Nasib pemuda yang ingin dikongsikan kisahnya di sini bernama Ramana K Naidu, 27, yang ditakdirkan berjaya dalam pertanian selepas diminta pulang ke tanah air oleh bapanya semasa sedang berkelana ke Thailand.

Beliau berada di Thailand kerana sebab yang kuat, menyambung pengajian dalam bidang penerbangan dan akhirnya berjaya menggenggam Diploma Kejuruteraan Aeronautik dan lesen penerbangan komersial (CLP).

“Keadaan politik Thailand pada 2011 yang tidak stabil menyebabkan bapa panggil saya pulang,” ujarnya ketika ditemui di Merbok, Kedah baru-baru ini.

Namun kepulangan beliau bukan menjanjikan rezekinya terjamin sebaliknya menganggur beberapa bulan.

Berkat usaha, beliau bukan pemuda yang dulu, sebaliknya kini menjadi pengusaha jagung bijian yang berjaya di negeri itu. Dengan bantuan beberapa rakan, beliau yang mesra dipanggil Ramana mengakui pertanian yang diminatinya sejak dahulu kini menjadi punca rezeki tetap.

Enam bulan menganggur selepas pulang dari Thailand rupanya menjadi titik tolak turning point kepada usahanya sebelum ini akibat dibelenggu keresahan kerana wang simpanan semakin susut.

Ramana berkata, beliau meminta bantuan daripada rakan yang mencadangkannya membeli sayur dan menjualnya. Namun kerana berpendapat menanam sendiri lebik baik, beliau mengusahakan tanaman bendi bermula pada 2011 dengan keluasan 0.8 hektar (ha). Pada 2013, kawasan penanaman diperluas kepada 3.2 hektar sebelum berpindah ke lokasi baharu di Kampung Bujang Merbok berkeluasan sembilan ha. Di sini, beliau menanam pelbagai jenis sayur seperti timun kacang panjang, bendi, petola dan labu.

Beliau juga pernah cuba menanam ubi kayu untuk mengeluarkan kanji tetapi bimbang hasilnya hanya dapat dikutip dalam tempoh masa panjang. Maka, Ramana kemudiannya mencuba tanaman jagung bijian yang berguna untuk dijadikan makanan ternakan.

Untuk tujuan itu, beliau sekali lagi berkelana hingga ke Thailand dan China bagi mempelajari kaedah penanaman jagung.

Di Kampung Bujang beliau memulakan projek tanaman jagung dengan menyewa beberapa lot tanah dan kini berkembang sehingga 36 ha.

“Saya teruja menanam jagung selepas mendapat tahu Kementerian Pertanian (dan Industri Asas Tani) mahu projek penanaman jagung bijian diusahakan secara besar-besaran,’’ ujarnya.

Bermula dengan pelaburan sebanyak RM200,000, di Merbok Kedah, Ramana kini tidak menoleh ke belakang lagi apabila berjaya mengembangkan projek penanaman jagung bijian ke Kelantan dan Johor selain di Kedah dengan keluasan keseluruhan 213 ha.

“Jumlah pelaburan kini mencecah RM800,000 dengan kebanyakannya melibatkan pembelian jentera, ’’ ujarnya.

Beliau menggunakan benih varieti GWG 888, Suwon Sygenta dan CP. Pada awal projek, beliau menggunakan kaedah manual dalam kerja-kerja menanam dan menabur baja, tetapi semuanya kini menggunakan mesin.

Ramana berkata, beliau menggunakan pendekatan penanaman berkelompok dengan syarikatnya Famox Agritech Sdn. Bhd. sebagai syarikat peneraju (anchor company).

Sehingga kini, beliau mampu mengeluarkan 360 tan jagung bijian dalam tempoh empat bulan dengan tempoh penanaman sehingga penuaian selama 120 hari.

Ramana berkata, kejayaan yang diraih, bukannya dalam sekelip mata sebaliknya dalam usaha menyahut seruan kerajaan supaya memperkasa penanamn jagung bijian. Beliau sudah banyak berkorban dan semakin hari menampakkan kejayaan.

Kejayaan dalam usia muda sebagai usahawan pertanian membawanya kepada penerima Anugerah Usahawan Tani Berjaya pada 2014 oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Ramana juga dianuegrahkan Master Agro Award daripada Persatuan Perlindungan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (APDAM) 2016 dan Anugerah Agropreneur Muda Jaya pada sempena Hari Penternak Peladang dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2016 Peringkat Negeri Kedah.

Ramana juga dianugerahkan Anugerah Pencapaian Istimewa Bagi Kecemerlangan Pertanian daripada Koperasi Usahawan India Malaysia 2016 sempena Majlis Penganugerahan Usahawan Muda Perdana.

Jabatan Pertanian bantu projek jagung bijian

Jabatan Pertanian menganggarkan kira-kira 20,000 hektar (ha) kawasan penanaman jagung dengan kadar pengeluaran sebanyak 400,000 tan metrik menjelang 2020 sebagaimana yang disasarkan dalam pelan pembangunan 2016-2020, sekali gus mengurangkan 100 peratus import negara.

Ketika ini, terdapat 10 buah negeri yang terlibat dalam penanaman jagung bijian dengan jumlah keseluruhan yang berpotensi untuk dibangunkan dengan tanaman jagung bijian pada tahun 2016 dan 2017 adalah sebanyak 1,328.8 ha dengan empat negeri iaitu Terengganu, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan sebagai permulaan dengan keluasan 50.76 ha.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Ahmad Zakaria Mohammad Sidek berkata, pihaknya menyokong penuh inisiatif pengusaha yang sanggup mengeluarkan modal sendiri untuk menanam jagung bijian tersebut.

“Jabatan Pertanian akan membantu dari segi khidmat nasihat teknikal, menyediakan kemudahan lepas tuai dan jaminan belian semula oleh pengilang makanan ternakan,” ujarnya.

Beliau berkata, tanaman jagung perlu diusahakan dalam skala besar dan diuruskan secara komersial menggunakan varieti berhasil tinggi dengan penggunaan mekanisasi di setiap rantaian pengeluaran yang mampu mengurangkan kos.

Dalam masa sama, peluang pasaran agak luas memandangkan negara mengimport kira-kira empat juta tan metrik setahun.

Ahmad Zakaria berkata, projek penanaman jagung bijian itu akan dapat membantu pihaknya mengenal pasti varieti berpotensi untuk dibangunkan berdasarkan lokasi tertentu.

Projek tersebut juga membantu pihaknya menentukan modul yang sesuai digunakan untuk membangunkan kawasan tanaman padi semusim dan kawasan tanah terbiar.

Selain itu, kata Ahmad Zakaria, penggunaan jagung tempatan lebih segar berbanding yang diimport dan pengilang tempatan sanggup membeli dengan harga 10 peratus lebih tinggi daripada harga pasaran.