Terletak di utara tanah air, iaitu di Stesen MARDI, Seberang Perai, Pulau Pinang merupakan satu-satunya tempat penyimpanan biji benih padi yang menepati standard antara bangsa di Malaysia.

Menurut Pegawai Penyelidik Kanan, Bank Gen Padi, stesen MARDI tersebut, Site Noorzuraini Abd. Rahman, sejarah penubuhan bank tersebut bermula selepas wujudnya kesedaran untuk mengumpul dan menyimpan germplasma padi tradisional negara.

Jelasnya, tujuan menyimpan biji benih padi tersebut adalah untuk mengelakkan berlakunya kepupusan dan kegunaan pada masa hadapan.

“Aktiviti pengumpulan benih padi-padi tradisional bermula sekitar 1950-an lagi oleh jabatan pertanian negeri.

“MARDI mengambil alih inisiatif ini bermula tahun 1971 iaitu selepas dua tahun penubuhan institut ini,” katanya ketika ditemui di Seberang Prai, Pulau Pinang baru-baru ini.

Bank benih tersebut dirasmikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Tambah Site Noorzuraini, kesemua germplasma (benih) padi yang terkumpul telah diserahkan kepada MARDI pada waktu itu dan bermulalah penubuhan tempat penyimpanan biji benih padi pertama di Malaysia.

Pada ketika itu, benih padi disimpan di Stesen MARDI Bumbung Lima, Seberang Perai, Pulau Pinang yang merupakan sebuah bangunan kecil yang dilengkapi sebuah bilik sejuk yang dikenali sebagai Koitotron.

Bagaimanapun, bilik sejuk tersebut hanya boleh menampung simpanan biji benih padi untuk jangkamasa pendek dan sederhana.

Aktiviti pengumpulan germplasma padi yang berterusan setiap tahun telah menyebabkan kapasiti kawasan penyimpanan biji benih menjadi terhad.

Bagi mengatasi masalah tersebut, MARDI telah bekerjasama dengan Bioversity International (dahulu dikenali sebagai Sumber Genetik Tanaman Antarabangsa, IPGRI) untuk menubuhkan sebuah bank biji benih padi yang baharu terletak di Stesen MARDI Seberang Prai kini.

Kini, bank biji benih tersebut mampu menyimpan biji benih padi untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Bank biji benih padi tersebut bukan sahaja memainkan peranan sebagai pusat penyimpanan padi tetapi juga berperanan penting dalam usaha penyelidikan pembiakbakaan padi.

Antara peranan utama bank biji benih tersebut adalah menyalurkan maklumat berkaitan morfologi padi, ketahanan terhadap penyakit serta ciri-ciri unik yang terdapat bagi setiap jenis padi.

Sehingga kini terdapat 12,883 aksesi atau sampel padi disimpan di bank tersebut merangkumi jenis-jenis padi tradisional Malaysia, padi dari negara luar seperti Indonesia, Thailand, India, Bangladesh, China, Jepun, Myanmar, Amerika Syarikat, Vietnam dan Pakistan.

Antara baka-baka padi tradisional yang digunakan dalam proses pembaik baka adalah seperti Kurau Wangi, Tangkai Rotan, Pandan Gelap, Engkatek, Secupak, Pongsu Seribu 2, Mayang Ebos 80, Radin Goi, Seraup 50 dan Siam 29.

Manakala baka-baka benih padi luar negara yang digunakan adalah seperti IR64, Tadukan, Tetep, Tjina, Basmathi 370, Kasturi, Khaw Dawk Mali, Hosiyutaka, Sigadis, Pebifun, Taichu 65, Zenith dan Peta.

Sehingga kini, sebanyak 44 varieti padi moden telah diisytihar oleh MARDI untuk memenuhi keperluan industri padi negara.

Dua daripada varieti tersebut adalah beras pulut iaitu Pulut Siding dan Pult Malaysia 1, satu varieti beras pulut hitam yang dikenal sebagai Pulut Hitam 9.

Tiga varieti beras spesialti iaitu MRQ76, MRQ74, MRQ50 yang terkenal dengan jolokan nama beras Basmati Malaysia.

Penggunaan teknologi tinggi juga telah membantu MARDI menghasilkan dua lagi varieti padi iaitu MR220 (CL1) dan MR220 (CL2)yang membawa genetik rintang kepada racun rumpai.

Penghasilan dua varieti tersebut adalah untuk melakukan pengawalan padi angin agar petani dapat memperoleh hasil yang tinggi.

Selain mengumpulkan jenis-jenis padi, stesen tersebut juga turut melaksanakan aktiviti penggandaan biji benih padi, pencirian sifat morfologi pokok, padi dan beras serta saringan penyakit.

Bank biji benih tersebut merupakan aset khazanah negara dan sumber kekayaan kepelbagaian genetik tanaman sama seperti bank-bank genetik yang terdapat di seluruh dunia.