Serangga perosak ini perlu dibendung dan dikawal dengan segera kerana berpotensi untuk mengancam industri kelapa sawit yang menyumbang sebanyak RM63 juta setahun kepada ekonomi negara.

Kumbang berbahaya yang tergolong dalam order Coleoptera dan keluarga Curculionidee itu dipercayai berasal dari negara Asia Tropika dan telah dilaporkan merebak ke tanaman di beberapa buah negara bermula di Afrika, Eropah dan Mediterranean pada tahun 1980-an.

Serangan RPW pertama kali direkod pada tahun 1994 di Sepanyol, kemudian di Perancis pada tahun 2006 dan di Amerika Syarikat pada tahun 2009.

Di Malaysia, ia pertama kali dikesan di ladang kelapa pandan di kawasan Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, Kelantan dan kemudian pada tahun 2010, Jabatan Pertanian telah mengesan RPW dengan jelas di beberapa buah negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Ahmad Zakaria Mohammad Sidek berkata, RPW telah diwartakan sebagai perosak berbahaya di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 pada Julai 2011 dan telah menguatkuasa akta tersebut bersama Peraturan-peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981 untuk menghalang kemasukan pokok palma yang tidak sah.

“Sehingga kini, melalui bancian yang telah dijalankan, serangga perosak ini telah memusnahkan seluas 465 hektar tanaman kelapa dan 335 pokok kurma di seluruh negara.

“Punca kemasukan RPW ke negara ini adalah melalui pengimportan pokok-pokok palma yang tidak sah terutamanya pokok kurma yang dibawa masuk dari negara jiran.

“Oleh sebab itu, Jabatan Pertanian bersama-sama Jabatan Perkhidmatan dan Kuarantin Malaysia (MAQIS) sedang mengambil langkah-langkah yang lebih ketat untuk menghalang kemasukan pokok palma yang tidak sah di pintu-pintu masuk seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar di Kampung Wakaf, Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.

Katanya, tindakan pemantauan dan kawalan pada tanaman kelapa, kurma dan pokok palma hiasan telah dijalankan oleh Jabatan Pertanian di seluruh Semenanjung Malaysia untuk membendung, mengawal dan menghapuskan perosak RPW.

Menurutnya, langkah-langkah kawalan telah menunjukkan pengurangan serangan di beberapa kawasan. Namun begitu, kemasukan secara tidak sah kurma sebagai tanaman hiasan dan komersial boleh menjejaskan usaha jabatan berkenaan kerana pokok tersebut adalah perumah utama RPW dan ditakuti akan membawa masuk sekali dengan perosak itu.- Gambar Halim Khalid

Perangkap feromon bantu kesan RPW

Selain menstruktur semula tindakan yang perlu diambil melalui penguatkuasaan akta dan peraturan, Jabatan Pertanian turut membendung RPW daripada merebak melalui pengunaan perangkap feromon.

Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Zakaria Mohammad Sidek berkata, pihaknya telah menempatkan sejumlah 2,465 perangkap feromon di seluruh Semenanjung Malaysia dan sehingga kini, sejumlah 3, 013 ekor RPW telah berjaya ditangkap di kawasan serangan.

“Daripada data tangkapan tersebut, Jabatan Pertanian berpendapat bahawa serangan tersebut masih belum terkawal sepenuhnya terutama di kawasan petani, pengusaha dan orang awam tidak mengambil berat mengenai serangan ini.

“Keadaan ini boleh menyebabkan banyak lagi kawasan-kawasan yang akan dimusnahkan oleh RPW dan hal ini sangat membimbangkan sekiranya ia berjaya mengancam industri sawit negara,” katanya.

Oleh itu, Jabatan Pertanian akan memperbanyakkan lagi jumlah perangkap RPW pada tahun ini supaya populasinya berkurangan dan akhirnya dapat dikawal.

Perangkap berkenaan akan ditempatkan di kawasan strategik seperti kawasan kelapa, kurma dan kawasan taman-taman yang ditanam dengan pokok palma hiasan.

Kaedah mekanikal menggunakan perangkap feromon iaitu baldi plastik yang dipasang dengan feromon penarik kumbang dilekat atau diikat pada batang pokok di kawasan serangan.

Setiap dua minggu, perangkap akan diperiksa dan bilangan RPW yang terperangkap akan direkod dan dimusnahkan.

Menurut Ahmad Zakaria, kaedah kultura iaitu kebersihan kawasan ladang adalah sangat penting untuk mengawal populasi RPW dari merebak.

“Kaedah pemusnahan iaitu dengan membersihkan dan memusnahkan semua batang pelepah kelapa secara membakar atau menanam selepas ditebang.

“Kemudian kaedah kuarantin pula dengan tidak membawa masuk bahan tanaman terutama pokok kurma dan pokok palma hiasan tanpa melalui prosedur kuarantin.

“Akhir sekali kaedah kimia iaitu alternatif untuk menghapuskan RPW yang menyerang pokok menggunakan racun serangga seperti cypermethrin bagi pokok rendah atau anak pokok, kaedah soil-drenching di sekeliling pangkal pokok dengan racun imidacloprid (0.1%) dan kaedah suntikan batang dengan racun monocrotophos atau methamidhopos bagi pokok tinggi,” jelasnya.

Tambahnya, selaras dengan pewartaan yang telah dilakukan, Prosedur Operasi Standard (SOP) juga disediakan dengan tujuan menjadi panduan kepada pegawai dan pekerja dalam industri tanaman palma untuk mengesan kehadiran perosak, menghalangnya daripada merebak serta menjalankan kerja-kerja kawalan dan pemantauan.

Kempen Membendung, Mengawal dan Menghapus RPW juga akan diadakan apabila ia melibatkan aktiviti hebahan kepada orang ramai selain mengadakan aktiviti kawalan secara berterusan dengan kerjasama jabatan dan agensi berkaitan.