Pengkisahan yang berlandaskan bidang sains fiksyen tersebut kadangkala digarap dengan penuh teliti sehinggakan ada yang percaya hal demikian benar-benar boleh terjadi ke atas manusia.

Proses mutasi akibat sinaran radioaktif sememangnya ada memberi kesan ke atas manusia, iaitu ia mampu membunuh atau mematikan sel-sel di dalam tubuh kita.

Walau bagaimanapun untuk berubah menjadi manusia luar biasa mungkin hanyalah kisah khayalan.

Sinaran radioaktif memberi kesan negatif kepada manusia namun bagaimana jika dipancarkan kepada tumbuhan? Adakah ia turut mengalami proses mutasi seterusnya memberi kesan negatif juga?

Menurut Pegawai Penyelidik Kanan, Cytogenetik dan Molekular Tumbuhan, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), Dr. Azhar Mohamad, hal tersebut turut memberi kesan kepada tumbuhan.

Walau bagaimanapun jelasnya, kesan negatif yang diterima oleh tumbuhan akibat sinaran yang didedahkan mampu memberi kelebihan kepada manusia.

“Kajian yang saya lakukan ke atas cendawan Volvareila volvacea atau lebih dikenal sebagai cendawan sawit mendapati ‘kecacatan’ akibat dedahan kepada sinaran gama menggunakan teknologi nuklear membolehkan kita memperoleh pelbagai varieti bakanya.

“Dedahan ke atas baka induk cendawan tersebut menyebabkan rantaian protein dalam asid deoksiribonukleik (DNA) tumbuhan tersebut terputus.

“Setelah terputus ia (cendawan) akan berusaha membaik pulih kerosakan tersebut namun terdapat kecacatan kekal yang menyebabkan genetiknya berubah,” katanya ketika ditemui Mega Sains di Dengkil, Selangor baru-baru ini.

Jelas Dr. Azhar, perubahan akibat kecacatan yang sengaja dikenakan ke atas genetik cendawan tersebut lebih dikenali sebagai ekspresi genetik (gene expression) akan menyebabkannya kehilangan warna, lebih cepat membesar dan pelbagai lagi.

Spesies Volvareilla volvacea pada asalnya memiliki skema warna yang agak gelap pada bahagian hujung buahnya (kepala cendawan).

Apabila didedahkan sinaran gama, genetiknya akan berubah dan membolehkan cendawan tersebut berubah kepada berwarna putih keseluruhannya.

Selain itu, kesan mutasi ke atas cendawan tersebut juga menyebabkannya lebih cepat membesar dan memberikan hasil yang tinggi berbanding baka asal.

Baka asal memerlukan enam hingga lapan hari untuk pengeluaran buahnya namun menerusi baka baharu tersebut ia hanya memerlukan jangka masa empat hari sahaja.

Kajian yang dilaksanakan sejak tahun 2012 itu kini telah berjaya mengeluarkan baka Volvariella spp. yang stabil.

“Proses saringan memerlukan beberapa generasi baharu kita memperoleh baka induk yang stabil untuk tujuan pengkomersialan,” katanya.

Pertumbuhan cendawan itu banyak dipengaruhi faktor suhu, kelembapan dan pH (tahap keasidan) berbeza-beza mengikut peringkat pertumbuhannya.

Peringkat pertumbuhannya boleh dibahagikan kepada fasa vegetatif iaitu pengembangan misellium dan fasa reproduktif iaitu fasa pengeluaran jasad buah (cendawan).

Kadar pertumbuhan misselium memerlukan tujuh hingga lapan hari, pengkolonian misellium pada benih bijirin, 12 hingga 15 hari dan pengkolonian misellium benih substrat iaitu 11 hingga 14 hari. Setiap fasa tersebut memerlukan kadar kelembapan sekitar 60 hingga 70 peratus.

Proses pengembangan cendawan tersebut bermula daripada penanaman benih, pengembangan misellium, pengeluaran jasad buah sebesar kepala pin, butang, telur seterusnya pemanjangan dan akhirnya matang.

Volvareilla volvacea secara ekologinya merupakan saprofit dan mengambil sumber makanannya daripada bahan organik yang reput khasnya sisa pertanian terutama tandan sawit.

Oleh kerana galak tumbuh pada tandan sawit lalu ia digelar cendawan sawit dan boleh dimakan dalam pelbagai jenis masakan.

Volvareilla volvacea memiliki insang berwarna merah jambu yang mengandungi spora serta aroma dan tekstur unik.

Selain itu jasad buah Volvareilla volvacea mengandungi 85 hingga 90 peratus air, tiga peratus protein, empat peratus karbohidrat, 0.1 peratus lemak dan satu peratus mineral serta vitamin.

Bahagian bawah cendawan yang matang mempunyai sarung yang dikenali sebagai volva dan cendawan ini tumbuh dengan cepat dalam persekitaran atau iklim tropika iaitu sekitar 28 hingga 35 darjah Celsius.

Penghasilan variasi cendawan mutan tersebut yang berpotensi dalam menawarkan benih yang berkualiti tinggi yang murah secara berterusan kepada petani dan pengusaha cendawan.

Baka Volvareilla tersebut itu mula dipasarkan kepada orang ramai yang berminat dan kini Nuklear Malaysia turut terlibat bersama Jabatan Pertanian bagi membantu masyarakat

Selain cendawan sawit, cendawan daripada spesies lain juga boleh dibaik baka menerusi kaedah tersebut.