Ulam atau sayur yang dikunyah itu pula hanya perlu dipetik dari rak di dalam rumah mengikut kesesuaian dan pilihan.

Bukan mudah merealisasikan impian tersebut, tetapi usaha ke arah itu sudah bermula dan penduduk yang tinggal di bandar mungkin boleh dijadikan sandaran.

Mereka yang tinggal di bandar mungkin berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi dan semuanya memerlukan wang untuk mendapatkan sesuatu.

Mereka perlu ke pasar membeli bahan mentah untuk dimasak termasuk sayur-sayuran.

Mereka yang mempunyai minat bercucuk tanam pula tidak mungkin boleh melakukannya kerana keluasan kawasan kediaman yang terhad. Tidak seperti mereka di kampung yang berpeluang memanfaatkan kawasan persekitaran rumah untuk menanam pelbagai jenis sayur-kegemaran.

Penduduk bandar secara umumnya sukar melakukan demikian disebabkan faktor kediaman bertingkat dan kawasan halaman yang terhad.

Namun, mereka yang masih berminat boleh sahaja mencuba konsep pertanian bandar menggunakan teknologi yang ditawarkan dan sesetengahnya sudah berada di pasaran.

Teknologi paling mengujakan bagi penduduk bandar yang ingin bercucuk tanam ditawarkan oleh penyelidik dari Fakulti Reka Bentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Khairul Aidil Azlin Abd. Rahman yang membangunkan sistem rak dekoponix iaitu menanam sayur-sayuran dalam rak khas menggunakan teknologi hidroponik.

Selain sistem berkenaan, beliau dan kumpulannya juga berjaya menghasilkan beberapa lagi konsep dekorasi dalam pertanian iaitu home decor, wall planter dan indoor farming

Set sistem rak dekoponix bukan sahaja mendapat liputan meluas ekoran kejayaannya memenangi pelbagai anugerah, malah diyakini mampu menyelesaikan isu pertanian bandar dan yang lebih penting sekuriti makanan.

Beliau yang juga pensyarah di Jabatan Reka Bentuk Perindustrian fakulti berkenaan berkata, konsep yang diperkenalkan adalah dekorasi digabungkan dengan pertanian.

Katanya, pokok ditanam dalam rak khas dan dibiarkan tumbuh dengan pengawasan sistem pengairan baja air terkawal.

Apa yang menariknya, menerusi konsep tersebut sayuran yang ditanam bukan sahaja untuk tujuan makanan, malah dekorasi atau hiasan pada bahagian sudut rumah, dinding, meja atau halaman.

“Dekorasi yang kami tampilkan sesuai untuk gaya hidup bandar, dijadikan sumber makanan dan hiasan semula jadi dengan pengurusan yang tidak rumit,” ujarnya.

Sistem pemasangan juga agak mudah kerana menyerupai konsep sebuah syarikat perabot antarabangsa iaitu hanya dengan empat skru dan bahan diperbuat daripada plastik empat tingkat. Berkongsi lebih lanjut Dr. Khairul Aidil Azlin berkata, beliau mendapat inspirasi membangunkan sistem tersebut berdasarkan isu keselamatan makanan jangka panjang terutama mereka yang tinggal di bandar.

Ini kerana kata beliau, di Lembah Klang sahaja kira-kira 52 peratus rumah adalah kos tinggi manakala kos sederhana dan rendah masing-masing 24 peratus.

Kebanyakan rumah berkenaan tidak mesra pertanian iaitu tiada ruang, koridor atau ruang selepas pagar untuk meletakkan pasu.

Justeru, atas faktor tersebut dan ada permintaan daripada masyarakat bandar terutama yang ambil peduli mengenai kualiti makanan yang mereka ambil selain untuk tujuan dekorasi apabila bercucuk tanam sendiri, beliau mencuba sistem tersebut.

Tanaman sayuran yang sesuai terutama berdaun adalah sawi manis, kailan, daun bawang dan pudina yang boleh dituai dalam tempoh sebulan sahaja.

Mereka juga boleh berkongsi dengan jiran yang mempunyai minat sama dan menuai sayur yang hendak dimakan sahaja.

Set prototaip berkenaan mula dibangunkan pada 2015 dengan geran awal sebanyak RM30,000 sebelum ditambah baik untuk geran sebanyak RM120, 000 manakala geran berikutnya diterima daripada Teraju sebanyak RM500,000.

 

 

 

 

Kata beliau, pada permulaan penyelidikan banyak skru terpaksa digunakan yang menimbulkan kerumitan ketika kerja-kerja pemasangan terutama pada bahagian koridor rumah.

Saiznya juga yang kecil memudahkan dimasukkan ke tempat letak barangan bagi kereka kompak atau dibawa masuk ke dalam lif.

Pengguna hanya perlu belajar secara minimum cara memasangnya dan menanam iaitu meletakkan benih pada span khas yang dimasukkan ke dalam pasu mini atau pot.

Sebuah motor untuk mengepam air digunakan dengan penggunaan elektrik minimum dan memerlukan pengawasan sepanjang masa.

Air yang mengandungi baja pula perlu ditambah ke dalam tangki apabila jumlahnya berkurangan.