Pucuk yang mempunyai mata tunas akan dipotong serong dan akan diselitkan pada potongan dahan terpilih pada pokok induk.

“Kemudian, plastik parafilm akan dililitkan pada keseluruhan cantuman dan pucuk untuk mengelakkan pengumpulan air di kawasan cantuman.

“Cantuman yang berumur dua minggu akan mula mengeluarkan mata tunas dan membesar menjadi dahan mangga harumanis. Pemilihan dahan atau ranting untuk dicantum pula bergantung kepada kesesuaian,” katanya.

Jelasnya lagi, dahan atau ranting yang sesuai adalah dipilih berdasarkan kekuatan dan bentuk dahan atau ranting itu sendiri bagi menghasilkan dahan pokok yang cantik dan mudah diselenggara.

Pemilihan pokok induk adalah amat penting bagi memastikan prestasi cantuman yang baik selain pemilihan pucuk harumanis yang perlu dilakukan dengan teliti agar peratusan cantuman berjaya lebih tinggi.

“Cantuman yang berjaya akan mula mengeluarkan tunas selepas dua minggu dan pada enam bulan pertama, pertumbuhan cantuman akan meningkat dengan drastik. Pada usia tujuh hingga lapan bulan, cantuman akan berupaya mengeluarkan bunga dan berputik,” katanya.

Selain meningkatkan kesedaran dan minat peladang terhadap tanaman harumanis menerusi kaedah penanaman dan pengurusan, Othman menambah, MARDI juga giat mengadakan ceramah teknikal berkaitan penjagaan tanaman itu menerusi bengkel peladang.

“MARDI memberikan komitmen tinggi untuk menghasilkan harumanis terbaik di negara ini selain mahu mendidik petani agar mengamalkan amalan pertanian baik (GAP),” ujarnya.

Dalam pada itu, salah seorang petani, Ramli Abu Seman, 55, berkata, permintaan terhadap buah harumanis adalah sangat tinggi buat masa kini, tetapi situasi ini juga agak merisaukan kerana kemungkinan akan berlaku lambakan harumanis disebabkan pengusaha yang semakin ramai.

“Selain lambakan harumanis, satu perkara lagi yang lebih merisaukan adalah masalah harumanis palsu yag dijual di pasaran.

“Oleh itu, MARDI dan jabatan lain berusaha sedaya upaya membantu petani untuk memastikan pembeli tidak tertipu dengan buah harumanis palsu yang kebanyakannya dijual di tepi-tepi jalan,” katanya.

Menurut Ramli yang mula mengusahakan tanaman harumanis sejak 1984 lagi, MARDI telah banyak membantu terutama dari segi khidmat nasihat dan kepakaran serta bantuan peralatan seperti racun dan baja.

“Dengan bantuan agensi serta jabatan kerajaan, saya mampu memperoleh keuntungan hasil lumayan.

“Namun begitu, masih terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi supaya petani seperti kami dapat memperoleh hasil yang optimum misalnya masalah serangan kutu pada buah apabila tiba musim berbunga dan berputik.

“Selain itu, reput dalam buah (IFR) juga menjadi antara cabaran utama kepada petani selain ancaman kulat yang merosakkan bunga serta masalah kecurian yang berleluasa terutama apabila tiba musim menuai buah,” katanya.

Tambahnya lagi, menjadi petani bukanlah perkara yang mudah kerana perlu berhadapan dengan pelbagai masalah dan cabaran yang bukan hanya melibatkan hasil dari pokok, malah ia turut melibatkan kepercayaan pembeli kerana pembeli mahukan yang terbaik dan berbaloi dengan apa yang dibayar.

“Oleh itu, bagi mereka yang berminat untuk menjadi petani apa yang paling utama adalah ilmu, kesabaran yang tinggi dan kerja keras untuk berjaya,” katanya.

Menjadi ikon negeri Perlis, mangga harumanis sememangnya digemari ramai orang kerana rasanya yang manis, berbau harum dan mempunyai isi tebal selain memiliki kandungan vitamin tersendiri.

Disebabkan keistimewaannya itu, harumanis telah mendapat permintaan tinggi dalam pasaran tempatan selain turut dieksport.

Walau bagaiamanapun, sasaran keluasan penanaman semakin merosot disebabkan beberapa faktor seperti pengeluaran hasil tidak stabil, kos pengeluaran meningkat dan harga pasaran tidak menarik.

Beberapa halangan ini telah dikenal pasti dan memerlukan pendekatan holistik bagi mencapai hasrat kerajaan untuk menjadikan harumanis sebagai komoditi utama negeri Perlis.

Justeru, bagi menampung permintaan buah harumanis berkualiti tinggi yang semakin meningkat dari semasa ke semasa, kerajaan telah mengambil inisiatif melalui kaedah penyelidikan bagi meningkatkan kualiti buah fenomena itu.

Salah satu agensi yang terlibat adalah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang telah melaksanakan projek pemulihan harumanis menggunakan teknik cantuman dewasa.

Projek yang melibatkan tiga kaedah utama iaitu kaedah pengakasan untuk pembentukan semula pokok harumanis, kaedah pemulihan pokok secara pembentukan dahan dan kaedah penukaran varieti sedia ada ke varieti harumanis melalui teknik cantuman dewasa juga bertujuan membantu peladang meningkatkan hasil pengeluaran mereka.

Pengarah MARDI Perlis, Dr. Wan Abdullah Wan Yusof berkata, ketiga-tiga kaedah itu akan digunakan bergantung kepada keadaan keperluan ladang terbabit.

“Projek pemulihan harumanis ini turut dirancakkan dengan adanya dana peruntukan dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan menyasarkan keluasan seluas 40 hektar (ha) untuk tujuan pemulihan semula.

“Keluasan pemulihan ini turut meliputi pembangunan semula kawasan harumanis yang terbiar dan pengaplikasian teknik cantuman dewasa (penukaran varieti),” katanya ketika ditemui Mega Sains di MARDI Arau, Perlis baru-baru ini.

Menerusi teknik cantuman dewasa itu, sasaran keluasan tanaman harumanis di negeri Perlis akan meningkat, sekali gus meningkatkan bekalan kepada pengguna seiring dengan peningkatan harga buah istimewa itu ketika ini.

Dalam masa yang sama, MARDI juga sedang menjalankan pelbagai kajian untuk mendapatkan hasil harumanis dengan kaedah yang lebih agronomi dan dalam masa yang sama ingin menghasilkan tanaman ini secara organik dengan mengurangkan penggunaan racun serangga agar masyarakat dapat menikmati buah yang selamat dimakan.

Sementara itu menurut Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Sharif Haron pihaknya banyak memulihara ladang harumanis di negeri itu .

“Kita juga menjalankan kajian mengenai penilaian kesesuaian cuaca dan tanah bagi harumanis di Semenanjung Malaysia selain kajian agronomi untuk meningkatkan hasil,” ujarnya.

Kajian tersebut kata beliau yang dijalankan sejak tahun lepas sehingga 2020 melibatkan 13 penyelidik pelbagai kepakaran, Dalam masa sama. MARDI membangunkan ladang harumanis contoh di negeri berkenaan.