Masyarakat hari ini perlu sama-sama berfikir bagaimana membantu mengurangkan penebangan pokok, daripada membeli, sewa buku daripada perpustakaan, kitar semula kertas yang digunakan dan yang paling penting, didik anak-anak anda untuk melakukan perkara yang sama.

Hutan yang sihat serta alam sekitar yang bersih akan meningkatkan tenaga, serta memberi semangat dan ketenangan jiwa.

Program menyayangi hutan telah diadakan sejak sekian lama. Setiap negara yang menganjurkan apa yang dipanggil sebagai Hari Hutan Sedunia (IDF) dengan pengisian aktiviti penghijauan semula hutan, seperti kempen penanaman pokok pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sambutan IDF 2017 peringkat antarabangsa anjuran Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah memilih tema Hutan dan Tenaga. Ini kerana kayu adalah sumber tenaga boleh diperbaharui yang paling utama.

Kayu juga menyumbang kira-kira 45 peratus bekalan tenaga pada peringkat global (27 peratus daripada jumlah bekalan tenaga utama di Afrika, 13 peratus di Amerika Latin dan Caribbean dan lima peratus di Asia dan Oceania). Oleh itu, tema IDF 2017 menekankan kepentingan tenaga ini dalam memperbaiki kehidupan rakyat, menjana pembangunan lestari dan mengurangkan kesan perubahan iklim.

Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abdul Latif Mohmod berkata, pada tahun ini, FRIM mengambil pendekatan yang berbeza dengan mentafsir konsep Hutan dan Tenaga sebagai tenaga dalam setiap insan yang menunjukkan rasa cinta, sama ada terhadap alam sekitar, keluarga serta juga FRIM.

“Tenaga ini boleh diinterpretasikan sebagai Life Force atau Qi, iaitu konsep kuasa kehidupan yang penting dalam perubatan dan penyembuhan,menurut kebanyakan budaya lama dunia,’’ kataya pada majlis perasmian IDF 2017 di Kepong baru-baru ini.

FRIM kata beliau, mengambil pendekatan berbeza dengan memilih Semarakkan dengan Cinta sebagai tema dengan mendefinisikan tenaga bukan sebagai bahan api tetapi tenaga dalam setiap insan yang menzahirkan rasa cinta.

Tema tersebut juga mencerminkan kepentingan tenaga yang dirasai ketika berada di dalam hutan dan dikelilingi pokok-pokok sebagai ‘kuasa kehidupan’ seperti mana yang sering diperkata oleh kebanyakan budaya lama dunia.

Kata beliau lagi, tujuan sambutan IDF 2017 Peringkat FRIM adalah untuk menggalakkan penanaman pokok bagi penyembuhan, memperingati peristiwa penting, bagi penghijauan dan penyejukan bumi, menyediakan makanan untuk hidupan liar, serta sebagai perbuatan yang mulia atau luahan rasa sayang.

Sambutan ini juga memberi peluang kepada seisi keluarga untuk berkumpul dan bersama-sama menikmati keindahan alam semula jadi.

Selain itu, ia membolehkan masyarakat setempat melibatkan diri dalam usaha penjagaan FRIM sebagai yang sudah menerima pengiktirafan sebagai Warisan Semula Jadi, Warisan Kebangsaan dan sedang berusaha mendapatkan status Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Sempena sambutan tersebut, FRIM mengadakan aktiviti menanam pokok kenangan (commemorative tree planting) untuk penyertaan umum.

FRIM juga melaksanakan aktiviti seperti Love My Accessory iaitu pertandingan untuk kanak-kanak menggubah bunga, daun, ranting dan rumput bagi menghasilkan aksesori fesyen dan Love My Trees

Untuk tujuan itu, sebanyak 50 anak pokok spesies merawan kanching (Hopea subalata) disediakan bagi aktiviti penanaman pokok kenangan (commemorative tree planting) yang akan ditanam di satu kawasan dalam kampus FRIM dikenali sebagai Field 10 dan Field 11.

Program tersebut membolehkan peserta berkongsi pengalaman serta peristiwa penting untuk diabadikan menerusi penanaman pokok.

Aktiviti pengenalan pokok bagi meningkatkan kesedaran serta kemahiran peserta dalam pengecaman pokok-pokok Dipterokarpa yang merupakan komponen utama hutan hujan tropika dan Love My Photos iaitu pameran gambar penyertaan Pertandingan Fotografi FRIM 2016.

Antara program yang dianjurkan sempena sambutan kali ini adalah Pertandingan Fotografi 2016 yang bertemakan FRIM: Tapak Warisan Dunia bagi kategori dewasa dan pelajar sekolah.