Menerusi pelbagai ciptaan serta inovasi yang telah diguna pakai oleh petani, kualiti dan hasil pertanian telah meningkat, selain pelbagai baka baharu tanaman yang lebih baik berjaya dihasilkan seterusnya dapat menambah pendapatan golongan tersebut.

Selain itu, dengan kemajuan teknologi masa kini yang lebih banyak beroperasi dengan hanya menggunakan hujung jari, bidang pertanian juga menerima tempiasnya apabila banyak sistem dibangunkan untuk memberi memberi nilai tambah termasuklah antaranya sistem kawasan jauh dan pertanian tepat. Antara contoh inovasi dan teknologi yang semakin luas digunakan adalah teknologi pengklonan baka, penggunaan baja organik, sistem fertigasi tanaman, kaedah pengawalan serangga perosak dan automasi dalam pengurusan tanaman.

Melihatkan perkembangan teknologi yang tiada berpenghujung, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (KPIAT) menerusi Jabatan Pertanian Malaysia juga secara aktif telah membangunkan pelbagai kemudahan teknologi pertanian apabila bilangan petani dan usahawan tani dilihat semakin bertambah di negara ini.

Pertambahan penglibatan masyarakat dalam bidang pertanian merupakan satu petanda baik dan ini memerlukan jabatan kerajaan itu bertindak secara lebih agresif dan kehadapan bagi membantu setiap petani mendapatkan kemudahan yang sewajarnya. Antara teknologi yang mudah dihasilkan dan boleh dimanfaatkan oleh petani adalah penggunaan aplikasi yang dibangunkan berasaskan data dan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Ini bermakna segala maklumat kini boleh diperoleh di hujung jari dengan pantas dan tepat.

Terbaharu, Jabatan Pertanian telah membangunkan aplikasi mudah alih yang dibangunkan bawah projek e-Agrikultur Extension atau e-Pengembangan Pertanian bagi memudahkan pegawai mahupun petani dan usahawan untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan.

Pelancaran aplikasi berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiusaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Sallehhuddin Hassan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Sedang Selangor baru-baru ini.

Beliau mewakili menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek berkata, dua aplikasi yang dibangunkan itu adalah AgriMaths dan 100 Tip Tanaman sebagai rujukan serta panduan ringkas dan mudah menjadi petani moden.

Katanya, aplikasi itu dibangunkan bagi memudahkan dan membantu para usahawan tani yang baru mula menceburi bidang pertanian untuk mendapatkan maklumat penting dan berguna dalam bidang pertanian secara mudah, cepat dan dengan hanya menggunakan hujung jari.

“AgriMaths adalah adaptasi daripada buku Asas Matematik Pertanian terbitan Jabatan Pertanian Malaysia yang menampilkan maklumat pengiraan seperti jumlah biji benih, jumlah batas tanaman dan jarak tanaman.

“Maklumat pengiraan ini juga melibatkan pelbagai jenis tanaman sayur-sayuran dan tanaman singkat masa, buah-buahan, padi kelapa, cendawan, lebah madu dan kelulut, baja, racun makhluk perosak, kejuruteraan pertanian, fertigasi dan aliran kewangan,” katanya.

Tambahnya lagi, aplikasi 100 Tip Tanaman pula memuatkan 100 tip dan petua tanaman yang diolah secara ringkas dan padat sebagai sumber rujukan dan panduan pantas untuk orang ramai.

“Dalam masa yang sama, 
pihak jabatan akan sentiasa melakukan penaiktarafan dan memperbaiki setiap kekurangan aplikasi ini.

“Bukan itu sahaja, kandungan bagi kedua-dua aplikasi juga akan sentiasa diperbaharui selain akan memberi ruang kepada orang awam untuk turut sama berkongsi tip mereka.

“Diharapkan aplikasi ini dapat menjadi panduan berguna kepada semua peringkat masyarakat terutama pengusaha pertanian dan pelajar-pelajar,” katanya.

Beliau juga berharap selain aplikasi itu, banyak lagi produk seumpamanya dapat dibangunkan pada masa akan datang.

Dalam pada itu menurut Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi Jabatan Pertanian, Azahar Ibrahim, pembangunan aplikasi tersebut bermula tahun lepas.

Beliau berkata pembangunan aplikasi tersebut diusahakan oleh pasukan ICT dengan kerjasama perangkaan pertanian yang dibantu oleh semua bahagian yang ada di jabatan tersebut.

“Kamu mula memuat naik aplikasi ini pada April lalu dan setakat 17 Julai lalu, aplikasi AgriMaths dan 100 Tip Tanaman masing masing dimuat turun oleh 3,074 dan 1,811 pengguna.

Kedua-dua aplikasi ini boleh dimuat turun melalui telefon pintar secara percuma di Google Play bagi pengguna peranti Android dan App Store bagi pengguna iPhone.

Kelebihan aplikasi AgriMaths 

Hasil daripada aplikasi AgriMaths ini, pengguna dapat mengetahui jumlah biji benih, jumlah pokok, bilangan batas tanaman, jarak tanaman, kepadatan tanaman, sistem menanam dan keperluan infrastruktur ladang mengikut keluasan tanah.

Menerusi aplikasi tersebut, pengguna boleh mengetahui jumlah bilangan batas tanaman bagi tanaman sayur-sayuran untuk satu ekar (0.4 hektar) keluasan tanah adalah 269 batas tanaman, manakala untuk satu hektar (ha) adalah 664 batas dengan jarak antara batas ialah dua kaki.

Selain itu, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat umum berkenaan baja yang merupakan input utama dalam projek pertanian seperti definisi baja, keterangan formulasi dan kandungan unsur pada beg baja, peratus kandungan nutrien dalam baja bukan organik, carta panduan mencampur baja, formulasi baja fertigasi dan pengiraan baja fertigasi.

Aplikasi 100 Tip Tanaman pula memuatkan 100 tip dan petua tanaman yang diolah secara ringkas dan padat sebagai sumber rujukan dan panduan pantas untuk orang ramai. Antara tip tanaman yang boleh diperolehi dalam aplikasi ini adalah kaedah penyediaan lima jenis baja cecair Natural Farming (NF) iaitu baja hijau, baja buah-buahan, baja berasaskan ikan, baja berasaskan tulang dan baja berasaskan kulit telur, kerang atau siput berserta dengan kaedah mudah penyediaan baja-baja tersebut.

Sebagai contoh, kaedah membuat baja berasaskan ikan adalah dengan menyediakan sekilogram ikan atau sisa ikan kemudian dicampurkan dengan sekilogram gula merah dan bekas perlu ditutup dengan kertas putih dan diikat serta diperam selama empat belas hari dan akhir sekali ditapis untuk mendapatkan cecair baja.

Untuk penggunaan, pengguna boleh mengambil satu sudu besar cecair baja dan campur ke dalam lima liter air dan disiram terus pada tanaman.

Kaedah penyediaan baja ini diharap dapat menggalakkan pengguna membuat sendiri baja secara organik dan secara tidak langsung menggalakkan orang ramai bercucuk tanam dan menghasilkan sumber makanan sendiri yang lebih terjamin keselamatannya.

Aplikasi yang dibangunkan ini diharap dapat menjadi panduan kepada semua peringkat masyarakat terutama pengusaha pertanian dan pelajar.