Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

IGrow perkukuh pertanian generasi baharu

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir tertarik 3
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir tertarik dengan buah cili yang ditanam oleh peserta IGrow.

Stigma bahawa generasi muda tidak menggemari bidang pertanian perlu diubah. Ini kerana, masih ramai golongan tersebut yang memilih untuk menyertai latihan pertanian termasuk di pusat latihan swasta. Malah, fungsi pusat latihan pertanian swasta menjadi semakin penting sebagai penggerak ekonomi berasaskan pertanian, khususnya di luar bandar.

Menyedari potensi pertanian dan keperluan menyediakan legasi yang akan meneruskan sektor berkenaan, Institut Agro Usahawan (IGrow) di Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak terus mengorak langkah melatih generasi muda untuk menimba kemahiran pertanian dan industri asas tani bagi mengisi keperluan tenaga kerja sektor pertanian negara.

Menurut Pengerusi Eksekutif IGrow, Nordin Abdul Malek, terdapat ramai belia yang sebenarnya masih berminat untuk menyertai sektor pertanian dan industri asas tani.

Cuma mereka memerlukan bimbingan secara hands on dan diperlihat secara terus konsep pertanian generasi baharu itu sendiri..

Beliau menjelaskan, bahawa pengertian pertanian generasi baharu terbahagi dua iaitu penglibatan generasi muda dan kaedah pertanian moden yang bukan hanya mengoptimumkan pengeluaran tetapi juga pengurangan kebergantungan kepada tenaga kerja manusia.

“Pertanian bukan lagi dilihat sebagai aktiviti pengeluaran biasa seperti tanaman dan penternakan (huluan) semata-mata, tetapi juga aktiviti hiliran bersifat nilai tambah seperti pemprosesan makanan dan agropelancongan,” katanya.

Kelebihan IGrow adalah institusi berkenaan berada dalam persekitaran aktiviti pertanian yang digerakkan oleh generasi muda menerusi program My Kampung My Future (MKMF) dan Cabaran Perniagaan Desa (RBC).

“Pelatih dapat melihat sendiri bagaimana proses kepelbagaian produk pertanian dilaksanakan di kampung-kampung yang berorientasikan pengurusan dan inovasi baharu bawah program NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan),” ujar beliau.

Selain itu, IGrow yang menjadi pemangkin kepada program tersebut di Kampung Gajah sejak tahun 2012, turut berjaya membangunkan usahawan yang terlibat dalam pemprosesan makanan dan minuman, ikan sangkar dan industri pelancongan desa.

Oleh itu, pelatih dapat belajar sendiri dengan usahawan berkenaan bagaimana mereka menguruskan perniagaan dan mengharungi cabaran sebagai usahawan terutama sebagai ahli perniagaan di luar bandar.

Antara aspek yang penting dapat dilihat sendiri ialah konsep mengoptimumkan keluasan tanah.

Sebagai contoh, IGrow sendiri menggabungkan semua jenis kegiatan pertanian secara bertingkat-tingkat di atas tanah yang berkeluasan tidak sampai enam hektar (15 ekar). Tanah berkenaan dipenuhi dengan dusun buah-buahan, kelapa sawit, sayuran, penternakan lembu dan kambing, ikan serta chalet pelancongan.

Oleh kerana IGrow mengamalkan perniagaan sosial, mereka bukan sahaja melahirkan usahawan dalam kalangan siswazah tetapi juga membangunkan komuniti ekonomi dalam kalangan masyarakat setempat.

“Bermula dengan usaha membangunkan kegiatan ekonomi komuniti peringkat mukim, kami berjaya mengembangkan aktiviti seumpama itu dengan mewujudkan produk Desa Pelancongan Pasir Salak (DPPS) yang menggabungkan elemen pertanian, industri asas tani dan khazanah warisan desa dalam Parlimen Pasir Salak,” katanya.

Pada tahun lalu, Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN) pula telah menjadikan kegiatan komuniti IGrow ini sebagai model program Komuniti Ekonomi Rukun Tetangga dan Integrasi Nasional (Kenal) dengan menjadikan RT Parlimen Lawas, Sarawak dan Maran, Pahang sebagai program perintis berkembar dengan Komuniti MKMF dan DPPS.

Tambah Nordin lagi, IGrow adalah satu-satunya pusat latihan pertanian swasta yang berdaftar bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.

“Tidak ramai pengusaha yang berani menceburi sektor ini sebagai pusat latihan kerana cabaran yang dihadapi bukanlah mudah tetapi kami terus bertahan dan mengorak langkah ke hadapan kerana kami percaya, pertanian adalah sumber kekayaan masa depan,” kata Nordin lagi.

Nordin juga berkata, sebagai menyahut cabaran Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang mahu melihat Perak menjadi Lembah Makanan Negara, IGrow dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) dan beberapa syarikat pelaburan pertanian bakal membangunkan Kompleks Ladang Integrasi Usahawan Generasi Baru IGrow di atas tanah seluas hampir 200 ekar di Sungai Galah, Perak bagi membolehkan siswazah anak tempatan menceburi pelbagai kegiatan usahawan tani di dalam kompleks berkenaan selewatnya akhir tahun ini.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain