Menyingkap semula sejarah tanah Bario yang merupakan sebuah daerah di kawasan timur laut Sarawak, penduduknya adalah mereka yang merupakan dalam kalangan masyarakat Kelabit. Penghuni di tanah bertuah itu bukanlah calang-calang orang, kerana mereka bekerja keras demi sesuap nasi.

Mana tidaknya, keadaan jalan tanah merah di kawasan pedalaman itu berbeza sekali dengan jalan darat yang ada di bandar, menjadikan perjalanan di situ agak berdebu apabila setiap kali tayar kenderaan bergolek di atas jalan untuk bergerak ke destinasi yang ditujui.

Dengan adanya tanah lapang, daerah itu dijadikan sebagai kawasan penanaman padi dan dari situlah beras yang dihasilkan dinamakan sebagai beras Bario. Malah terdapat pelbagai jenis penanaman lagi yang masih tidak diketahui umum kerana produk mereka tidak kesampaian untuk dikomersialkan di Semenanjung.

Seperti yang dinyatakan, masalah jalan di daerah itu merupakan suatu perkara yang harus diteliti dan diambil berat oleh pihak berwajib bagi membantu masyarakat berkembang menjadi usahawan di peringkat tempatan dan diyakini dengan sokongoan semua pihak, mereka mampu menyerlah di peringkat antarabangsa.

Bario adalah antara daerah yang perlu dibantu oleh kerajaan supaya penduduk di situ mendapat manfaat yang sama dengan mereka yang berada di bandar.

Wartawan Utusan Malaysia yang berkesempatan ke Bario ketika mengikuti lawatan kerja Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini bukan sekadar melihat masalah-masalah yang ada di kawasan tersebut, tetapi ternampak juga sinar harapan untuk masyarakatnya dengan adanya bantuan dan sokongan.

Usahawan yang menetap di daerah itu pasti boleh menjadi lebih maju sekiranya dibimbing oleh mereka yang berkenaan kerana asasnya, masyarakat di situ sudah pun memulakan usaha masing-masing bagi menjadi usahawan pertanian apabila ada di antara mereka yang membangunkan penanaman atau ternakan tertentu.

Bario tidak lekang dengan sumber rezeki. Sudah diketahui umum bahawa beras Bario mempunyai keunikan dan keenakannya yang tersendiri. Namun tidak ramai yang berpeluang mencuba produk dari bahagian utara Sarawak itu kerana ada yang mengatakan harga sekilogram beras itu di Semenanjung adalah terlalu mahal, selain sukar untuk diperoleh di pasaran.

Di sebalik kesusahan untuk menemukan beras Bario di Semenanjung, masih ramai yang tidak mengetahui bahawa tanaman padi Bario masih menggunakan kaedah tradisional. Maka, tidak hairanlah jika bekalannya agak terhad apabila usahawan di daerah itu hanya produktif setahun sekali sahaja.

Bercerita tentang keenakan atau perbezaan rasa produk Bario itu dengan beras-beras yang lain, faktor cuaca dan bentuk muka bumi di daerah itu sudah pasti memainkan peranan dalam menjadikan beras itu ada keunikannya yang tersendiri.

Ahmad Shabery sendiri mengakui terdapat keunikan pada produk tersebut apabila mengatakan beras Bario mempunyai keistimewaan, rasa, dan aroma yang lain daripada beras biasa.

“Jika kita lihat dan kaji, beras Bario dikaitkan sebagai satu beras tanaman istimewa kerana ditanam di tempat tinggi yang padinya terendam dalam air bersih yang turun dari gunung, menunjukkan ia adalah satu produk semula jadi dan menjadi satu tarikan kepada kita semua termasuk pelancong asing.

“Harganya pula memang berbeza dengan beras yang lain apabila ia dijual dengan harga tiga kali ganda berbanding produk biasa. Setakat yang saya jumpa, di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur, beras Bario dijual dengan harga RM25 bagi sekilogram berbanding beras biasa yang boleh didapati seberat 10 kilogram dengan harga yang sama,” katanya.

Sementara itu, beliau juga turut menyelami permasalahan yang menjadi satu batu penghalang kepada usahawan-usahawan di daerah ini apabila mengambil serius pandangan masyarakat Bario yang mengadu bahawa masalah pengangkutan menjadikan perniagaan mereka semakin rumit.

