Tidak mengira kecil atau besar, impak produk inovasi itu kepada masyarakat, usaha tersebut perlu terus disemarakkan setiap hari.

Antara bidang yang memerlukan budaya tersebut terus dikembangkan adalah sektor pertanian dan baru-baru ini seorang pegawai pertanian tampil dengan idea pemotong cili serba guna.

Kelihatan ringkas namun siapa sangka alatan tangan tersebut dilihat amat praktikal untuk pekerja ladang memetik cili dengan pantas serta memastikan kesegaran produk pertanian itu sentiasa terjamin.

Menurut Penolong Pengarah, Institut Pertanian Serdang (IPS), Jabatan Pertanian, Mohd. Samsi Sumairi, penghasilan alat pemotong cili itu adalah berdasarkan pengalamannya mengendalikan pelbagai kursus dan seminar berkaitan tanaman cili.

Jelasnya, terdapat pengusaha yang menyatakan masalah atau cabaran mengumpulkan cili terutama cili padi dengan pantas dan berkesan.

“Sebelum ini pekerja ladang cili padi memetik menggunakan tangan. Walau bagaimanapun ia merupakan kerja yang melecehkan selain melambatkan proses tuaian.

“Bagi memudahkan kerja-kerja menuai cili padi itu, mereka beralih dengan menggunakan gunting biasa yang terdapat di pasaran dengan menggunting tangkai buah cili dan membiarkan ia jatuh dahulu sebelum dikutip kemudiannya,” katanya.

Keadaan itu pun menurut Mohd. Samsi tidak pratikal dan dilihat tidak begitu bersih.

Selain itu, kos memetik hasil cili padi menggunakan kaedah tradisional iaitu menggunakan tangan boleh mencecah di antara RM1.80 hingga RM2.00 sekilogram (kg) bersamaan 20 hingga 25 peratus kos daripada harga jualan di ladang.

Harga cili padi buat masa ini adalah sekitar RM8 hingga RM15 sekilogram bergantung kepada bekalan.

Untuk itu dia mencipta gunting khas yang terdiri daripada gunting biasa namun memiliki corong khas ditepinya bersama kantung khas.

“Selepas digunting, cili padi akan terus jatuh ke dalam kantung khas dan dikumpulkan dengan lebih bersih dan pantas,” katanya.

“Inovasi tersebut masih lagi pada peringkat prototaip dan akan dikomersialkan dalam masa yang terdekat jika ada pihak yang berminat,” katanya.

Alatan tersebut turut digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di institut tersebut selaras dengan tanggungjawab Mohd. Samsi juga merupakan seorang pensyarah di sana.

Penanaman cili padi di Malaysia berdepan banyak cabaran terutama bagi mendapatkan hasil yang konsisten.

Sehingga kini kita masih bergantung kepada hasil import beratus-ratus tan cili padi dari negara jiran, Thailand.

Jika tidak diuruskan dengan baik, pokok cili api mudah diserang penyakit ditambah pula varieti pokok cili padi untuk tujuan komersial adalah tidak banyak.

Kini, menerusi alatan menuai cili padi tersebut dilihat dapat mempercepat dan memudahkan kerja-kerja menuai cili padi dan secara tidak langsung boleh menarik minat petani untuk mengusahakan tanaman tersebut pada skala yang lebih besar.