Banyak langkah telah diambil untuk mengitar semula sisa pertanian antaranya termasuklah penghasilan perabot daripada batang kelapa sawit dan juga kompos. Namun, langkah ini hanya dilaksanakan oleh industri yang menjalankan pertanian berskala besar.

Lain pula bagi petani dan peladang secara kecil-kecilan, sisa pertanian ini sering kali akan dibuang atau dikumpulkan di satu tempat dan akan dibiarkan ataupun dibakar.

Secara tidak sedar, proses penguraian dan pembakaran sisa pertanian ini akan menghasilkan gas rumah hijau (GHG) yang merupakan sumber utama pemanasan global.

Bagi mengatasi masalah ini, penyelidik dari Institut Sains Biologi Universiti Malaya, Dr. Rosazlin Abdullah bersama sekumpulan pensyarah dan pelajar telah memperkenal teknologi biochar kepada masyarakat melalui program Jalinan Masyarakat UMCares 2016: Projek Biochar untuk Kelestarian Pertanian dan Alam Sekitar dengan kerjasama dari JKK Kg. Seri Cheeding Banting, Selangor. Biochar merupakan arang hitam khusus yang terhasil daripada pembakaran sisa organik pertanian, penternakan dan perhutanan.

“Teknologi mengenai biochar diketengahkan sebagai salah satu penyelesaian masalah pengurusan sisa pertanian kepada komuniti. Selain menggalakkan aktiviti kitar semula, biochar juga berfungsi sebagai penambah baik kualiti tanah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pelaksanaan projek ini adalah bawah seliaan dan peruntukan dari Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UMCares).

Menurut Pengarah UMCares, Prof. Dr. Nurzulaani Khalid, projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha UMCares untuk membolehkan pensyarah UM berkongsi teknologi dan kepakaran dengan masyarakat.

“Saya yakin dan percaya bahawa usaha murni para penyelidik Institut Sains Biologi bersama komuniti Kg. Seri Cheeding, Banting, Selangor dalam memperkenal aplikasi teknologi biochar dapat meningkatkan lagi kesedaran serta tanggungjawab untuk melestarikan alam sekitar melalui amalan kitar semula sisa tanaman,” katanya juga penyelidik dari Institut Sains Biologi, UM.

Objektif utama projek ini dijalankan adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai pengurusan sisa dan menggalakkan aktiviti kitar semula dalam kehidupan seharian masyarakat kampung.

Projek ini juga bertujuan untuk menambah baik kualiti tanah melalui aplikasi biochar ke atas tanah dan pelaksanaan pertanian organik secara lestari dengan pengaplikasian biochar dalam skala kecil. Menerusi penghasilan dan pengaplikasian biochar, diharapkan agar dapat meningkatkan pendapatan komuniti.

Secara menyeluruhnya, projek ini dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan dengan aplikasi amalan organik dalam memupuk gaya hidup lestari.

Menurut Pengerusi JKK Kg. Seri Cheeding, lokasi projek ini dilaksanakan, Hassan Musman, projek tersebut merupakan satu usaha yang amat bermanfaat dari pelbagai aspek, antaranya dari sudut sains, ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

“Program ini telah berjaya membimbing penduduk kampung mengenai teknik penghasilan biochar yang berasaskan bahan yang terdapat di sekitar kampung yang mampu mendorong petani untuk mengitar semula sisa tanaman mereka,” katanya.

Bagi mencapai objektif projek berkenaan, beberapa program telah dijalankan antaranya bengkel biochar, demonstrasi penghasilan biochar, penghasilan dan pengaplikasian biochar ke atas tanaman sawi hijau bersama komuniti. Bengkel biochar dan demonstrasi telah disertai lebih daripada 150 peserta melibatkan penduduk kampung, pelajar-pelajar dari SK Seri Cheeding, SMK Jenjarom, Sek. Men. Sains Banting dan kelab SPAS UM.

Ketua Penasihat Persatuan Sains dan Teknologi dari SMK Jenjarom, Masina Misnan berkata, teknologi biochar merupakan pendedahan kepada ilmu baharu yang masih ramai belum ketahui.

“Program ini sesuai terutama kepada pelajar yang mempelajari subjek Sains dan Sains Pertanian dan juga petani dari kampung kerana ilmu baharu yang diterima boleh dipraktikkan sendiri. Dengan adanya sesi demonstrasi yang menarik, para pelajar dapat mempelajari dan memahami mengenai biochar yang disampaikan”

Teknologi penghasilan biochar yang diperkenal adalah menggunakan alat yang mudah dan selamat.

Mudah, praktikal untuk penduduk

Bagi Setiausaha Kg. Seri Cheeding, Banting, Selangor, Zahir Tahar, teknologi penghasilan biochar ini adalah mudah dan praktikal untuk penduduk kampung.

“Sepanjang penglibatan saya dalam penghasilan biochar ini, saya dapati bahawa teknologi yang diperkenal adalah mudah untuk dihasilkan terutama sekali alat yang digunakan adalah mudah alih dan dihasilkan dari bahan kitar semula yang boleh dihasilkan sendiri,” katanya.

Selain bengkel dan demonstrasi, penghasilan dan pengaplikasian biochar ke atas tanaman turut dijalankan bersama penduduk kampung secara praktikal.

Sebanyak 21 batas disediakan bagi penanaman sayur sawi menggunakan lima jenis biochar.

Menurut pendapat peserta yang terlibat, Azhar Kattan, pengenalan mengenai teknologi pertanian yang maju dengan mengekalkan konsep mesra alam adalah sangat bagus. Hal ini kerana teknik biochar yang diperkenal telah berjaya diuji keberkesannya terhadap pertanian dan alam sekitar.

“Pada pendapat saya, projek ini amat bagus dijalankan kerana dapat memberi pendedahan kepada orang ramai tentang kesedaran alam sekitar.

“Saya berharap generasi akan datang turut mengadakan projek sebegini. Saya juga percaya jika produk biochar dikomersialkan pasti ramai akan menggunakannya kerana kesan biochar terhadap hasil tanaman amat bagus,” ujar JKK Kg Seri Cheeding, Zainuddin Sanip pula.

Secara keseluruhannya, projek tersebut telah memberi pendedahan mengenai teknologi biochar yang telah diguna pakai oleh negara luar untuk meningkatkan kualiti tanah, hasil tanaman dan dalam masa yang sama dapat membantu menjaga alam sekitar.

Selain itu, penghasilan dan pengaplikasian biochar juga boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan kepada komuniti Kg. Seri Cheeding.

Sebarang maklumat tambahan mengenai penyelidikan biochar ini boleh didapati melalui Dr. Rosazlin Abdullah di [email protected]