Pengarahnya, Alwi Anang turut memberi jaminan kepada pengusaha atau pengeluar buah-buahan bahawa mereka masih mampu menjual hasil tanaman itu pada harga yang munasabah.

“Tidak timbul isu lambakan pengeluaran buah-buahan sehingga mendatangkan kerugian kepada pengeluar walaupun ha­sil pengeluaran meningkat lebih 40 peratus berbanding tahun sebelum ini bagi daerah Muar dan Tangkak.

“Kita sudah membuat persiapan awal bagi menghadapi pertambahan pengeluaran dengan mengadakan pelbagai promosi jualan buah-buahan tersebut di seluruh negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Jualan Terus dari Ladang Buah-buahan Bermusim Peringkat negeri sempena 'My Best Buy' di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Alwi berkata, FAMA turut menyasarkan untuk melaksanakan 15 program jualan buah-buahan tempatan di seluruh negeri ini dalam usaha memastikan tidak berlaku lambakan sehingga merugikan peniaga.

FAMA bekerjasama dengan Jabatan Pertanian untuk melak­sanakan tiga program jualan melibatkan program Jualan Buah-Buahan, Jualan Terus dari Ladang dan My Best Buy.

Menurutnya, program jualan tersebut turut dibuat di Outlet Pemasaran Negeri Johor melibatkan 62 pasar tani, 27 Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS), jualan melalui Pusat Operasi FAMA dan usahawan bimbingan FAMA serta menerusi Portal Agrobazaaronline.

“Objektif program ini bagi mempromosikan buah-buahan bermusim kepada pengguna, membantu petani memasarkan hasil terus, memberi peluang pembeli setempat mendapatkan buah segar dan menggalakkan pembelian buah-buahan tempatan,” katanya.