Kawasan tersebut dibangunkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) terletak di Kilometer 7 Jalan Batang Berjuntai - Rawang, Bestari Jaya yang dinamakan Selangor Fruits Valley (SFV).

Kawasan itu pernah menjadi destinasi pelancongan menarik dan kini selepas melalui penambahbaikan dan peningkatan kemudahan, SFV berwajah baharu dengan konsep yang sama iaitu pelancongan dan pendidikan berasaskan pertanian.

SFV adalah sebuah ladang buah-buahan tropika yang ditanam dengan pelbagai buah-buahan, sayur-sayuran dan herba. Ladang tersebut diwujudkan bagi menyahut hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk memodenkan sektor pertanian selaras dengan visi dan misi PKPS. Menerusi pembangunan SFV ini, ia akan dapat menjadikan kawasan tersebut lebih berdaya maju serta komersial, di samping menjana industri pertanian dan asas tani .

Menurut Pengurus Besar Kumpulan PKPS, Thamby Omar Mohamed, kawasan tersebut berkeluasan 946 hektar yang dikhususkan kepada tanaman pengeluaran makanan dan sayuran.

Beliau berkata, pada peringkat awal, kerja-kerja penebangan bermula pada 2003 dan setahun kemudian seluas 200 hektar (500 ekar) ditanam dengan belimbing.

“Tujuannya adalah untuk eksport (belimbing) ke Eropah tetapi masalah harga yang sukar untuk bersaing menyebabkan kerugian selama beberapa tahun berturut-turut,” jelasnya.

Beliau berkata, selepas enam tahun beroperasi iaitu pada 2009 kerugian yang dicatat adalah RM12.3 juta, manakala kos pembanguanan mencecah RM14 juta.

Pada 2009, pengurusan baharu mengambil alih projek berkenaan dan menutup kawasan tersebut kepada pengunjung buat sementara waku.

Beliau berkata, pada Julai 2014 beliau mengambil alih projek berkenaan kerana ada potensi untuk dibangunkan. Ketika itu beliau melabur sebanyak RM2.5 juta bagi kerja kerja baik pulih kemudahan infrastruktur termasuklah pavilion dan seminar berkapasiti 60 orang untuk kursus atau seminar.

Pavilion tersebut juga merupakan sebuah ruang tinjau setinggi tiga tingkat. Tingkat paling atas merupakan ruang tinjau utama kepada pengunjung yang dapat melihat hampir keseluruhan kawasan penanaman SFV.

Ia juga dilengkapi dengan sebuah dewan seminar yang mampu memuatkan 30 orang pada satu-satu masa, manakala di tingkat terdapat sebuah surau dan dua bilik rehat selain sebuah Makmal Bioteknologi. Di tingkat bawah pula, dibina kemudahan ruang niaga.

“Ketika ini projek sudah semakin stabil dan kawasan bertanam mencecah 930 hektar dengan tambahan kemuduhan seperti kolam dan hanya antara 20 hingga 30 hektar kawasan masih kosong. Kita juga menanam di kawasan seluas 182 hektar dengan pokok durian, nangka, cempedak, pulasan, rambutan kelapa, mangga dan tembikai dan terdapat 18 jenis buah buah secara keseluruhannya,’’ ujarnya.

Pada masa yang sama, seluas 40 hektar disewakan kepada pengusaha untuk tanaman lain seperti tembikai serta sayur-sayuran seperti jagung dan cili. Usahawan berkenaan dikatakan mampu meraih untung antara RM20,000 hingga RM30,000 setahun.

Beliau berkata, konsep pembangunan SFV itu bukan bertujuan mencari keuntungan sebaliknya menggalakkan pengusaha yang berminat menceburi bidang pertanian selain membantu meningkatkan pengeluaraan makanan negara. Ini kerana pihaknya juga menyewa kawasan tersebut daripada Kerajaan Negeri Selangor.

Sambutan menggalakkan 

Thamby Omar Mohamed juga berkongsi perasaan gembiranya kerana selain sambutan daripada pengunjung pada hujung minggu amat memberangsangkan, pihaknya juga mahu supaya masyarakat mendapat ilmu daripada lawatan yang dianjurkan.

Pihaknya membuka kawasan tersebut pada hari Sabtu dan Ahad bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang dengan sasaran maksimum 500 pengunjung sehari.

“Kadang-kadang kita tidak mampu tampung permintaan pengunjung yang datang ke sini,’ ujarnya sambil memberitahu yang kebanyakan datang bersama dalam 
keluarga.

SFV kini boleh berbangga dengan kemudahan yang disediakan semakin baik dan mampu menggamit pengunjung.

Beliau berkata, tambahan fasiliti baharu akan terus dilakukan termasuk cadangan pembangunan chalet, bilik seminar dan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain tambahan bot untuk riadah.

Selain itu, beliau juga bercadang membangunkan kawasan penternakan ikan dan marina jika mempunyai kemampuan.

Dalam masa sama sebuah pejabat ladang baharu akan dibangunkan sebagai kemudahan pegawai mengurus ladang SFV selain cadangan pembinaan taman orkid.