Pada masa dahulu, lada hitam diniagakan seperti emas dan hanya digunakan oleh golongan raja serta bangsawan. Ia berasal dari selatan India dan dibawa masuk ke Malaysia oleh pedagang dan peniaga rempah.

Malaysia merupakan negara kedua paling produktif dalam penghasilan lada hitam selepas Thailand, dengan pengeluaran nasional sebanyak 1,888 kilogram sehektar, tetapi, merupakan negara keenam pengeluar utama lada hitam dunia, selepas Vietnam, Indonesia, India, Brazil dan China.

Sarawak menyumbang kepada 98 peratus keseluruhan pengeluaran lada hitam nasional.

Sejarah penanaman lada hitam di Sarawak bermula pada tahun 1900, namun hanya diusahakan secara komersil bermula tahun 1956. Pokok lada hitam subur di kawasan panas serta lembap dan banyak ditanam sekitar Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong dan Sarikei.

Antara masalah utama industri lada hitam adalah pokok lada yang kurang produktif, kayu sokongan tanaman yang mahal dan tidak mampan (menggunakan kayu belian), harga pasaran yang tidak menentu, kos operasi penanaman yang meningkat dan kurang sambutan daripada generasi muda untuk meneruskan industri ini.

Menyedari bahawa pentingnya kelangsungan industri lada hitam di Sarawak khasnya dan Malaysia amnya, Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkenal projek Sarawak Pepper Farm @ UPM.

Usaha murni ini mengembleng usaha sama daripada tiga pihak utama iaitu UPM sebagai salah sebuah universiti penyelidikan bawah Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Kerajaan Negeri Sarawak dan Lembaga Lada Hitam Malaysia (LLHM).

Menurut Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris, kerjasama penyelidikan strategik itu akan membangunkan 25 ekar tanah di UPM Kampus Bintulu secara berfasa bermula pada 2018.

“Tiga program utama bawah penyelidikan ini adalah meliputi kawasan program penyelidikan seluas dua hektar (lima ekar), enam ha (15 ekar) untuk Program Pengeluaran Komersial dan dua ha untuk Program Ladang Komuniti.

Sementara itu, empat bidang utama dalam program penyelidikan yang akan diusahakan ialah Program Penanaman Lada, Program Perlindungan Lada, Program Teknologi Hiliran dan Program Dimensi Kemanusiaan yang akan diterajui penyelidik UPM dan LLHM.

“Ladang lada hitam ini akan dibangunkan dengan amalan penanaman baik dan lestari, dijangka akan menarik minat dan menjadi tumpuan pekebun-pekebun lada, usahawan, saintis, pelabur dan pelajar,” ujarnya.

Usaha yang dilakukan oleh UPM dan LLHM ini juga disambut baik oleh komuniti setempat apabila ia mendatangkan pelbagai manfaat dan faedah tidak kira dari segi kemudahan mahupun ilmu pengetahuan berkaitan penanaman lada hitam.

Dalam masa yang sama, program berkenaan akan menjadi platform kepada penyelidikan serta pembangunan haluan dan hiliran untuk manfaat pengkomersialan dan ladang untuk komuniti sebagai medan pemindahan pengetahuan serta teknologi kepada komuniti petani.

“Model-model interaktif penyelidik-petani akan menggalak dan mencetuskan minat masyarakat untuk menceburkan diri dalam usaha penanaman lada yang mempunyai prospek cerah.

“Kami percaya projek ini akan menjamin kelestarian penanaman lada hitam di negara ini , seterusnya menyokong matlamat negara untuk meningkatkan keluasan ladang dari 14,000 ha kepada 20,000 ha menjelang 2020, sekali gus menjadi pengeluar utama lada hitam dunia,” katanya. - 
Gambar HAFIZ JOHARI

Harapan baharu petani kecil

Usaha yang dilaksanakan oleh UPM dan Lembaga Lada Hitam Malaysia (LLHM) ini telah disambut baik oleh masyarakat di Bumi Kenyalang berikutan lada hitam merupakan antara tanaman utama di negeri itu, sekali gus menjadi punca pendapatan penduduk setempat.

Selain usaha meningkatkan keluasan kawasan penanaman lada hitam menerusi kegiatan menarik minat petani serta bakal petani, pengisian ilmu kemahiran tanaman dan penanaman serta usaha pemodenan ladang lada hitam selain kesedaran tentang risiko juga amat penting bagi mencapai kelestarian produktiviti lada hitam.

Beberapa amalan dan teknologi baharu juga akan diperkenal kepada petani-petani lada hitam hasil daripada penemuan para penyelidik.

Antara isu penting penanaman lada hitan dan pengeluarannya adalah amalan pembajaan seimbang yang boleh memenuhi keperluan produktiviti lada.

Ilmu pembajaan tanaman yang tepat mengikut keperluan tanaman boleh mengelakkan risiko kerugian dan kemerosotan kesuburan tanah.

Menurut salah seorang peserta Program Sarawak Pepper Farm @ UPM, Brodi Brina, 29, menerusi penyertaannya dalam program itu, ia memberikannya lebih harapan untuk berjaya lebih-lebih lagi sebagai seorang petani kecil sepertinya.

“Program ini banyak memberi ilmu bermanfaat kepada saya untuk berjaya dalam bidang ini kerana saya dapat belajar lebih mendalam dan mengamalkan kaedah-kaedah yang lebih betul dalam penanaman lada hitam.

“Sebagai contoh, menerusi formulasi dan kaedah pembajaan baharu yang bakal diperkenal bagi memenuhi keperluan nutrien tanaman lada akan membantu kami untuk mendapatkan hasil yang lebih tinggi,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi peserta program, Dominic Ritay, 66, berkata, usaha yang dilakukan oleh UPM dan LLHM itu sangat baik kerana Sarawak merupakan antara pengeluar lada hitam terbaik di dunia.

“Boleh dikatakan hampir kebanyakan petani lada hitam menanam tanaman ini secara membuta tuli tanpa ilmu yang betul.

“Jadi diharapkan dengan adanya program sebegini, ia dapat memperbaiki kaedah penanaman kepada yang lebih baik, sekali gus memberi peluang kepada komuniti untuk mendapatkan hasil terbaik,” katanya.

Selain daripada itu, program ini juga memberi tumpuan kepada usaha teknologi hiliran yang dapat membantu dalam aspek sains dan teknikal penuaian serta pemprosesan.

Dalam masa yang sama, pembangunan potensi lada hitam dan produk berkaitannya turut diberi perhatian dan bagi memastikan kesejahteraan keseluruhan ekosistem penanaman serta pengeluaran lada hitam berada dalam tahap terbaik, dan dalam masa yang sama, aspek sosioekonomi juga tidak dilupakan.

Keperluan kepada pembangunan sosioekonomi para penanaman lada hitam akan dinilai dan diterjemahkan bagi mencari peluang kepada proses penambahbaikan demi memastikan usaha yang dilakukan ini mempunyai ciri kelangsungan hingga manfaatnya sampai kepada generasi seterusnya.