Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Internet durian belanda

Zakaria Jamis menunjukkan buah durian belandanya di ladang miliknya  di Kampung Tengah, Seri Menanti 5
Zakaria Jamis menunjukkan buah durian belandanya di ladang miliknya di Kampung Tengah, Seri Menanti baru-baru ini.

Dunia di hujung jari. Apa saja maklumat tentang segala perkara kini boleh diakses menerusi Internet. Baik mencari maklumat, membina rangkaian kenalan, pekerjaan, jodoh, kekayaan, peluang dan apa saja perkara ada saja dalam Internet.

Menerusi kemudahan capaian Internet pada hari ini juga mendorong, Zakaria Jamis, 45, anak jati Kampung Pilah Tengah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan menukar sumber maklumat kepada sumber pendapatan dengan mengusahakan penanaman buah durian belanda.

“Sejak tahun 1999 lagi saya sudah memulakan langkah sebagai petani secara kecil-kecilan, tetapi tanpa panduan dan ilmu yang masih kurang pada dada, saya mengalami tiga kali episod kegagalan besar. Walau bagaimanapun selepas menggunakan Internet, saya mula belajar banyak perkara dalam dunia pertanian,” cerita Zakaria.

Pada awalnya, Zakaria hanya menanam apa saja hasil bumi yang membolehkan dijual dan mendatangkan pendapatan kecil-kecilan sehinggalah kira-kira lima tahun lalu, Zakaria meletakkan fokus menanam buah durian belanda sebagai sumber tanaman utama.

“Ketika itu ramai yang mentertawakan usaha saya untuk menanam buah durian belanda yang dikatakan kurang mendapat sambutan.

“Saya menyedari potensi besar apabila mendapat maklumat daripada Internet bahawa kononnya buah durian belanda mampu menjadi penawar kepada banyak penyakit,” tambah Zakaria lagi.

Tanpa menoleh ke belakang, Zakaria meneruskan memperuntuk kos lebih RM70,000 untuk membangunkan kawasan seluas hampir 0.8 hektar (dua ekar). Blok pertama ini mengandungi lebih 500 buah pokok durian belanda varieti DB 1, DB 2 dan DB 8.

“Modal awal yang saya keluarkan agak besar kerana ketika inilah pembangunan sistem aliran air perlu dilaksanakan dengan sempurna. Tempoh untuk tanaman durian belanda daripada anak pokok hingga berbuah mengambil masa kira-kira setahun setengah. Selepas itu tanaman ini akan melalui proses berehat selama empat bulan sebelum kembali berbuah semula,” jelasnya.

Kerja-kerja penjagaan buah memerlukan kekerapan penyiraman air dan pembajaan.

Proses penyiraman air dilakukan sebanyak tiga kali seminggu manakala pembajaan dilakukan sekali pada setiap bulan mengikut sukatan yang bersesuaian.

“Selepas tempoh rehat, tempoh berbuah seterusnya mengambil masa selama lapan bulan. Proses penyiraman, kawalan serangga dan pembajaan berjalan seperti biasa,” jelasnya lagi.

Zakaria turut mengakui baik sahaja buah sampai peringkat untuk dituai, pemasaran amat penting untuk mendapatkan semula pulangan kos operasi yang dilaburkan. Zakaria lebih selesa menjual sendiri buah keluaran ladangnya mengikut pasaran harga semasa dengan dengan memanfaatkan pemasaran dalam talian seperti Facebook dan laman web.

“Terus terang saya katakan, menerusi jualan medium pemasaran dalam talian saja sudah cukup menampung kos operasi dan sedikit imbuhan. Permintaan buah durian belanda hari ini cukup tinggi dalam kalangan pengguna,” tambah Zakaria.

Selain buah, Zakaria turut memasarkan empulur buah durian belanda yang siap dibungkus dan digunakan untuk pemprosesan makanan. Empulur buah diambil dengan mengasingkan biji dan kulit kemudian dipek serta dibekukan dalam bekas sejuk beku.

“Bukan itu saja, pada masa yang sama saya baru saja mengembangkan durian belanda menjadi minuman,” jelas Zakaria yang melihat potensi besar kepada bidang Fast Moving Consumer Goods (FMGC). Walau bagaimanapun bidang ini masih lagi dalam kajian dan perlu mendapat perhatian yang khusus.

Jabatan Pertanian bantu pengusaha

Usaha gigih Zakaria Jamis sepanjang mengusahakan projek tanaman durian belanda sentiasa mendapat perhatian Jabatan Pertanian. 

Sesuai dengan peranannya, Jabatan Pertanian membantu dari segi pemindahan teknologi dan memanfaatkan penggunaan penggalak tumbuhan (plant booster) yang dihasilkan oleh Jabatan Pertanian Serdang.

Pengarah Pertanian Negeri Sembilan, Mustapa Umar berkata, bahan penggalak tumbuhan tersebut dihasilkan secara organik untuk membantu peningkatan saiz pengeluaran serta produk hasil tani yang lebih berkualiti.

“Dengan penghasilan buah yang berkualiti berstatus MyGAP, tidak mustahil Kuala Pilah secara am dan Negeri Sembilan boleh menjadi perintis kepada pengeluaran buah durian belanda selain produk hasil tani yang lain tidak lama lagi,” katanya.

Beberapa bantuan teknikal lain untuk mengembangkan lagi perusahaan ladang durian belanda juga disalurkan jabatan berkenaan.

Pada tahun 2013, Zakaria menambah lagi modal pusingan dengan mengembangkan lagi kawasan pertanian sebanyak lebih 1.2 hektar. Dua blok diasingkan dengan blok B yang menempatkan 470 pokok durian belanda jenis DB 1 dan blok C yang mengandungi 600 buah pokok campuran DB 11 serta klon sendiri.

Hasil produksi keseluruhan ladangnya mencecah sehingga 1.8 tan. Selain pasaran tempatan, durian belanda hasil ladang Zakaria sudah ke pasaran Singapura dengan skala yang kecil.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain