Pengarah FAMA negeri, Che Samudin Hassan berkata, dua baka durian berkualiti itu berasal dari kawasan Tehel, Ayer Molek serta Tiang Dua dan dikenal pasti ia merupakan lokasi utama bagi pengeluaran buah berkenaan buat masa ini.

Menurutnya, dipercayai Durian Cinta dan Darling merupakan tanaman peladang serta penduduk kampung lama yang menetap di kawasan itu dan menjadikan pesta makan apabila tiba musim pengeluaran buah.

“Bagaimanapun kemunculan varieti durian seperti Musang King, IOI dan pelbagai jenis lain telah menenggelamkan baka ini yang mempunyai tesktur rasa yang lebih pahit dan berlemak tetapi enak dimakan.

“Ciri Durian Cinta dan Darling ini mempunyai berat sekitar 1.5 kilogram (kg) hingga 2 kg sahaja, selain warna pada ulas durian yang tidak begitu menyerlahkan,” katanya ketika ditemui pada Karnival Durian Street Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini hari ini.

Che Samudin berkata, penanaman durian baka itu juga masih belum meluas hanya terdapat kira-kira 10 ekar dan corak tanaman adalah bercampur iaitu dua hingga tiga batang pokok ditanam bersama baka durian lain.

“Kami akan berusaha menjadikan durian jenis Cinta dan Darling ini sebagai satu baka identiti untuk Melaka seperti Musang King yang dikenali di Pahang, IOI ter­kenal di Johor dan sebagainya.

“Kami berjaya dikomersialkan, ia bukan sahaja mampu menarik penggemar raja buah ini malah orang ramai untuk menikmati Durian Cinta dan Darling ini,” katanya.

Dalam pada itu, Che Samudin berkata, penganjuran karnival berkenaan telah memasarkan lebih 35 tan metrik buah-buahan bermusim seperti rambutan, cem­pedak, manggis termasuk durian sejak empat hari lalu dengan nilai jualan RM125,000.

Katanya, bekalan yang dijual pada program itu melibatkan pengeluaran dari ladang sekitar negeri ini dan ia sekali gus membantu petani serta peladang memasarkan tanaman mereka dan mengelakkan lambakan buah hingga menjejaskan kejatuhan harga dan pulangan golongan berkenaan.