Ismail Mohamed
Ismail Mohamed

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed berkata, antaranya 28 hektar padi di Kluang yang melibatkan tiga petani dengan anggaran kerosakan tanaman seba­nyak RM14,000.

“Selain itu, kawasan seluas 0.1 hektar tanaman cendawan di Mer­sing turut terjejas melibatkan seorang pengusaha kerugian sebanyak RM9,000,” katanya dalam sesi penggulungan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Bagi kategori buah-buahan katanya, 67.40 hektar kawasan terjejas di dua daerah iaitu 26.80 hektar di Mersing melibatkan 17 petani dengan nilai kerosakan RM129,000 dan di Segamat pula membabitkan kawa­san 40.60 hektar yang diusahakan 24 petani dengan nilai kerosakan RM86,000.

Ismail berkata, seluas 70.41 hektar kawasan penanaman sayur-sayuran turut terjejas, iaitu 17.60 hektar yang melibatkan 11 petani dengan nilai kerosakan RM98,000 di Mer­sing.

Katanya, di Segamat pula melibatkan 52.81 hektar dengan melibatkan 43 petani serta nilai kerosakan kira-kira RM132,000.

Justeru, Jabatan Pertanian nege­ri akan memberikan bantuan berupa input pertanian kepada para petani yang terjejas untuk memulihkan semula tanaman mereka.

“Jabatan Pertanian akan terus membantu para petani dalam bentuk menyediakan pam air dan tangki mudah alih kerana kemudahan ini melibatkan kos yang lebih rendah ber banding telaga tiub.

“Bantuan kemarau dalam bentuk telaga tiub hanya tertumpu kepada projek yang berkeluasan dan berimpak besar, iaitu projek tersebut memberi sumbangan kepada pengeluaran makanan negara,” jelasnya.

Katanya, tahun lalu jabatan berkenaan telah membantu membina sebanyak 15 telaga tiub di Projek Sayuran Komersial Sengkang Bukit Gambir di Tangkak dengan kos hampir RM1 juta melibatkan kawasan seluas 240 hektar dan 120 petani.