Bagi mengatasi masalah tersebut, sebuah syarikat BASF mengambil inisiatif membantu pesawah yang terjejas dan mencari jalan penyelesaian dalam menangani masalah padi angin sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

Program yang diperkenal tersebut dinamakan Sistem Pengeluaran Clearfield merupakan penyelesaian yang sangat efektif untuk mengawal padi angin, walaupun petak sawah di sekitarnya mengalami infestasi.

Hasil yang diperoleh dari siri petak demonstrasi di sebuah ladang contoh menunjukkan bahawa ia berjaya.

Program demonstrasi diadakan di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu-Barat Laut Selangor (IADA-BLS) dan petak-petak demonstrasi menunjukkan bahawa apabila digunakan mengikut sistem Panduan Pengunaan Pengawasan yang lengkap, sistem tersebut adalah jauh lebih berkesan berbanding amalan semasa yang biasa.

Petani yang mengikut panduan penggunaan lengkap dapat mencapai hasil tuaian padi sehingga tujuh tan metrik sehektar.

Hasil dicapai dan sebagai sebahagian daripada acara Hari Ladang yang dianjurkan oleh BASF bersama Kilang Beras Seri Merbok Sdn. Bhd, dan koperasi petani setempat di bawah kelolaan Jabatan Pertanian serta IADA-BLS.

Justeru, hasil demonstrasi tersebut jelas menunjukkan bahawa Sistem Pengeluaran Clearfield masih merupakan satu-satunya cara yang terbukti bagi petani tempatan untuk mengawal serangan padi angin yang menjadi masalah di sesetengah kawasan.

Berkongsi lebih lanjut Pengurus Kanan Teknologi Toleransi Herbisid Asia Pasifik BASF, George Varghese berkata, pihaknya dan rakan-rakan niaga membuat pelaburan yang besar dalam teknologi ini supaya petani mempunyai peralatan yang efektif untuk memerangi padi angin.

"Enam petak sawah untuk demonstrasi telah disemai terdahulu daripada itu iaitu empat lot diusahakan mengikut panduan penggunaan yang ditetapkan oleh Jabatan Pertanian, IADA dan BASF yang merangkumi penyediaan tanah secara komprehensif, dan jadual penggunaan racun herba yang ketat," ujarnya.

Dua lot lagi pula digunakan sebagai kawalan dan diusahakan mengikut amalan yang menjadi kebiasaan petani.

Pada Hari Ladang yang diadakan sebelum ini, peserta dijemput untuk melihat petak demonstrasi dan mereka diminta mengulas tentang perbezaan antara dua set petak sawah itu.

Hasilnya, yang boleh dilihat dengan jelas walaupun bagi mereka yang tiada pengalaman.

Petak-petak sawah yang mengikut panduan penggunaan yang ditetapkan tidak menunjukkan sebarang masalah padi angin, walaupun kedua-dua petak sawah kawalan dan kawasan sekitarnya menunjukkan infestasi yang teruk.

Hasil tuaian petak sawah yang menghadapi infestasi adalah antara 40 hingga 75 peratus lebih rendah kerana terjejas oleh padi angin.

Demonstrasi tersebut menekankan bahawa langkah-langkah yang diberikan dalam Panduan Penggunaan Penanaman Clearfield, termasuklah penyediaan tanah yang sewajarnya sebelum mula menyemai dan mematuhi aturan masa penggunaan racun herba yang betul, adalah penting untuk mendapatkan keputusan yang baik.

Untuk membantu petani supaya lebih memahami protokol lengkap, BASF dan rakan-rakan niaganya telah menerbitkan panduan penggunaan pengawasan yang dikemas kini untuk disertakan dengan sistem lengkap empat bahagian tersebut.

"Kami dimaklumkan bahawa terdapat beberapa petani yang menggunakan biji benih yang tidak sah atau racun rumpai yang tidak berdaftar untuk menggantikan biji benih dan racun herba dalam Sistem Pengeluaran Clearfield.

"Lebih-lebih lagi, mereka juga tidak mengambil langkah-langkah yang sepatutnya seperti mana yang digariskan dalam Panduan Penggunaan Clearfield.

"Masalah tersebut akan mengurangkan jumlah hasil padi akibat infestasi padi angin," ujarnya.

Teknik penanaman padi melalui cara konvensional merangkumi penggunaan biji benih bukan Clearfield dan juga memerlukan penggunaan racun rumpai tambahan.

Selain itu, terdapat beberapa amalan tambahan seperti penanaman melalui teknik pemindahan digunakan untuk mendapatkan hasil yang dikehendaki.

Teknik tersebut memerlukan kos tambahan untuk dilaksanakan.

Hasil yang diperoleh daripada beberapa petak demonstrasi di sebuah ladang contoh menunjukkan bahawa Sistem Pengeluaran Clearfield dari BASF masih merupakan penyelesaian yang sangat efektif untuk mengawal padi angin dan ternyata meningkatkan hasil di beberapa kawasan di negara ini.

Petak-petak demo yang terletak di kawasan jelapang menunjukkan tahap infestasi padi angin dapat dikawal dan ini membawa kepada peningkatan hasil tuaian padi sekurang-kurangnya dua tan metrik sehektar.

Contohnya, Felcra mencatat hasil tuaian purata sebanyak 6.5 tan metrik selepas menggunakan Sistem Pengeluaran Clearfied, satu pencapaian dalam sejarah pengeluaran beras Felcra.

Untuk hasil yang terbaik, petani mesti menggunakan biji benih sah iaitu MRR220CL1 atau MRR220CL2 bersama dengan racun herba Onduty berkualiti tinggi dan surfaktan seperti yang digariskan dalam panduan penggunaan lengkap.

Petani mesti guna semua langkah Clearfield

Oleh kerana Clearfield adalah sebuah sistem, adalah penting setiap langkah dilaksanakan dengan menyeluruh dan bukannya sebahagian sahaja.

Sebagai contoh, petani tidak boleh hanya menggunakan biji benih Clearfield dan mengetepikan langkah yang lain pada musim penuaian pertama selepas penggunaan Sistem Pengeluaran Clearfield.

Menurut Varghese, jika petani menggunakan Sistem Pengeluaran Clearfield secara menyeluruh, iaitu merangkumi penggunaan biji benih padi sah Clearfield bersama dengan racun rumpai berkualiti tinggi daripada BASF dan surfaktan mengikut panduan penggunaan pengawasan terperinci, tiada masalah yang akan timbul daripada sistem tersebut.

Untuk menjamin hasil penuaian yang baik, petani mesti menggunakan sistem tersebut secara menyeluruh. Penggunaan yang mematuhi panduan penggunaan juga adalah amat penting.

BASF telah bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani seperti Jabatan Pertanian, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk meningkatkan kesedaran dan melatih para petani dalam menggunakan Sistem Pengeluaran Clearfield.

Petak-petak demonstrasi yang diaturkan di bawah program bersama agensi kementerian berkenaan menunjukkan bahawa apabila digunakan mengikut panduan penggunaan pengawasan sistem yang lengkap, Sistem Pengeluaran Clearfield jauh lebih berkesan berbanding amalan semasa yang biasa.

BASF merupakan syarikat yang terlibat dalam beberapa bidang kimia, plastik, produk perlindungan tanaman dan minyak dan gas.