Pengusaha QM Agrofarm, Nizam Din, 42, berkata, kebanyakan pengusaha cili merah di negara ini mengalami kerugian disebabkan kemasukan cili dari luar negara yang dijual dengan harga serendah RM2 per kilogram (kg).

“Saya turut mengalami kerugian sebanyak RM25,000 pada tahun 2017 disebabkan permintaan yang rendah dan kesukaran menembusi pasaran negara yang berpunca da­ripada kemasukan cili import.

“Kami (usahawan cili) terpaksa menjual harga cili serendah RM3 per kg kepada pemborong dan perkara ini akan menyebabkan kerugian berlaku kerana harga biasa cili dijual sekitar RM6 per kg,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai lambakan cili yang berlaku di negara ini disebabkan kemasukan cili dari Vietnam, Thailand dan China yang menjadikan Malaysia sebagai lokasi pembuangan sayur-sayuran termasuk cili.

Tambahnya lagi, kerugian yang dialami disebabkan masalah ini menyebabkan kebanyakan usahawan cili di Kuala Lumpur dan Selangor gulung tikar dan terpaksa menutup ladang.

“Cili negara ini lebih berkualiti dan selamat untuk dimakan berbanding cili daripada luar negara yang menggunakan terlalu banyak racun serangga dan akan menjejaskan kesihatan jangka masa panjang,” katanya.

Sementara itu, Azahar Nordin, 39, berkata, pasaran cili sebelah Utara setakat ini tidak mengalami masalah lambakan cili dan kesukaran untuk dipasarkan dengan harga biasa iaitu RM6 per kg.

“Permintaan pasaran cili mempunyai musim-musim tertentu seperti hari perayaan dan keba­nyakan kemasukan cili import berlaku pada musim ini di se­belah bandar besar negara ini.

“Sebenarnya cili import perlu dikawal untuk mengurangkan usahawan-usahawan negara ini daripada mengalami masalah dan cili import ini juga menggunakan racun terlalu banyak yang akan menjejaskan kesihatan rakyat negara kita,” katanya.

Sementara itu, Syed Alif Syed Zainol Abidin, 31, berkata, tanaman cili yang diusahakan tidak mengalami masalah lambakan dan permintaannya masih lagi sama seperti sebelum ini.

“Penjualan cili sekarang adalah sebanyak 200 kg setiap hari untuk menampung permintaan daripada pembeli-pembeli di sekitar Kedah dan Perak.

“Dengan keadaan permintaan yang terlalu tinggi di pasaran, saya terpaksa meminta bantuan dan sokongan daripada rakan-rakan untuk menampung permintaan yang terlalu tinggi setakat ini,” katanya.