Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata pihaknya baharu-baru ini berjaya menghasilkan inovasi baharu termasuklah varieti padi baharu UKMRC-2 dan UKMRC-8 yang dibiayai ioleh Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebelum ini.

Hasil kajian penyelidik UKM, Prof. Dr. Wickneswari Ratnam dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST), bersama bekas penyelidik Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI), Abdullah Md Zain mendapati hasil tuaian padi varieti tempatan dapat ditingkatkan 20 peratus menggunakan gen yang terdapat dalam spesies padi liar.

“Penyelidikan dua varieti padi baharu ini telah didaftarkan di bawah perlindungan harta intelek varieti tumbuhan baharu pada 2009 dan diluluskan pada 2014. Pengujian skala besar di jelapang padi negara juga telah dijalankan dari tahun 2015 hingga 2017 untuk memenuhi syarat pengisytiharan varieti baharu padi yang disarankan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, ‘‘ ujarnya.

Kata beliau, kedua-dua varieti tersebut telah ditanam pada skala besar di Sungai Dua, Pulau Pinang; Semanggol, Perak; dan Tandop, Kedah pada Oktober hingga November 2017 untuk menguji amalan agronomi yang terbaik.

Proses penghasilan varieti baharu ini adalah proses kacukan antara padi tempatan melalui pendebungaan terkawal iaitu padi liar adalah sebagai induk betina manakala padi tempatan berprestasi tinggi adalah sebagai induk jantan pada kacukan pertama. Spesies padi liar daripada alam semula jadi mempunyai kemampuan dalam meningkatkan ciri seperti ketahanan kepada banjir, penyakit, serangan perosak dan peningkatan hasil.

Varieti padi berkenaan dihasilkan menerusi pendebungaan terkawal daripada spesies liar Oryza rufipogon dan varieti mega MR219 untuk meningkatkan hasil dan sebagai varieti alternatif kepada varieti sedia ada.

Berdasarkan dapatan data hasil penanaman 26 varian di Gurun, Seberang Perai dan Sungai Besar, UKMRC-2, UKMRC-3, UKMRC-4 dan UKMRC-8 telah didaftarkan sebagai varieti baharu tanaman (new plant variety) pada Oktober 2014.

Kedua-dua varieti ini kemudiannya dipilih untuk menjalani Ujian Penentusahan Setempat iaitu penanaman di sawah di 14 kawasan jelapang dan bukan jelapang di seluruh negara selama tiga musim yang kemudiannya telah dibentangkan dan diluluskan oleh Jawatankuasa Teknikal Bantuan Kerajaan Kepada Industri Padi dan Beras (BKKIPB) pada 9 Februari tahun lalu.

Semasa proses Ujian Penentusahan Setempat, UKM telah memberi benih kepada petani dan petani menanam padi tersebut mengikut garis panduan Jabatan Pertanian.

Sepanjang proses itu, penyelidik UKM bersama rakan industri memantau dan memberi nasihat kepada petani yang terlibat. Kajian yang melibatkan kos kira-kira RM3 juta.

Sementara itu, Dr. Wickneswari berkata, kerjasama strategik antara UKM dan industri adalah sangat penting dalam menghasilkan penyelidikan yang berkualiti tinggi.

“Kita kena ada situasi menang-menang. Saya ada benih dan mereka (industri) ada kawasan tanah untuk mengeluarkan benih. UKM tidak hasilkan benih tapi kita hasilkan benih baka dan juga benih asas.

“Jadi, kita mesti kena ada pengeluar benih yang boleh hasilkan benih daftar dan benih sah untuk petani. Kita mesti ada satu perjanjian dengan beberapa pihak yang mahu mengeluarkan benih itu supaya hasil daripada jualan itu, ada beberapa peratus yang kita salur balik kepada univeristi untuk mengukuhkan penyelidikan,” katanya.

Penyelidikan tersebut juga mendapati hasil tuaian padi varieti tempatan dapat ditingkatkan 20 peratus melalui introgresi gen yang terdapat dalam spesies padi liar.