Pengarah LPNM negeri, Mohd. Zamani Ab. Ghani berkata, bagi melancarkan lagi kerja-kerja perincian itu pihaknya telah bekerjasama Jabatan Pertanian Malaysia bagi mengesahkan perkara itu.

Menurutnya, kerja-kerja pencirian buah tersebut sedang giat berjalan sejak Januari lalu.

“Saya percaya sekiranya nanas ini disahkan sebagai Madu Kaca, harganya pasti me­lebihi varieti nanas Sarawak.

“Bukan itu sahaja, berstatus premium seperti nanas MD2 mampu melonjakkan pengeluaran nanas di negeri ini dengan bantuan LPNM,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Pencirian Nanas Madu Kaca di Kampung Gual Soksek, di sini semalam.

Yang turut hadir, Penolong Pengarah Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman Jabatan Pertanian, Ahmad Yusuf Mohd Kamil.

Mohd. Zamani memberitahu, sebelum ini, varieti itu dikenali sebagai nanas Sarawak namun selepas pemerhatian awal mendapati tanaman itu berbeza dari segi morfologi pokok dan buah tersebut.

Katanya, perkara itu dapat dilihat dari segi isinya yang mempunyai bentuk seperti kaca.

Sementara itu, Ahmad Yusuf berkata, Jabatan Pertanian menjalankan Program Pencirian itu untuk membezakan dengan varieti lain.

“Kita buat pemeriksaan di lapangan, untuk lihat buah, daun dan bunga sebelum kita bawa maklumat ini untuk diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Varieti Tanaman Kebangsaan.

“Kalau berbeza, kita akan daftarkannya sebagai nanas Madu Kaca,” ujarnya.