Di Malaysia, keluasan bertanam kawasan kelapa pada tahun 2006 adalah seluas 119,465 hektar (ha) dan dianggarkan akan menurun kepada 80,360 ha pada tahun 2016. Pada ketika ini, dianggarkan seramai 68,000 keluarga tani yang terlibat dengan tanaman kelapa. Taburan keluasan sebanyak 63 peratus kawasan adalah di Semananjung Malaysia, manakala 20 peratus di Sabah dan 17 peratus di Sarawak.

Berdasarkan statistik semasa, negeri yang mempunyai keluasan penanaman terbesar adalah Sabah diikuti Sarawak, Johor, Selangor dan Perak. Secara keseluruhannya, produktiviti adalah agak rendah iaitu sebanyak antara 5,000 hingga 6,000 biji sehektar setahun.

Penggunaan kelapa tempatan adalah dianggarkan sebanyak 640 juta biji setahun manakala pengeluaran adalah sebanyak 538 juta biji. Justeru, baki keperluan sebanyak 102 juta biji lagi adalah diimport dari Indonesia.

2. Cabaran utama yang dihadapi industri kelapa masa kini?

Terdapat beberapa cabaran dan isu yang dihadapi industri kelapa negara di antaranya ialah:

- Petani atau pekebun sedia ada telah berumur iaitu purata 55 tahun ke atas. Golongan muda tidak berminat untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian.

- Saiz kebun yang kecil (antara 0.2 hingga dua hektar) dan tidak ekonomik, seterusnya tidak dapat memberikan pendapatan yang tinggi kepada petani. Purata keluasan milikan petani adalah dalam 1.2 hektar sahaja.

- Ancaman perosak dan penyakit juga adalah salah satu cabaran yang tidak boleh dipandang rendah.

Pada ketika ini, terdapat sejenis perosak iaitu Kumbang Merah Palma (Rhynchophorus ferrugineus) telah didapati menyerang tanaman kelapa dan telah diisytiharkan sebagai wabak di negeri Terengganu pada Julai 2011. Jabatan Pertanian telah memperuntuk sebanyak RM4 juta untuk membendung, mengawal dan menghapuskan perosak tersebut dan sehingga kini perosak tersebut telah dapat dikawal daripada merebak ke negeri-negeri lain.

- Pengurusan ladang yang tidak sistematik atau masih lagi mengamalkan pengurusan tradisional seperti tidak membaja pokok dan hanya kutip hasil tunggu buah tua jatuh.

- Pokok kelapa sedia ada kebanyakannya adalah jenis kelapa tinggi Malaya (Malayan Tall) dengan hasil yang diperoleh adalah di antara 3,000 hingga 4,000 biji sahaja dalam sehektar. Di samping itu, pokok ini juga telah mencapai ketinggian antara 50 hingga 60 kaki dan menyukarkan proses mengait buah atau menuai hasil.

3. Apakah langkah-langkah atau usaha yang dilaksanakan bagi memulihkan industri kelapa negara?

Sejak tahun 1960-an lagi kerajaan telah memperkenal program Penanaman Semula dan Pemulihan kawasan tanaman kelapa sedia ada iaitu menerusi program Skim Pembangunan Pekebun-pekebun Kecil Kelapa dengan memperkenal penanaman varieti Malayan Tall. Seterusnya menerusi Rancangan Penanaman Semula Kawasan Kelapa (RPSKK) varieti hibrid MAWA (Malayan Red/Yellow Dwarf X West African Tall) pada tahun 1980-an.

Pada tahun 1990-an iaitu sepanjang Rancangan Malaysia Keenam (RMK-6) kelapa hibrid Matag telah diperkenal bagi menggantikan kelapa MAWA yang boleh memberikan hasil yang lebih tinggi di samping dapat memberikan pendapatan yang lebih baik kepada pekebun kelapa.