“Kita akan terus beri sokongan kepada mereka dari segi bekalan baja kerana saya difahamkan, usahawan di sini mempunyai masalah kos, terutama dari segi penghantaran baja ke kawasan ini. Sebelum ini, baja dibekalkan melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

“Bagaimanapun, yang paling dekat dengan kawasan Bario ini adalah PPK Baram dan masih berjauhan antara satu sama lain dan melibatkan kos yang besar, secara tidak langsung menjadikan harga baja di sini terpaksa ditampung sebanyak dua kali ganda oleh para usahawan Bario,” ujarnya.

Oleh yang sedemikian, beliau sudah meminta pihak Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) supaya memberi sokongan terhadap usahawan yang mengalami kesukaran seperti itu dengan menanggung kos penghantaran baja tersebut bagi meredakan keresahan petani di sini.

“Kementerian faham akan masalah petani di sini kerana kos baja sahaja pun boleh berubah antara RM50,000 hingga RM70,000 untuk semusim. Kita harapkan supaya beras Bario akan menjadi beras ‘specialty’ yang pasarannya bukan sahaja di Sarawak dan seluruh Malaysia, tetapi menjadi jaguh di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengusaha padi, Malik Bala, 49, menceritakan kesukaran mengusahakan beras Bario, lebih-lebih lagi melibatkan kos penghantaran baja yang terlalu tinggi kerana memakan masa kira-kira 12 jam untuk sampai ke tempatnya.

“Beras Bario ini memang terkenal dan cukup istimewa kerana menggunakan baja organik tanpa membabitkan sebarang bahan kimia. Namun, antara masalah yang mengganggu kami adalah cara penuaian padi harus dilakukan secara manual serta kekurangan air apabila waktu kemarau.

“Kalau bercakap soal baja pula, memang susah untuk dibawa dari bandar kerana melibatkan kos yang agak tinggi apabila sekilogram baja adalah berharga RM1.20, maka menjadikan seguni baja perlu ditanggung kos sebanyak RM150 dan setiap musim saya memerlukan lima guni baja untuk tanah satu ekar,” ujarnya.

Jenama Bario aset agropelancongan

Sarawak dikatakan mempunyai kepelbagaian beras yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan iaitu beras merah, beras biris dan beras bukit yang sinonim dengan negeri tersebut untuk dipasarkan secara komersial.

Walau bagaimanapun, seperti yang diketahui ramai, beras Bario merupakan antara yang tersohor bukan sahaja di negeri berkenaan tetapi juga seluruh negara kerana rasanya berbeza daripada beras biasa.

Ini kerana tanpa perlu promosi yang hebat, Tanah Tinggi Bario di utara Sarawak itu cukup terkenal dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara hanya kerana keenakan beras Bario berkenaan.

Meskipun pelbagai jenis beras dikeluarkan di Sarawak, namun beras Bario memang tidak dapat ditandingi keunikan dan keenakan rasanya.

Keunikan dan keistimewaanya itu membolehkan Bario membawa nama Sarawak hingga ke peringkat antarabangsa dan mempunyai daya tarikan pelancong.

Mungkin ramai tidak tahu bahawa beras Bario mempunyai rasa berbeza dengan beras yang ditanam di tempat lain.

Jika beras Bario ditanam di kawasan lain ia tidak akan akan membuahkan hasil yang sama dengan beras Bario asli memandangkan faktor cuaca dan bentuk muka bumi yang tidak sama.

Justeru keenakan beras yang ditanam di Bario mempunyai rahsia tersendiri kerana sumber air yang mengairi sawah padi tersebut berasal dari kawasan pergunungan di situ.

Sehubungan itu, pihak yang bertanggungjawab diharap dapat menyelesaikan masalah yang ada bagi memastikan usaha petani di daerah Bario dapat diteruskan.

Seorang lagi pengusaha beras Baario, Matthews Littah, 56, yang sudah mengamalkan kehidupan sebagai seorang petani sejak berumur 17 tahun menyimpan hasrat supaya dapat melihat produk beras itu dikomersialkan di peringkat tertinggi dan bukan hanya menjadi jaguh di kampung.

“Saya harap pihak kerajaan dapat membantu para petani di sini supaya dapat menambah usaha orang di sini untuk tidak terus mengalah apabila timbulnya sedikit permasalahan kerana produk-produk di kawasan ini mampu pergi jauh lagi jika dapat dikembangkan dan diperluaskan,” jelasnya.- Gambar AZLAN HADI ABU BAKAR