Tajudin Abdul Rahman

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, beliau mengakui wujud penguasaan atau kartel oleh pihak tertentu terhadap aktiviti import daging sehingga meng­anaktirikan penglibatan kaum bumiputera.

Menurutnya, tindak-tanduk itu menyebabkan hanya 10 pe­ratus bumiputera terlibat dalam industri import daging sekali gus tidak menggambarkan populasi kaum terbesar di negara ini.

“Lebih menyedihkan apabila terdapat pengendali import da­ging tidak mesra peniaga bumiputera dengan tidak memberi ruang kepada mereka menjalankan perniagaan membawa masuk daging ke Malaysia.

“Setelah melihat angka pengimport bumiputera, saya amat sedih sekali kerana jumlah ini amat kecil sekali sedangkan penglibatan mereka patut lebih besar atau sekurang-kurangnya 30 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan bersama pengimport daging dari India di sini, hari ini.

Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia sebelum ini pernah membangkitkan persoalan mengenai dakwaan wujudnya kartel dalam industri pengimportan ternakan menyebabkan banyak pihak khususnya pemain baharu mengeluh kerana tidak mendapat peluang sepatutnya biarpun memiliki merit.

Pada masa sama, Tajuddin menegaskan, pihaknya sedang melihat punca masalah tersebut termasuk dakwaan wujudnya kartel, sindiket dan persaingan tidak sihat.

Katanya lagi, kementerian juga sedang mencari mekanisme bagi membuka lebih banyak peluang kepada bumiputera untuk terlibat dalam industri berke­naan.

“Antaranya kewujudan pembiayaan dan penubuhan konsortium memandangkan industri ini memerlukan modal yang besar.

“Selain itu, kita akan me­ngadakan pertemuan pengusaha daging import dari India jika ingin mereka memasuki pasaran negara ini, mereka perlu menyokong perniagaan bumiputera,” katanya.

Sementara itu, Tajuddin memaklumkan bekalan daging, kerbau dan kambing untuk Hari Raya Aidiladha pada tahun ini bagi seluruh negara dijamin mencukupi dan orang ramai dinasihatkan tidak panik dengan stok bekalan.