Menurut kenyataan daripada Bahagian Hal Ehwal Korporat LPP, menerusi cadangan berkenaan, tabiat pemakanan rakyat dapat diseimbangkan dengan diet pemakanan seharian beserta sayuran dan buah-buahan.

“Antara cadangan daripada perbincangan di atas ialah mengenalpasti ruang dan pendekatan yang lebih efektif untuk meningkatkan pendapatan pesawah padi dan mengambil kira faktor peningkatan kualiti hidup keluarga petani dan pesawah.

“Cara yang boleh diadaptasi ialah dengan menggantikan komoditi padi dengan tanaman-tanaman lain seperti sayuran cili, timun, halia, rock melon dan untuk buah-buahan seperti durian, manggis, durian belanda dan kelapa varieti baharu yang memberi pulangan harga yang lebih lumayan, dan berupaya dieksport misalnya, durian, manggis dan rock melon.

“Pendekatan yang boleh digunapakai ialah dengan cara mengenalpasti kawasan tanaman padi di luar jelapang dan melaksanakan program penanaman gantian kepada padi atau tambahan tanaman sayuran dan buahan bagi meningkatkan pendapatan pesawah atau petani di kawasan luar jelapang,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Kenyataan berkenaan bagi mengulas laporan Utusan Online hari ini bertajuk ‘Kerajaan cadang kurangkan subsidi sawah’ berhubung kerajaan bercadang mengurangkan agihan subsidi bernilai RM800 juta kepada kira-kira 350,000 pesawah padi di seluruh negara selain memperkenalkan konsep tanaman tambahan.

Dalam laporan berkenaan, Ketua Pengarah Persatuan Peladang Kebangsaan, Hamzah Bahari berkata, cadangan pengurangan pemberian subsidi tersebut membabitkan nilai RM2,600 perhektar setiap tahun kepada pesawah berikutan pengeluaran hasil tidak seimbang dengan jumlah subsidi yang diberikan.

Ujar kenyataan LPP lagi, perbincangan antara Majlis Penasihat Kerajaan dan LPP hari ini memberi perhatian terhadap perbezaan hasil padi di kawasan luar jelapang dan dalam jelapang.

“Kawasan luar jelapang padi pada umumnya tidak mempunyai infrastruktur pengairan yang mencukupi untuk menghasilkan pengeluaran padi yang tinggi, iaitu sekitar 3.2 - 3.9 metrik tan sehektar.

“Hasil padi di dalam kawasan jelapang padi, misalnya di MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) dan KADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu) lebih tinggi iaitu sekitar 4.8 hingga 5.5 metrik tan sehektar.

Jelas kenyataan itu, perbezaan berkenaan antaranya memerlukan perhatian yang serius kerana kerajaan membelanjakan peruntukan subsidi setiap dalam jumlah yang besar iaitu hampir RM5 juta. - UTUSAN ONLINE