Salahuddin Ayub

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub akan mengemukakan cadangan berkenaan kepada kabinet untuk mendapatkan kelulusan tidak lama lagi.

“Saya telah membuat kenyataan berhubung National Feedlot Corporation (NFC) sebelum ini. Satu kertas cadangan ke Kabinet akan saya bawa untuk teruskan projek ini yang objektifnya sangat baik untuk membekalkan 30 peratus keperluan daging tempatan.

“Insya-Allah, sekiranya projek ini diluluskan Kabinet dengan peruntukan diberikan, Johor akan menjadi hab penternakan lembu daging yang saya rasa terbesar dalam negara kita,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian di Pejabat Menteri Besar di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, dalam perbincangan tersebut beliau meminta Osman untuk meneliti semula status tanah di Muar, Segamat dan Pagoh yang sebelum ini dikatakan ladang untuk ternakan lembu bagi syarikat NFC supaya dapat menjayakan projek penternakan berkenaan.

Beliau berkata, kertas kerja projek penternakan tersebut akan disediakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal termasuk meneliti keluasan tanah yang terlibat.

Pihaknya memberi jaminan projek penternakan itu akan dilakukan dengan penuh tanggungjawab, telus dan dipantau oleh kementerian bagi memastikan matlamatnya tercapai.

“Ramai usahawan muda yang akan terlibat dan kita akan pilih operator. Kita akan pilih usahawan yang berminat dan memang berhasrat mahu jadi penternak berjaya.

“Mungkin nama (NFC) sahaja kita akan tukar, kita jenamakan semula,” katanya.