Buat kali kedua, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shbery Cheek mengetuai majlis penuaian jagung bijian bersama penduduk kampung sempena Seminar Pembangunan Industri Jagung Peringkat Kebangsaan 2017 di Kemaman, Terengganu baru-baru ini.

Projek Perintis Penanaman Jagung Bijian Kampung Dadong yang bermula Jun tahun lepas merupakan percubaan pertama Malaysia untuk menilai kebolehlaksanaan penanaman jagung di kawasan tanah sawah.

Projek tersebut merupakan inisiatif Jabatan Pertanian sejajar dengan hasrat Ahmad Shabery yang juga Ahli Parlimen Kemaman bagi mengurangkan kebergantungan kepada import makanan ternakan.

Beliau berulang kali mengingatkan bahawa kejayaan awal itu adalah permulaan kepada usaha berterusan kementeriannya untuk menjana kekayaan baharu terutama dalam kalangan penanam dengan penambahan pendapatan dan kadar guna tanah menerusi sistem giliran antara jagung dan padi. Dengan import jagung makanan ternakan mencecah empat juta tan setahun bernilai RM3.1 bilion, ia menjadi beban dalam imbangan dagangan (BOT) sektor pertanian.

Projek penanaman jagung bijian tersebut mula dilaksanakan tahun lepas dan disambung pada tahun ini. Pada tahun lalu, seluas 13 hektar (ha) jagung bijian ditanam dan 3.46 ha dituai dengan jumlah tuaian 3.706 tan sehektar.

Malah, Ahmad Shabery menunjukkan keceriaan apabila projek tersebut dikatakan telah melepasi piawaian antarabangsa iaitu kadar lima tan metrik sehektar.

“Dengan kejayaan ini, kita berjaya memecahkan halangan psikologi kononnya Malaysia tidak boleh menanam jagung bijian,” katanya.

Ahmad Shabery seterusnya menjelaskan, model projek perintis di Kampung Dadong akan dikembangkan ke seluruh negara meliputi kawasan seluas 748 hektar.

Kata beliau lagi, jagung yang dihasilkan juga tidak menghasilkan kulat Aspergillus sp yang membawa toksik aflatoksin. Patogen tersebut menyerang biji jagung yang telah masak dan terkena air dan mendatangkan ancaman kepada ternakan.

Beliau menarik perhatian bahawa pada tahun ini, Jabatan Pertanian diberi peruntukan RM7 juta bagi pembangunan industri jagung bijian negara termasuklah pembangunan kawasan negara serta penyediaan mekanisasi dan automasi.

Daripada jumlah itu, peruntukan sebanyak RM4.19 juta diagihkan kepada Pejabat Pertanian Negeri bagi membantu usahawan atau petani yang mengusahakan penanaman jagung bijian melibatkan 314 orang. Jabatan Pertanian juga dari semasa ke semasa sentiasa berusaha mencari kawasan baharu untuk pengeluaran jagung bijian dan bekerjasama dengan jabatan dan agensi lain dalam mengenal pasti lokasi-lokasi yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai ladang jagung bijian.

Projek tersebut dilaksanakan dengan pendekatan beberapa model yang telah dan sedang dikenal pasti termasuk usaha sama antara syarikat dan syarikat dengan usahawan.

Beberapa agensi kementerian seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) memberi bimbingan dan khidmat nasihat.

Projek pembangunan industri jagung bijian itu akan diteruskan bagi tempoh 2016-2020 untuk mencapai sasaran keluasan 20,000 hektar menjelang 2020.

Jabatan Pertanian bimbing petani 

Pengarah Jabatan Pertanian Terengganu, Mohd. Nasir Warris berkata, usaha penanaman jagung bijian berdepan beberapa cabaran antaranya faktor cuaca, ancaman tikus dan babi hutan.

Namun katanya, berkat sokongan pelbagai pihak, semuanya telah diatasi seperti pemasangan pagar elektrik bagi mengatasi masalah babi hutan dan memasang sarang burung pungguk jelapang bagi mengawal tikus.

Beliau berkata, Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek juga sentiasa mengambil berat perkembangan projek tersebut termasuk menghantar beberapa jentera bagi membolehkan ia dilaksanakan menggunakan kaedah mekanisasi sepenuhnya.

