Kebajikan nelayan adalah keutamaan LKIM dalam menerajui sektor perikanan negara. Kebajikan sosial wira-wira yang tidak didendang ini direncana dan dirangka sebaiknya dengan penubuhan Persatuan Nelayan (PN) baik di peringkat kawasan, negeri dan kebangsaan.

Penubuhan persatuan tersebut bertujuan menyatupadukan masyarakat nelayan dalam satu gabungan kumpulan bagi menggemblengkan tenaga, daya usaha, pemikiran dan merancang serta melaksanakan setiap aktiviti dan perkhidmatan bagi keperluan serta kepentingan ahli-ahli khasnya dan masyarakat nelayan secara keseluruhannya.

PN juga bertindak sebagai medium penyampai atau suara kepada masyarakat nelayan dalam melahir atau mengemukakan pendapat, cadangan, hasrat sebenar dan permasalahan dari kumpulan sasar kepada mana-mana pihak berkaitan atau terus kepada kerajaan.

Dalam usaha untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat nelayan, peranan kumpulan nelayan (komuniti nelayan) yang terdiri daripada Kumpulan Wanita Nelayan (Kunita) dan Kumpulan Belia Nelayan (Kubena) terus diberi tumpuan.

Baru-baru ini Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek merasmikan Kumpulan Keselamatan Nelayan (Kesan) yang berperanan untuk membantu dalam misi bantuan bencana dan menyelamat kemalangan di laut.

Kumpulan sukarelawan ini merupakan gabungan di antara Kumpulan Keselamatan Nelayan (Kukenal) LKIM dan Sukarelawan Perikanan (Super) Jabatan Perikanan dengan keahlian seramai 8,500 orang.

Bahkan, LKIM juga telah menubuhkan Skuad Nelayan Antidadah yang bertujuan untuk membanteras gejala penagihan dan penyalahgunaan dadah dalam komuniti nelayan terutama kepada belia.

Ketua Pengarah LKIM, Datuk M. Saedon Ab Majid berkata, penubuhan Kesan dan Skuad Nelayan Antidadah adalah antara hasrat LKIM untuk melahirkan generasi atau masyarakat nelayan yang prihatin dan peka dengan persekitaran sekeliling mereka.

“Ini tidak hanya tertumpu di kawasan perkampungan nelayan bahkan di perairan semasa aktiviti penangkapan ikan dijalankan. Penubuhan kedua-dua kumpulan ini adalah usaha bersepadu antara LKIM dan pelbagai jabatan dan agensi yang berkenaan seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Terkini kementerian menerusi LKIM memperkasa Kluster Projek Ekonomi Persatuan Nelayan dengan penumpuan kepada enam kluster ekonomi iaitu, Penangkapan Ikan, Pemasaran Ikan dan Logistik, Pemprosesan dan Pemasaran Produk Asas Perikanan, Agropelancongan, Pengurusan Kompleks, dan Akuakultur.

Dengan pemerkasaan kluster projek ekonomi persatuan nelayan ini, peluang pekerjaan kepada golongan belia nelayan semakin terbuka dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan masyarakat nelayan.

Agropelancongan merupakan satu cabang yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat pada hari ini.

Tekanan kerja dan kerakusan pembangunan mendorong masyarakat hari ini untuk mencari ruang yang lebih dekat dengan alam untuk menghabiskan masa bersama keluarga. Kesempatan sebegini harus direbut oleh PN dalam membangunkan kluster agropelancongan.

LKIM sememangnya telah terlalu sinonim dengan program bantuan yang dapat meringankan kos sara hidup dan kesejahteraan nelayan seperti Elaun Sara Hidup Nelayan, subsidi minyak diesel dan petrol, Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan yang merupakan antara program yang dilihat membantu para nelayan secara langsung.

Sehubungan dengan itu, meniti usia 46 tahun penubuhan, LKIM akan lebih memfokuskan untuk mentransformasikan pemikiran nelayan dalam membangunkan masyarakat dan kehidupan mereka.

Kerajaan akan memberi platform asas dan nelayan sendiri yang akan menyuntik kebolehupayaan mereka dalam mengharungi pembangunan globalisasi sektor perikanan negara.

Sejajar dengan aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50), golongan nelayan juga perlu mencontohi kehidupan tradisional mereka untuk ditransformasikan kepada kehidupan yang lebih maju menjelang tahun 2050.

Ketika ini aktiviti penangkapan ikan di Malaysia masih dimonopoli golongan tua dan diharapkan generasi muda berminat untuk mewarisi sektor perikanan.

Mereka yang berkelulusan tinggi wajar digalakkan menceburi bidang ini kerana mereka mampu menggunapakai pelbagai kaedah dan teknologi bagi meningkatkan hasil perikanan seperti nelayan di luar negara. Tambah M. Saedon, sokongan dan bantuan ke arah transformasi akan diberikan sepenuhnya agar dapat mengubah persepsi yang nelayan bukan hanya dikaitkan dengan kerja-kerja 3D (dirty, dangerous and difficult).

Sumbangan subsektor perikanan meningkat

Pada tahun lalu, subsektor perikanan menghasilkan 2.06 juta tan metrik ikan, iaitu peningkatan sebanyak 3.70 peratus berbanding tahun 2015 iaitu sebanyak 1.99 juta tan metrik.

Pengeluaran ini merangkumi perikanan tangkapan marin, perikanan darat dan akuakultur. Dari segi nilai pula, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 9.24 peratus dalam tempoh yang sama iaitu sebanyak RM10.1 bilion berbanding RM9.3 bilion pada tahun 2015.

