SALAHUDDIN AYUB
SALAHUDDIN AYUB 

Keunikan rasanya yang manis dan berlemak serta bau yang harum membuatkannya bukan sekadar terkenal di Malaysia, malah di luar negara.

Selaras dengan perkembangan yang positif bagi industri durian, pelbagai ruang dan peluang boleh diterokai.

Berdasarkan permintaan yang tinggi di pasaran tempatan dan luar negara, kualiti dan varieti durian yang baik serta penjenamaan Malaysia sebagai pengeluar durian terbaik di dunia, industri ini dilihat boleh menjana pendapatan tinggi kepada usahawan tempatan, seterusnya berpotensi menjadi sumber kekayaan baharu sektor agromakanan negara.

Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan eksport durian beku dalam bentuk ulas dan pes ke China sebanyak 223, 716 tan metrik dengan nilai RM350 juta tahun ini.

Hal ini susulan lawatan kementerian ke General Administration of Customs of People’s Republic of China (GACC), di Beijing pada 22 Februari lalu.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, sasaran itu dapat dicapai berdasarkan peningkatan fasiliti pemprosesan durian diluluskan di republik itu yang kini 31 fasiliti berbanding 19 sebelum ini.

Tegasnya, pengusaha yang terbabit dengan eksport produk berkenaan perlu menjalankan perniagaan secara berintegriti dan bertanggungjawab bagi memastikan nama baik durian negara terpelihara dan eksport kekal untuk selama-lamanya.

“Kekalkan kualiti produk dihasilkan yang memenuhi standard GACC serta elakkan percampuran durian kurang berkualiti dalam pembuatan pes selain pastikan durian dari ladang berdaftar dengan Jabatan Pertanian.

“Kerajaan mengalu-alukan kedatangan pegawai audit GACC ke fasiliti pemprosesan durian dan ladang raja buah itu Mei ini,” katanya ketika berucap sempena lawatan kerjanya ke JL Food Industries Sdn. Bhd. di Taman Perindustrian Integrasi Rawang baru-baru ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Jamal Harizan Yang Razali dan Pengarah JL Food Industries Sdn. Bhd., Heng Siang Huang.

Pada 12 Mei 2008, kementerian dan General Administration of Quality Supervision, Inspection and Quarantine of the People’s Republic of China (AQSIQ) menandatangani Protokol Eksport bagi durian sejuk beku dalam bentuk ulas dan pes.

Malaysia memulakan eksport produk ini setelah AQSIQ melaksanakan lawatan audit ke fasiliti pemprosesan durian di Malaysia dan kelulusan diberikan kepada fasiliti yang menepati keperluan Sanitary and Phytosanitary (SPS) yang ditetapkan oleh China.

Hal ini sejajar dengan penerimaan positif rakyat China terhadap durian dan kerancakan pasaran durian di China serta permintaan yang tinggi terhadap produk tersebut secara tidak langsung membantu menggalakkan industri hiliran berasaskan durian di Malaysia.

Selain itu tambah Salahuddin, eksport durian ke republik berkenaan diingatkan agar tidak mengabaikan aspek kualiti serta mengelak penipuan dengan mengambil untung besar secara jalan mudah.

Produk yang dihasilkan haruslah berkualiti dan memenuhi standard dan keperluan SPS yang digariskan dalam Protokol Eksport.

“Nilai eksport durian akan kita pertingkatkan dalam kuantiti lebih besar tanpa berkompromi dengan kualiti dari semasa ke semasa.

“Sudah tentu saya akan bekerja keras untuk mencapai sasaran berkenaan kerana yakin dengan potensi produk ini,” jelasnya.

Usahawan yakin potensi eksport durian

SEHINGGA Usahawan yakin potensi eksport durianga 2018, keluasan penanaman durian di Malaysia direkodkan seluas 72,464 hektar dengan pengeluaran sebanyak 251,910 tan metrik. Sehingga kini sebanyak 204 varieti durian telah didaftarkan di bawah Jabatan Pertanian.

Antara varieti durian yang popular ialah varieti durian Raja Kunyit (D197) atau lebih dikenali dengan nama Musang King, D24, varieti Hajjah Hasmah atau IOI (D168), Udang Merah (D175) dan varieti Duri Hitam (D200).

Bagi usahawan raja buah berkenaan pula, mereka yakin dengan pasaran eksport ke China mampu menjana keuntungan yang memberangsangkan.

Menurut usahawan dari syarikat Nictron Agriculture Sdn. Bhd., Wan Azlina Wan Musa sejak 2017 syarikatnya membekalkan durian eksport dalam bentuk ulas dan pes ke China.

Walau bagaimanapun, katanya, sehingga kini syarikatnya yang mempunyai 5,000 pokok durian dengan keluasan tanaman sekitar 80 hektar masih tidak dapat menampung permintaan dari negara berkenaan.

“Seperti musim lepas kami telah mengeksport sebanyak 250 tan durian Musang King dan Duri Hitam dalam bentuk ulas dan pes ke daerah Shenzhen, Shanghai dan Guangzhou.

“Itu pun masih tidak mencukupi (kerana) mereka sangat menggemari durian Malaysia berbanding Thailand memaksa kami mengambil bekalan dari penanam lain,” jelasnya.

Selain itu tambahnya, dengan kelulusan fasiliti eksport durian yang dimilikinya diharap dapat menjadikan syarikatnya yang beroperasi di Kuala Ketil, Kedah dapat menjadi perintis industri eksport durian di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Dulai Fruits Enterprise Sdn. Bhd., Eric Chan berkata, kelulusan fasiliti tersebut dapat membantu mengembangkan lagi industri eksport durian ke luar negara.

“Syarikat kami sebelum ini telah memfokuskan 99 peratus hasil pengeluaran untuk eksport ke luar negara dalam bentuk buah dan ulas.

“Kami berharap dengan kelulusan lebih banyak fasiliti ini dapat merancakkan lagi industri durian sambil dibantu dengan pengurusan harga yang baik,” jelasnya.