Pada RMK-8 (2000-2014) Pelan Pembangunan Kelapa juga telah diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan dokumen ini telah digunakan oleh Jabatan Pertanian sebagai panduan bagi melaksanakan program pembangunan tanaman kelapa di negara ini.

Pelan tersebut memberi penekanan kepada peningkatan pendapatan pekebun kecil dan meningkatkan kualiti produk yang dikeluarkan bagi meningkatkan pendapatan melebihi RM1,000 sebulan. Pelan tersebut juga telah diteruskan sehingga ke RMK-11 dan insentif yang diberikan kepada pekebun termasuk:

- Program Pengeluaran Benih

- Program Penanaman Semula

- Program Pemulihan

- Program Integrasi dengan tanaman lain

Program Pengeluaran Benih adalah salah satu program yang amat penting memandangkan industri kelapa negara pada masa ini mengalami kekurangan bekalan anak benih yang berkualiti dan boleh memberikan hasil tinggi iaitu anak benih kelapa hibrid Matag. Isu ini juga telah menjejaskan program penanaman semula tanaman kelapa.

Namun demikian, Jabatan Pertanian juga telah memperluas lagi kawasan pengeluaran benih kelapa hibrid Matag dengan membangunkan kawasan ladang pokok induk seluas 90ha di Pusat Pertanian Lekir pada tahun 2012 selain 40ha yang sedia ada di Pusat Pertanian Jorak, Pagoh, Johor bagi meningkatkan lagi pengeluaran anak benih kelapa.

Program Penanaman semula juga sedang giat dijalankan oleh Jabatan Pertanian iaitu menggantikan Malayan Tall dengan Matag dan kelapa terpilih lain seperti Pandan, Malayan Yellow Dwarf (MYD) dan Malayan Red Dwarf (MRD).

Insentif yang disediakan adalah berbentuk pembangunan infrastruktur dan bahan input yang berbentuk in-kind untuk tempoh empat ahun sebanyak RM20,000 sehektar.

Program pemulihan adalah aktiviti memulihkan kawasan-kawasan kebun yang masih produktif untuk meningkatkan hasil. Insentif yang disediakan ialah bantuan input berbentuk in-kind untuk tempoh tiga tahun berjumlah RM5,500.

Program integrasi adalah aktiviti penanaman tanaman lain selain seperti pisang, nanas, kopi dan tanaman singkat masa di kawasan kelapa bagi memberikan pendapatan tambahan kepada pekebun.

4. Strategi pemasaran dalam meningkatkan hasil eksport kelapa negara?

Jabatan Pertanian sentiasa menggalakkan pengusaha dan pengilang untuk terlibat dengan aktiviti pemprosesan produk kelapa seperti santan, kerisik, minyak kelapa, air kelapa dan produk yang berpotensi untuk dieksport seperti karbon teraktif, sabut dan sebagainya.

Dan pada masa ini minyak kelapa dara (VCO) juga mendapat permintaan yang amat tinggi dari negara-negara Europah dan Amerika Syarikat.

Namun kebanyakan pengusaha yang terlibat hanya menjalankan perusahaan ini secara kecil-kecilan. Sekiranya dapat dilaksanakan dengan skala yang besar ia akan dapat meningkatkan pendapatan dan ekonomi negara.

Selain itu, kajian –kajian oleh pihak universiti tempatan juga telah membuktikan bahawa minyak kelapa juga mempunyai khasiat yang baik dari segi kesihatan dan dengan adanya promosi yang baik produk-produk ini akan meningkatkan lagi eksport negara.

5. Teknologi-teknologi baharu yang diperkenal kepada petani agar dapat meningkatkan keluaran?

Jabatan Pertanian sehingga kini sentiasa memberikan khidmat nasihat teknikal kepada petani dari segi amalan agronomi dan juga lepas tuai bagi meningkatkan hasil dan juga kualiti hasil yang dikeluarkan. Penggunaan mesin pengupas kelapa juga telah diperkenal kepada petani supaya kerja-kerja tersebut labih efisien dilaksanakan.