Sabri, 54, tiba di sempadan Kedah-Perlis di Sanglang di sini 3 petang semalam, dari Menara Alor Setar, Kedah sejauh 43.15 km yang mengambil masa tujuh jam 28 minit sekali gus merekodkan jarak berjalan kaki sejauh 640 km setakat ini.

Ketibaannya disambut Penge­rusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Ahmad Bakri Ali bersama Pengarah Pertanian negeri, Zulkifli Amin Jusoh berserta rombongan.

Sabri berkata, dia memulakan misi tersebut di Taman Botani Negara Shah Alam, Selangor pada 8 Oktober yang dilepaskan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

“Dari situ, saya mula berjalan mengelilingi taman tersebut sejauh 40.8 km, kemudian bersambung di Sarawak dan Sabah selama lima hari sebelum me­nyambung perjalanan di Sela­ngor, Sarawak, Sabah, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

“Hari ini pula saya akan terus berjalan dari Kangar ke Kedah untuk menyambung perjalanan ke Kelantan, Terengganu, Melaka dan akhir sekali di Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sabri berkata, misi itu akan berakhir di tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 Serdang, Selangor serta bakal menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records.

Terdahulu, Bakri menyampaikan cenderamata kepada Sabri serta menandatangani buku rekod perjalanan di perkarangan pasar minggu Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA B1 Kayang, di sini. – BERNAMA