Hari ini pameran seumpama itu telah mengharungi proses penjenamaan dan kini di kenali sebagai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MAHA).

Jika penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) bertujuan lebih kepada menghargai peranan dan sumbangan tiga golongan tersebut sebagai pembekal makanan untuk rakyat negara ini, tidak salah jika MAHA dianjurkan setiap dua tahun sekali mempunyai maksud atau agenda yang lebih besar daripada itu antaranya termasuklah mengangkat martabat sektor pertanian sebagai enjin ketiga dalam pertumbuhan ekonomi.

Dalam satu pertemuan di selepas membuat lawatan projek pertanian di Merbok Kedah, baru-baru ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau optimis MAHA 2016 akan kekal menarik perhatian kerana program tersebut sudah mempunyai jenama dan tradisinya yang tersendiri.

“Pada asasnya MAHA merupakan satu jenama dan sudah menjadi tradisi untuk memberi penghargaan kepada golongan petani, penternak dan nelayan, inilah peluang kepada pengusaha memperkenalkan produk dan jenama mereka,” katanya.

Kata beliau, MAHA juga menjadi platform bagi kerajaan dan swasta memperkenalkan teknologi pertanian, aspirasi Malaysia dalam menghadapi isu keselamatan makanan, menekankan pengeluaran produk berkualiti dengan harga murah.

Justeru pemilihan tema MAHA 2016, Makanan Kita Masa Depan Kita amat tepat dalam konteks negara kita perlu mempertahankan kedaulatan makanan sebagai asas kekuatan negara. Selain kekuatan ketenteraan dan diplomatik, kesinambungan masa depan negara bergantung kepada kebolehan kita untuk mencapai ‘kemerdekaan’ dalam aspek pengeluaran makanan

Kesinambungan masa depan pengeluaran makanan pula, bergantung kepada adanya generasi pelapis yang mempunyai kemahuan dan kemahiran untuk memastikan bidang pertanian dan industri asas tani terus maju dan mampu terus menegakkan kedaulatan negara.

MAHA 2016 juga menarik minat 20 negara menyertainya.

Satu lagi penekanan khas pada MAHA 2016 adalah mengangkat semula industri madu menjadi antara agenda kementerian ini

Sebagai contoh, kempen Mulakan Hari Anda dengan Madu bertujuan menggalakkan amalan pengambilan madu tempatan setiap hari sebagai makanan kesihatan tambahan bagi rakyat Malaysia.

Bertemakan Mulakan Hari Anda Dengan Madu, kempen ini bertujuan menimbulkan kesedaran orang ramai mengenai nilai nutrien dan manfaat madu dalam membantu mengekalkan kesihatan dan kecergasan diri.

Ahmad Shabery sebelum ini mengumumkan madu kelulut dijenamakan sebagai superfood pertama Malaysia di peringkat antarabangsa yang bermaksud satu label pemasaran yang diberikan kepada makanan yang kaya dengan nutrien yang sangat bermanfaat untuk kesihatan dan kesejahteraan manusia.

Dalam keadaan semasa, produk superfood di pasaran yang mempunyai nilai dan harga yang tinggi berbanding sumber superfood segar adalah seperti buah rasberi, ceri, teh hijau dan sebagainya.

Sejajar dengan maksud tersebut, satu ruang khas akan disediakan di Dewan A MAEPS pada MAHA 2016 yang akan memaparkan segalanya mengenai madu kelulut.

Atas maksud yang sama juga seorang juruteknik dari Terengganu, Sabri Ali dilantik menjadi duta madu kelulut, akan berjalan secara solo sejauh 2,000 km merentasi 14 negeri selama 50 hari, di samping untuk menguji keberkesanan madu kelulut sebagai makanan tambahan yang memberikan tenaga untuk aktiviti-aktiviti fizikal. Beliau telah memulakan perjalanan Kelulut Walk ini dari Taman Botani Negara Shah Alam Selangor pada 8 Oktober lalu.

Kesimpulannnya, tiga jabatan di bawah kementerian dan semua agensi di bawahnya perlu terus menggembleng tenaga bagi memastikan sektor pertanian sebagai pengeluar kita benar benar merupakan masa depan kita dengan pengeluaran yang meningkat dan berkualiti pada harga murah.

Ini kerana setiap tahun, defisit perdagangan agromakanan kita semakin membesar hingga berada pada tahap RM18.1 bilion pada tahun lalu.- LAUPA JUNUS