranya keadaan durian yang cepat lebam apabila dibekukan terlalu lama serta kebenaran mengeksport secara terus ke tanah besar China.

Pada tahun ini, sebanyak RM41 juta diperuntuk kepada MARDI untuk pembangunan institut tersebut dan dan daripada jumlah itu, kira-kira RM500,000 diperuntuk untuk R&D durian.

Ditanya apakah harapannya dalam menerajui MARDI, Dr. Muhamad Roff berkata, berdasarkan pengalaman berkhidmat selama lebih 30 tahun diinstitusi tersebut, beliau mahu memfokus kepada projek yang berimpak tinggi kepada masyarakat.

Antaranya, meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pegawai penyelidik MARDI menerusi pelajaran.

“Kita akan menggalakkan mereka ini (pegawai penyelidik) menyambung pelajaran mereka ke peringkat tertinggi agar dapat melahirkan modal insan yang terbaik.

“Saya juga berharap mereka tidak hanya bergantung harap kepada peruntukan dan dana yang diberikan oleh kerajaan semata-mata untuk menjalankan R&D ,” katanya.

Jelasnya, penyelidik MARDI harus bergerak dan memberanikan diri memohon dana lain daripada projek-projek luar yang lebih besar.

MARDI sehingga kini terkenal sebagai sebuah pusat yang memberikan perkhidmatan pakar dalam industri makanan dan pertanian serta industri asas tani seperti perkhidmatan perundingan, makmal analisis, jaminan kualiti serta R&D kontrak.

Selain itu, institut tersebut juga menawarkan pelbagai jenis latihan untuk memajukan industri makanan dan pertanian serta industri asas tani serta memberi bantuan untuk R&D dalam bidang sains tulen, sains gunaan, teknikal dan ekonomi berkenaan dengan industri pertanian.

Pihaknya juga turut mengekalkan hubungan dengan organisasi awam atau swasta dalam dan luar negara yang terlibat dalam penyelidikan saintifik, teknikal, ekonomi dan sosial berkenaan dengan industri makanan dan pertanian serta industri asas tani.

Antara lain MARDI turut menjalankan penyelidikan dan pengeluaran berbentuk komersial, mempromosi dan mengeksploitasi penemuan penyelidikan serta perkhidmatan pengembangan kepada industri makanan dan pertanian serta industri asas tani.