Ini akan menyebabkan daun menjadi kering dan reput serta boleh mengakibatkan penurunan hasil sawit sebanyak 33 hingga 47 peratus dalam tempoh dua tahun.

Cara perebakan ulat bungkus adalah melalui angin, daun sawit yang bersentuhan dan bawaan jentera ladang memudahkan lagi ulat perosak tersebut merebak dengan pantas.

Difahamkan, serangan ulat bungkus bermula serius pada 2002 di selatan Perak dengan jumlah kawasan serangan seluas 1,394 hektar (ha).

Berdasarkan data rekod Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada 2017, kawasan serangan terkini hampir 33,000 ha kawasan pekebun kecil telah diserang ulat bungkus.

Justeru, pekebun atau pengusaha estet perlu mengambil langkah untuk mengawal serangga perosak ini dari peringkat awal dan keengganan berbuat demikian boleh mengakibatkan serangan merebak yang mengancam hasil sawit di kebun atau estet di sekitarnya.

Ulat bungkus telah diwartakan sebagai makhluk perosak berbahaya pada 15 November 2013 bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Warta Kerajaan Persekutuan Akta 167). Semua pemilik ladang dan kebun sawit dikehendaki mengawal perosak berbahaya mengikut panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) ini.

Sebarang kerosakan pada pokok sawit akibat serangan ulat bungkus dengan populasi melebihi paras ambang ekonomi (ETL) perlu dilaporkan segera kepada MPOB atau Jabatan Pertanian.

Menjadi suatu kesalahan bawah akta tersebut, sekiranya perosak berbahaya itu dibiarkan tanpa kawalan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Justeru itu, MPOB mengesyorkan kawalan ulat bungkus secara Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) yang terdiri daripada empat komponen utama iaitu kawalan menggunakan biopestisid berasaskan Bacillus thuringiensis (BT), pemasangan perangkap feromon asli, penanaman tanaman bermanfaat dan agen kawalan biologi seperti serangga pemangsa dan parasitoid bagi mengawal pembiakan populasi ulat bungkus.

Terbaharu, MPOB akan menjalankan kawalan serangan ulat bungkus di kawasan pekebun kecil sawit melalui pendekatan IPM secara percuma dengan kos sebanyak RM12.4 juta yang diperuntuk oleh kerajaan.

Bagi Dr. Mohamed Mazmira Mohd. Masri yang merupakan Ketua Unit Entomologi dan Mikrobiologi Gunaan MPOB yang terlibat secara langsung dalam penyelidikan kawalan ulat bungkus, kehadiran ulat berkenaan sejak dua dekad lalu perlu dikawal dengan pendekatan IPM serta mengurangkan penggunaan racun kimia berbahaya yang mampu merosakkan ekosistem alam sekitar.

Katanya, BT merupakan pilihan terbaik kerana semburan yang dilakukan sama ada melalui kapal terbang, dron atau pun secara terus melalui traktor kerana ia adalah sejenis bakteria bermanfaat berbentuk rod dan menghasilkan spora yang mengandungi protein kristal yang bertindak spesifik terhadap serangga perosak sasaran daripada Order Lepidoptera.

“Semburan BT ini tidak berbahaya dan tidak memberi kesan sampingan kepada manusia serta tidak merosakkan keseimbangan alam sekitar.

“Malah tidak memberi kesan kepada serangga bukan sasaran yang baik untuk pertumbuhan sawit,” katanya yang ditemui selepas Majlis Taklimat dan Demonstrasi Kawalan Serangga Perosak Ulat Bungkus anjuran MPOB di Teluk Intan, Perak, baru-baru ini.

Tambah Mohamed Mazmira, kajian berkaitan BT telah bermula sejak 1990 dan merupakan pendekatan yang terbaik pada masa ini kerana berjaya menghapuskan ulat bungkus secara berkesan dan menyeluruh selain ia merupakan produk tempatan yang bersesuaian dengan ekosistem dan cuaca di Malaysia.

INFOGRAFIK

Tiga jenis ulat bungkus serang sawit

Menurut Dr. Mohamed Mazmira Mohd. Masri, terdapat tiga jenis ulat bungkus yang biasa menyerang pokok sawit di negara ini iaitu Metisa plana, Pteroma pendula dan Mahasena corbetti yang merupakan perosak utama tanaman sawit.

“Dari segi taburan berdasarkan spesis Pteroma pendula kebiasaannya dijumpai di kawasan utara Semenanjung Malaysia, sementara Metisa plana pula di selatan Malaysia dan Mahasena corbetti di Sabah serta Sarawak. Walau bagaimanapun ada sesetengah kawasan terdapat campuran dua atau ketiga-ketiga serangga perosak berkenaan,” jelasnya.

Pengawalan ulat bungkus paling berkesan pada peringkat larva kerana pada ketika itu, ulat akan memakan daun yang disembur dengan BT yang kemudiannya memberi kesan pada sistem penghadamannya sehingga menyebabkan ususnya berlubang.

“Bayangkan seekor betina dari spesis Metisa plana sahaja mampu menghasilkan antara 100 hingga 300 biji telur dan jika tidak diatasi sektor kelapa sawit di negara ini boleh mengalami kerugian yang besar,” katanya.

Kesan toksin BT yang dimakan itu akan menyebabkan ulat bungkus tiada selera untuk makan dan akhirnya mati kelaparan. Proses tersebut mengambil masa antara tujuh hingga 14 hari.

“Kerana itu, apabila mahu menyembur perlu mengambil kira peringkat kitar hidup ulat bungkus tersebut dan juga kesesuaian cuaca. Produk BT memerlukan sekurang-kurangnya empat atau lima jam untuk melekat pada daun sawit. Masa yang sesuai adalah pada musim panas dan tidak berangin,” ujarnya.

Mohamad Mazmira menambah semburan menggunakan kapal terbang akan dilakukan di ladang yang memiliki keluasan melebihi 100 hektar kerana berupaya menyembur kawasan seluas 1,000 hektar sehari.

“Sementara semburan menggunakan UAV atau dron sesuai untuk kawasan serangan yang luas kurang daripada 10 hektar kerana berupaya menyembur kawasan seluas lima hingga lapan hektar sehari. Penggunaan semburan dron sesuai diaplikasi di kawasan pekebun kecil yang mengalami serangan ulat bungkus secara bertompok,” katanya lagi.