Pakar pertanian bandar tempatan, Mohamad Izham Mohd. Alias berkata, konsep pertanian bandar adalah menggunakan sistem hidroponik  iaitu berkebun tanpa menggunakan tanah.

Teknlogi hidroponik pula terdiri daripada pelbagai pecahan seperti akuaponik, fertigasi dan NFT (nutrient film technique)
“Ia merupakan kaedah berkebun menggunakan pasu. Di Indonesia mereka menanam buah dalam pot atau lebih dikenali sebagai tabulampot,’’ ujarnya yang juga pengasas  kebunbandar.com. 

Antara kaedah penanaman yang menarik adalah  penanaman menegak (vertical farming).

Selain itu, terdapat teknologi yang membolehkan penanaman pada dinding bagi memaksimumkan penggunaan ruang dalam atau luar rumah.

Beliau membahagikan pertanian bandar kepada dua kumpulan iaitu petani komersial dan pekebun rumah (home gardener). 

Petani komersial katanya, lebih sesuai menanam tanaman yang cepat memberi hasil dan bernilai tinggi seperti salad, kailan, cili dan tomato.

Bagi pekebun rumah, mereka tidak terhad untuk menanam apa sahaja jenis sayuran iaitu bermula daripada kangkung, sawi, kubis, cili, tomato sehinggalah kailan.

Ditanya sama ada penanaman cara tersebut mahal, beliau berkata, ia mungkin demikian sekiranya diaplikasikan pada skala komersial. 

“Boleh buat sendiri bahan-bahan untuk hidroponik. Contohnya satu set hidroponik dijual antara RM50 dan RM70.

“Walau bagaimanapun, jika diusahakan sendiri menggunakan bahan-bahan yang dibeli di kedai RM2, kosnya antara RM5 dan RM15,” katanya.

Satu daripada manfaat pertanian  bandar adalah  mewujudkan suasana kemas dan cantik serta boleh menjadi salah satu tarikan utama konsep berkenaan.

Suasana hijau  juga merupakan satu daya penarik pertanian bandar. Contohnya ada salad berwarna merah dan hijau. Kubis juga boleh menjadi pengganti kepada bunga di halaman rumah.

Terdapat pelbagai benih varieti sayur yang boleh ditanam sebagai dekorasi di  halaman rumah.

Satu lagi kepentingan atau manfaat pertanian bandar  adalah boleh dijadikan sebagai satu terapi kepada pekebun atau pengusaha. 

“Mereka akan berasa tenang apabila melihat tanaman tumbuh subur di halaman rumah selain dapat mengeratkan hubungan sesama keluarga,’’ ujarnya.

Apa yang lebih menarik adalah sekiranya jiran juga mengusahakan  tanaman kaedah yang sama dan dengan itu  boleh bertukar-tukar sayur jika ada lebihan selain menjadi sumber pendapatan sampingan jika boleh dijual kepada rakan sekerja.

Bagaimanapun, cabaran utama mempromosikan pertanian bandar adalah  memupuk kesedaran minat dalam kalangan masyarakat.

Justeru kaedah terbaik menangani masalah tersebut adalah pendidikan.

“Teras utama adalah mendidik masyarakat bandar berkebun. 

“Kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan agensi di bawahnya seperti Jabatan Pertanian dan  Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) boleh membantu menggiatkan usaha mendidik dengan menganjurkan kursus bulanan di taman perumahan atau kampung selain aktif dalam media sosial untuk menganjurkan tutorial bercucuk tanam,’’ ujarnya.  Cabarannya mungkin disebabkan masih tidak tahu walaupun tinggal di bandar, mereka tetap boleh berkebun. 

Ini kerana, aktiviti berkebun tidak semestinya memerlukan tanah dan ruang yang luas. “Bahkan di Amerika Syarikat (AS) ada pekebun hanya menumpang tanah di halaman rumah orang mampu menjana ratusan ribu ringgit setahun.

“Agensi kerajaan boleh membuat poster tutorial menanam dalam media sosial seperti Facebook,” katanya.

Selain itu, wujudkan saluran YouTube Jabatan Pertanian bagi mendidik masyarakat berkebun di rumah.

“Saya sendiri telah menubuhkan Facebook group Kebun Bandar: Jom Tanam Sendiri sejak 2011 bagi menggalakkan rakyat Malaysia berkebun.

“Sehingga kini kumpulan tersebut mempunyai lebih 300,000 ahli dan lebih 100 hantaran setiap hari berkaitan perkebunan,’’ ujarnya.

Mengenai negara yang  aktif dalam pertanian bandar, Izham berkata,  AS dan rantau Eropah antara yang terkehadapan dalam mempopularkan pertanian bandar.  

Selain itu, negara jiran Indonesia agak aktif dalam mempromosikan pertanian bandar.

“Berdasarkan pembacaan saya, AS dan Kanada mempunyai banyak maklumat berkaitan pertanian bandar. Saya mengikuti beberapa channel youtuber seperti Curtis Stone yang rajin berkongsi kaedah pertanian bandar mereka,’’ ujarnya.

Menurut beliau, dalam era ekonomi yang kurang stabil ini, semua pihak perlu mengambil pendekatan berjimat dengan cara berkebun.

Mengenai sikap segelintir pihak yang masih sangsi dengan program pertanian bandar, beliau berkata, antara faktornya adalah kesuntukan masa.

Kesibukan bekerja seharian juga menjadi antara faktor utama masyarakat kurang terlibat dengan pertanian bandar.

“Seawal pukul 6 pagi sudah bertolak ke tempat kerja. Pulang pula ketika matahari sudah terbenam.

“Walaupun begitu, seperti saya katakan sebelum ini, teknologi pertanian bandar ada banyak. Kita pilih mana yang mudah untuk dimulakan.

Saya percaya dengan pepatah kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih,’’ ujarnya.