Namun anak jati Kampong Lokos, Tuaran Sabah, ini akhirnya ditemukan dengan material tersebut. Lebih menarik, inisiatif dan hasil idea datang daripada seseorang yang juga berasal dari kampung tersebut.

Gimis merupakan pengusaha tanaman lada hitam di kampung berkenaan dan seseorang yang dimaksudkan itu adalah menteri yang dilahirkan di kawasan Tuaran.

Idea menghasilkan inovasi berkenaan datang daripada, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Madius Tangau. Menyedari penduduk yang diwakilinya itu gigih mengusahakan tanaman lada hitam dan memerlukan perhatian, beliau menyarankan supaya Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) mengikhtiarkan satu inovasi membantu pengusaha seperti Gimis.

Akhirnya sepasukan penyelidik daripada agensi berkenaan berjaya menghasilkan tiang daripada biokomposit bagi menggantikan tiang sokong daripada kayu belian.

Gimis menggunakan tiang tersebut bermula pada 2016 dengan penggunaan awal kepada 30 pokok lada daripada keseluruhan 761 kawasan seluas dua hektar (lima ekar) yang bertanam.

“Oleh kerana saya baharu menggunakannya, maka belum pasti perbezaan antara tiang kayu dan tiang biokomposit tetapi nampaknya lebih ringan, ‘‘ ujarnya sambil memberitahu akan menanam kira-kira 1,200 lagi anak pokok baharu pada masa akan datang menggunakan benih yang dihasilkan sendiri.

Sementara bagi seorang lagi penanamdi Moyog Penampang, Benjamin Yanggau, penggunaan tiang sokongan itu lebih baik kerana lebih tahan dan dapat mengelakkan masalah fungi (kulat) kepada pokok.

Dia yang sudah menggunakan tiang berkenaan bermula 2015 kini menggunakan sebahagian tanamannya daripada sejumlah 2,000 pokok lada di kawasan seluas 0.4 hektar (dua ekar) di Moyog.

Kedua-dua penanam tersebut berharap penggunaan tiang baharu itu dapat membantu usaha mereka menanam lada dengan lebih baik.

Sebelum ini, mereka menggunakan pokok belian sebagai tiang sokongan pokok lada yang matang dalam tempoh dua tahun. Pokok lain yang digunakan adalah pokok pelindung. Dalam pada itu menurut salah seorang ahli kumpulan penyelidiknya Siti Salwa Mohammad Shirajuddin, penggunaan kayu belian yang mempunyai ketahanan lembapan dan cuaca yang baik sebagai sistem sokongan tanaman lada di Sarawak sejak sekian lama tetapi penggunaan biokomposit adalah sebagai alternatif.

Metodologi kajian:

i. Reka bentuk sistem sokongan

• Reka bentuk asas tiang sokongan tanaman

• Reka bentuk sistem sangkutan tanpa ikat

• Reka bentuk sistem fertigasi menggunakan bahan bikomposit

ii. Fabrikasi tiang sokongan

• Penghasilan fabrikasi komponen/prototaip sistem sokongan menerusi pemproses acuan.ii.

iii. Pengujian lapangan

• Pengujian lapangan perlu dilakukan bagi menguji kesesuaian inovasi tiang berkenaan.

Kejayaan inovasi bantu rakyat

Kejayaan penyelidik Agensi Nuklear Malaysia membawa hasil penyelidikan mereka ke kampung wajar mendapat perhatian dan boleh dibanggakan

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Ashhar Khalid berkata, kejayaan tersebut membuktikan hasil penyelidikan dan pembangunan R&D tempatan boleh dimanfaatkan untuk kegunaan rakyat.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pengusaha kerana sudi menggunakan produk (R&D) ini.

“Kami sudah mulakan penyelidikan pada 2016 lagi dan kelihatan pertumbuhan pokok mula bertambah dan kami akan mencari pengilang untuk mengeluarkan secara besar-besar untuk dipasarkan,’’ ujarnya.

Malah beliau gembira kerana Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia Dr. Harry Entebang memberi maklum balas positif berkenaan inovasi tiang sokongan tersebut.

Beliau menambah, pihaknya akan mencari jalan dengan menambah baik inovasi berkenaan dan mengurangkan kosnya.

Setakat ini tiang sokongan tersebut menggunakan bahan buangan kenaf dan sawit sebagai bahan asasnya dan habuk kayu juga kini boleh dimanfaatkan.

Penggunaan bahan buangan tersebut kata beliau, dapat mengurangkan penebangan hutan sekali gus tidak menyebabkan pengurangan kayu. Penggunaan kenaf dapat mengurangkan penebangan hutan untuk mendapatkan kayu.

Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis penyerahan projek Inovasi Sosial Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) atau MSI dan program mesra komuniti di Pekan Nabalu Tuaran Sabah baru-baru ini Mohd Ashhar berkata, pihaknya berharap supaya kementerian terus memberi sokongan pembiayaan pembiayaan dalam menjalankan penyelidikan yang dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat serta kumpulan sasar.