“Yang lebih penting, projek ini diterajui J3K dengan diketuai Wan Mamat Wan Ismail dan kumpulannya yang memberi sokongan menjadikan projek ini semakin menampakkan kejayaan,’’ ujarnya.

Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, pada tahun ini kerja-kerja penanaman bermula pada 23 Mac lalu, yang melibatkan kawasan 30 hektar di 42 lot sawah dengan penglibatan seramai 27 petani.

Kerja-kerja penanaman dijalankan secara berfasa-fasa bagi memudahkan pengurusan penanaman dan aktiviti penuaian dengan jarak tanaman adalah 75 sentimeter (cm) x 20 cm dengan bilangan pokok sebanyak 66,666 sehektar.

Varieti jagung bijian yang digunakan adalah GWG 888 dan diperoleh daripada sumber tempatan.

“Kesemua kerja berkaitan bermula daripada penanaman benih jagung sehinggalah kepada penuaian dilaksanakan secara mekanisasi. Projek tersebut juga dilaksanakan di kawasan-kawasan lain di luar jelapang yang mengamalkan penanaman satu musim,’’ katanya.

Hasil tuaian jagung bijiian daripada projek di Kampung Dadong, akan dikeringkan di loji berdekatan iaitu Stesen Pertanian Ajil, Terengganu.

Jagung bijian yang telah dikeringkan pada tahap kelembapan 14.5 peratus akan dibeli semula oleh pembekal biji benih jagung bijian iaitu Green World Genetics Sdn Bhd. pada harga pasaran semasa.

Projek tersebut diharapkan lebih berjaya pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya dan dapat mencapai sasaran sekurang-kurangnya enam tan metrik sehektar setahun.

Sepanjang tempoh penanaman, antara program yang dilaksanakan bagi membantu petani di Kampung Dadong adalah lawatan ke petak tanaman dan sesi demonstrasi penuaian jagung menggunakan combine harvester.

Sesi demonstrasi penuaian dilaksanakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta, di samping melihat dengan lebih dekat pengendalian lepas tuai tanaman jagung tersebut.

Jentera penuai yang digunakan mempunyai kapasiti tangki sebanyak dua tan dan mampu menuai kawasan seluas dua ha sehari dan mampu meleraikan tongkol jagung.

Rentetan daripada projek rintis di kampung berkenaan, tumpuan seterusnya adalah perluasan ke beberapa kawasan lain yang di kenal pasti sebagai tambahan kepada kawasan sedia ada.

Peruntukan sebanyak RM10 juta telah diagihkan bagi perluasan projek rintis jagung bijian ini. Peruntukan itu bagi tujuan pembangunan tanaman jagung bijian sebanyak RM5 juta, mekanisasi (RM2 juta), pengawalan kualiti (RM2.5 juta, serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) varieti jagung sebanyak RM500,000.

Tanah sawah yang digunakan di Kampung Dadong itu adalah di luar jelapang dan merupakan projek perintis penanaman.

Penanaman padi dalam kawasan luar jelapang itu hanya dijalankan sekali setahun, iaitu dari bulan Februari hingga Jun. Justeru petani boleh menggunakan tanah tersebut untuk bertanam jagung dari Jun hingga Oktober. Ini akan memberikan pendapatan tambahan sekitar RM1,000 sebulan untuk setiap hektar yang mereka usahakan.

Jika Model Penanaman Jagung Kemaman ini terbukti berjaya, KPIAT akan memperluasnya ke kawasan-kawasan sawah luar jelapang yang lain di Malaysia, yang kini dianggarkan seluas 164,000 hektar.

Selain itu, kementerian juga menyasarkan untuk mengguna pakai tanah terbiar, yang dianggarkan seluas 120,000 hektar, untuk tujuan yang sama.

Setiap tahun Malaysia mengimport jagung bijian untuk makanan ternakan bernilai RM3.1 bilion.

Jika sebahagian jumlah ini dapat ‘didomestikkan’, negara bakal mewujudkan satu ekosistem industri baru, yang memberi peluang besar kepada pengusaha di sepanjang rantaian nilainya, termasuk benih, penanaman, baja, penuaian, pengeringan, pengumpulan, pemprosesan, logistik, penjualan, pengeksportan dan pembiayaan.