Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, lebih me­ngujakan, program tahunan itu akan dianjurkan berhampiran ibu kota iaitu di tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dari 28 September sehingga 1 Oktober ini berbanding diadakan secara giliran di negeri-negeri tumpuan dalam sektor pertanian.

Menurutnya, setelah 42 tahun siri penganjurannya, sambutan kali ini akan memperkenalkan program baharu iaitu Festival Makanan Malaysia dengan menampilkan 401 menu pelbagai jenis makanan dan masakan termasuk makanan tema negeri-negeri, di samping penyertaan 600 gerai pameran dan jualan.

“Bertemakan Makanan Kita, Masa Depan Kita, HPPNK 2017 adalah satu platform untuk menghargai dan meraikan mereka yang terlibat dalam penyediaan maka­nan di semua peringkat iaitu daripada pengeluaran (petani, penternak dan nelayan) kepada yang memproses, memasak dan menghidangkan makanan, selain menonjolkan segala teknologi dan inovasi yang digunakan dalam industri makanan.

“Dalam program yang berlangsung selama empat hari itu, para pengunjung boleh menerokai dunia makanan, dari ladang dan lautan ke meja hidangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu khas dalam program Jom Sembang bersama Utusan Online­ di Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Sha­bery berkata, pihaknya menya­sarkan nilai jualan sebanyak RM30 juta menerusi program tersebut apabila turut mendapat sambutan daripada sektor swasta dan organisasi-organisasi dalam industri berkenaan yang telah pun memperoleh tajaan berjumlah RM3.1 juta.

Menurut beliau, HPPNK 2017 bakal menghimpunkan pelbagai program dalam bidang pertanian dan agromakanan demi meraikan golongan peladang, penternak dan nelayan yang akan turut dihargai menerusi Pertandingan Hari Peladang dan Pameran Hasil Pertanian dengan memperkenalkan 14 anugerah bagi mengiktiraf pencapaian dan kejayaan tokoh-tokoh pertanian.

Katanya, jualan hasil pertanian segar dari ladang pada harga berpatutan turut disediakan, selain produk-produk ikan dan makanan laut dengan menampilkan pameran dan jualan hasil laut dan akuakultur, teknologi serta inovasi perikanan.

“Komponen Live Stock Malaysia bakal menampilkan pameran haiwan ternakan pelbagai baka serta mini zoo haiwan peliharaan. Bagi yang terlibat dalam bidang ternakan pula boleh mendapatkan maklumat mengenai teknologi, genetik, kesihatan haiwan, makanan haiwan, kawalan penyakit dan sebagainya.

“Agropelancongan turut diketengahkan dalam program ini sebagai usaha mempromosikan pusat-pusat agropelancongan dalam negara serta memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai sendiri pengalaman melakukan aktiviti-aktiviti pertanian,” katanya.

Ahmad Shabery turut memberitahu, Pameran Kerjaya Agro akan disediakan kepada mereka yang sedang mencari kerja dan berminat untuk menyertai bidang agromakanan yang bakal menawarkan 3,000 peluang pekerjaan di 40 syarikat dalam industri tersebut.

Beliau berkata, pelbagai kemudahan akan disediakan kepada pengunjung untuk menghadiri program HPPNK 2017 antaranya 5,000 petak letak kenderaan dan perkhidmatan bas perantara sebagai usaha untuk mengangkat sektor pertanian di negara ini seterusnya mampu bersaing di pe­ringkat antarabangsa atau bertaraf global.