Melalui pemindahan teknologi daripada penemuan hasil penyelidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, mereka disasarkan mampu meningkatkan pengeluaran padi sebanyak 30 peratus.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, projek perintis melalui pemindahan teknologi itu dihasilkan oleh sekumpulan penyelidik UPM melalui program Skim Geran Jangka Panjang (LRGS) sejak enam tahun lalu.

Katanya, menerusi peruntukan LRGS bagi penyelidikan berimpak tinggi itu UPM berjaya  merealisasikan beberapa inovasi lain  yang mampu menyumbang kepada peningkatan penghasilan padi dan pendapatan pesawah padi. 

“Penemuan penyelidikan ini dimanfaatkan secara terus oleh pesawah dengan sasaran meningkatkan hasil padi daripada 5.2 tan metrik sehektar kepada sekurang-kurangnya 7 tan metrik sehektar,”ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan PadiU Putra Ke Arah Peningkatan Hasil dan Pendapatan Pesawah di Jelapang Padi di Pusat Belian Padi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kerandang dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian & Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dan ADUN Jabi, Mohd Iskandar Jaafar. - UTUSAN ONLINE