Menterinya, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, kerajaan melalui MPOB telah melakukan semburan kawalan ulat bungkus bersepadu percuma secara besar-besaran pada awal tahun ini bagi merawat tanaman sawit yang dijangkiti.

Katanya, sehingga Disember tahun lalu, seluas 33,000 hektar kawasan pekebun kecil sawit seluruh negara terjejas akibat serangan ulat bungkus dan Perak merupakan negeri kedua terjejas teruk selepas Johor yang melibatkan sebanyak 13,000 pekebun kecil.

“Keluasan tanaman sawit pekebun kecil persendirian yang diserang oleh ulat bungkus di Perak seluas 6,200 hektar, manakala 19,600 hektar pula adalah keluasan yang telah terjejas di Johor.

“Sementara di kawasan Hilir Perak, serangan ulat bungkus direkodkan di Sungai Kerang, Sungai Suli, Sungai Jawi, Sungai Kerawai dan Hutan Melintang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Pemimpin Bersama Pekebun Kecil Sawit.

Beliau sebelum itu melihat sendiri pelaksanaan semburan berasaskan Bacillus thuringiensis (BT) menggunakan dron dan semburan melalui traktor di kebun kelapa sawit di Batu 12, Teluk Intan, Perak baru-baru ini.

Tambahnya, bermula Januari 2018, kerajaan telah menyembur sebanyak 1,400 hektar kawasan pekebun kecil sawit persendirian yang terjejas di negeri Johor dan Perak.

Di kawasan Hilir Perak, hanya tanaman sawit persendirian di Sungai Kerawai telah bebas daripada jangkitan ulat bungkus dan kawasan-kawasan lain akan disembur bermula Mac lalu berdasarkan data terkini.

“Masalah ulat bungkus melibatkan sejenis ulat parasit yang hinggap serta menyerang dengan merosakkan keseluruhan pelepah sawit dari pokok ke pokok, merosakkan daun hijau sehingga kering.

“Kesan serangan ulat bungkus tersebut membimbangkan kerana ulat bungkus tersebut boleh mengurangkan produktiviti pokok sawit yang terlibat sehingga 50 peratus dan kerugian yang dianggarkan adalah melebihi RM120 juta setahun,” jelasnya.

Justeru itu, pada Oktober 2017, kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan sebanyak RM12.4 juta bagi pelaksanaan kawalan ulat bungkus secara bersepadu di kawasan tanaman sawit yang diusahakan oleh pekebun kecil persendirian.

Jelasnya, daerah Hilir Perak mempunyai keluasan tanaman sawit terbesar di Perak iaitu seluas 109,213 hektar atau 27 peratus daripada keseluruhan tanaman sawit di Perak.

Perak adalah merupakan negeri kelima terbesar dari segi keluasan tanaman sawit negara dan mempunyai 44,000 pekebun kecil yang mengusahakan tanaman sawit.

“MPOB akan terus membantu pekebun-pekebun kecil ini melalui semburan sama ada melalui kapal terbang, dron ataupun traktor.

“Bantuan ini diharap dapat meringankan bebanan pekebun kecil yang tidak mampu menampung kos kawalan ulat bungkus yang agak tinggi di pasaran. Diharapkan bantuan ini dapat mengembalikan semula kerugian yang terpaksa di tanggung oleh mereka,” jelasnya lagi. – AQILAH MIOR 
KAMARULBAID