Di negara ini terdiri daripada tiga spesies buah-buahan iaitu utama, nadir dan liar.

Buah nadir adalah buah-buahan yang sukar ditemui dan kebanyakannya dibiarkan dalam keadaan separuh liar tanpa penjagaan yang sempurna.

Buah-buahan ini banyak tumbuh di pinggir kampung dan di dalam hutan seperti petai, cermai, belimbing buluh, abiu, beruas, ceri Terengganu, mentega, rukam dan asam Jawa.

Perkataan nadir bermaksud sedikit atau jarang iaitu pokok buah-buahan tersebut jarang ditemui .

Kerana itu, buah-buahan daripada pokok ini jarang dikomersialkan walaupun memiliki potensi yang besar di pasaran.

Menurut Ketua Unit Buah-buahan, Taman Pertanian Universiti (TPU), Universiti Putra Malaysia (UPM), Ahmad Shazry Supi, di Dusun Humphrey yang terletak di antara pintu gerbang utama universiti berkenaan dan Kompleks Akademi (A) dengan keluasan seluas 5.5 hektar ditanam buah-buahan nadir bersama lebih 600 pokok dan 50 tanaman lain.

Dusun Humphrey terdiri daripada lima zon iaitu nadir, warisan iaitu tumbuh-tumbuhan asal, manggo groove, zon herba dan rempah, serta akuatik.

Dusun Humphrey sebelum 1967 dikenali sebagai Dusun Tani Serdang dijenamakan semula sempena nama Naib Presiden Amerika Syarikat, Hubert Humphrey yang melawat Kolej Pertanian Serdang.

Objektif penubuhan dusun tersebut sebagai daya tarikan, di samping atas tujuan kajian dan penyelidikan.

Tambah Ahmad Shazry, salah satu objektif penubuhan dusun itu juga sebagai lokasi pengumpulan spesies pokok buah-buahan yang jarang ditemui serta belum dikenali untuk dikomersialkan.

“Buah-buahan nadir yang ditanam dijadikan bahan penyelidikan dan kajian oleh pelajar, pensyarah, individu dan agensi yang berkaitan selain menjadi bahan rujukan.

“Dusun Humphrey atau juga kebun dalam bandar ini juga berfungsi untuk memelihara dan mengekalkan kehijauan kawasan di UPM serta menjadi tempat tarikan kawasan bagi meningkatkan nilai estetika institusi pengajian tinggi tersebut,” katanya.

Katanya, penjagaan buah-buah nadir tidak rumit dan sukar diserang penyakit.

“Malah serangga juga tidak menyukainya disebabkan rasa pahit dan masam. Cuma apa yang kami lakukan di sini adalah mengikut jadual pembajaan dan sistem komersial supaya buah-buahan tersebut tumbuh dengan sihat dan membuahkan hasil yang lumayan.

“Yang penting kawasan untuk tanaman pokok sentiasa bersih. Jangan biarkan rumput tumbuh dengan panjang,” jelasnya.

Buah-buah nadir di Malaysia boleh dimakan segar dan ada yang sesuai untuk diproses.

Spesies pokok tersebut hanya tumbuh meliar di kawasan hutan dan usaha perlu dilakukan bagi memastikannya dapat dilihat generasi akan datang.

Tambahnya lagi, kebanyakan buah-buah nadir tumbuh di luar musim dan berpotensi untuk dikomersialkan.

Taman Pertanian Universiti berupaya mengambil langkah untuk memelihara agar sumber ginetiknya boleh digunakan untuk penyelidikan, pembiakan atau rujukan untuk generasi akan datang.

“Pada masa sama, kami melaksanakan kawalan serangga mengikut jadual agar buah-buahan tersebut tahan penyakit serta terus tumbuh di tempat asal," kata Ahmad Shazry.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pertaniannya, Firdaus Kardi pula berkata, penanaman pokok nadir membantu meningkatkan jumlah buah tersebut di pasaran.

Ini kerana, permintaan terhadap tanaman itu agak tinggi di pasaran seperti petai.

“Antara buah nadir memiliki potensi untuk dikomersialkan adalah seperti kedondong, asam gelugur, manggis, mesta, duku, dokong, belimbing buluh dan pulasan, namun kajian lebih lanjut diperlukan untuk melihat khasiat dari segi kesihatan atau kecantikan,” katanya.

Sesuai dengan kedudukan UPM sebagai universiti yang berasaskan pertanian dan makanan, berkunjung ke ladang berkenaan sahaja tidak mencukupi.

Pengunjung yang melawat UPM pastinya akan teruja dengan pelbagai tanaman dan pokok buah-buahan selain berpeluang mempelajari dan mengenali teknik penanaman pokok yang betul, proses produk pertanian, penanaman cendawan dan sebagainya.

“Ini termasuk penjualan produk pertanian seperti benih, sayur-sayuran, anak pokok dan buah-buahan,” ujarnya.