Pada tahun 2016 sahaja, bidang perikanan tangkapan dan akuakultur masing-masing menyumbang sebanyak 1.57 juta tan metrik dan 490,027 tan metrik kepada pengeluaran ikan negara. Bahkan, nilai keseluruhan industri perikanan berjumlah RM13 bilion setahun. Daripada jumlah itu, persatuan nelayan hanya mencatatkan nilai urus niaga sebanyak RM2 bilion (15.3 peratus) dengan jumlah keuntungan sekitar RM20 juta iaitu kurang daripada satu peratus.

Penekanan rangka strategi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi lima tahun sepanjang Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) adalah untuk menambah baik industri agromakanan menerusi pemodenan serta peningkatan dalam peluang pelaburan serta mempertingkat pemasaran.

Untuk merealisasikan hasrat tersebut, usaha memperkasa peranan pertubuhan peladang dan persatuan nelayan seperti Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Pertubuhan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) terus giat dilaksanakan termasuklah usaha memperkukuh jaringan dan rantaian nilai serta produktiviti.

Pengumuman peruntukan sebanyak RM7 juta bagi memantapkan organisasi pergerakan peladang, penternak dan nelayan semasa perasmian Hari Peladang,Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017 memberi suntikan semangat kepada pertubuhan dan persatuan untuk terus bergerak ke hadapan.

Hasrat kerajaan untuk mewujudkan kekayaan baharu menerusi agromakanan dan pertanian semakin diberi perhatian. Dalam sektor perikanan, pembangunan industri tuna terutama dalam industri pemprosesan diharap dapat mewujudkan lebih ramai pengusaha daripada komuniti nelayan dengan pendapatan yang tinggi. Bahkan, LKIM akan menggalakkan persatuan nelayan untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti penangkapan ikan laut dalam dan menceburi bidang akuakultur.

LKIM juga akan terus membimbing dan mengawal selia usahawan bimbingan sehingga ke peringkat yang lebih tinggi. Sehingga Jun 2017, seramai 898 orang usahawan bimbingan LKIM dari seluruh negara dengan pelbagai bantuan dan khidmat nasihat yang diberikan termasuklah ke arah peningkatan keupayaan pengeluaran pemprosesan, peningkatan kualiti dan pengkomersilan produk, pembangunan dan peningkatan kemahiran usahawan, pengkomersialan produk baharu dan nilai tambah, serta promosi dan penjenamaan produk.

Pembangunan produk inovasi juga akan terus diberi tumpuan bagi mempelbagaikan produk berasaskan perikanan yang sedia ada. Pematuhan kepada persijilan Halal dan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (Mesti) dititikberatkan bagi memastikan usahawan memenuhi keperluan asas untuk pemasaran produk ke peringkat yang lebih jauh.

Usaha sama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi pembangunan usahawan akan diteruskan seperti yang telah dilaksanakan di Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan Hasil Perikanan (CPPC) Pengkalan Kubor, Kelantan antara LKIM, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) serta Pusat Pengumpulan Hasil Laut (PPHP) Pangkor, Perak antara LKIM, kerajaan negeri dan SIRIM Berhad.

Stok Penimbal Ikan dilaksana

Diharap, bermula pada tahun depan, usaha LKIM untuk mewujudkan Stok Penimbal Ikan dapat dilaksanakan bagi menjamin bekalan ikan yang stabil pada masa-masa tertentu seperti musim tengkujuh dan lambakan.

Bagi menjayakan program tersebut, keperluan penyediaan kemudahan pembekuan Individual Quick Freezing (IQF) dan kemudahan penyimpanan perlu disediakan.

Program ini secara tidak langsung dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat dan memberikan harga yang berpatutan kepada nelayan.

Perkara tersebut telah dibangkitkan dalam Bajet 2018, iaitu kerajaan memperuntuk sebanyak RM50 juta kepada LKIM dan Lembaga Pemasaran Persekutuan (FAMA) dengan tujuan membolehkan pengguna membeli barang makanan pada harga berpatutan.

Selain itu, LKIM juga menggiatkan jualan ikan secara terus melalui persatuan nelayan kepada orang ramai terutama golongan B40, yang mana diharap dapat membantu warga kota untuk berjimat dan mendapatkan ikan segar.

Pengguna juga akan terus diberi pilihan untuk memilih Q’Fish sekiranya harga ikan segar terlalu tinggi dan cadangan penambahan lokasi jualan Q’Fish akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Menurut Datuk M. Saedon Ab Majid, pelayaran LKIM boleh dibahagikan kepada empat fasa utama. Kesemua fasa tersebut menjadikan LKIM lebih teguh untuk mengharungi masa depan yang masih jauh bersama wira-wira negara yang tidak didendang itu.

Penganjuran Program Gelombang Nelayan Nasional (GNN) 2017 di Kemaman, Terengganu baru-baru ini memberi pengiktirafan kepada golongan berkenaan.

Program tersebut mendapat sambutan yang luar biasa dan meyakinkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk memasukkan GNN sebagai satu acara tahunan dalam kalendar aktiviti negara.

Dalam pada itu, Pengerusi LKIM, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim menyambut baik hasrat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani untuk mewujudkan Bandar Perikanan yang lebih komprehensif di Malaysia.

Perancangan jangka masa panjang tersebut bakal membuka peluang dan menggalakkan penglibatan lebih banyak belia dalam sektor perikanan.