Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, daripada jumlah itu 500,000 pokok adalah jenis Musang King yang didaftarkan melalui Jabatan Pertanian.

“Kementerian sedang berusaha membangunkan aplikasi dilengkapi dengan kod respons pantas unik (QR Code) yang mana pengguna hanya membuat imbasan menggunakan telefon dan semua info berkaitan durian tersebut akan dipaparkan misalnya lokasi pengeluaran seperti lokasi dusun atau pokok mana?.

“Ini akan membantu orang ramai mengenal Musang King yang asli atau sebaliknya. Selain itu menggalakkan kita mengumpul data daripada setiap pokok untuk direkod contohnya sebatang pokok boleh mengeluarkan 50 biji durian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa taklimat pengusaha Festival Malaysia Durian Nanning, China, di sini hari ini.

Terdahulu, festival julung kali dianjurkan itu akan diadakan bermula Rabu hingga Sabtu ini di Nanning bagi memperkenalkan durian Malaysia kepada pengguna dan pihak industri negara itu.

Ahmad Shabery berkata, sebanyak lima tan metrik durian sejuk beku Musang King dan jenis lain dihantar ke negara terbabit bagi tujuan promosi dan jualan.

“Sebahagian durian dihantar melalui kapal laut dan udara.

Sebanyak 250 jenama produk berkaitan raja buah, termasuk buah-buahan lain seperti nangka, manggis, nanas dan sarang burung walit akan dibawa ke sana,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, negara jiran seperti Thailand dan Singapura tidak perlu gusar berikutan usaha Malaysia mengeksport durian ke China kerana ia merupakan sebahagian strategi pasaran.

“Saya percaya durian Thailand ada penggemarnya sendiri. Cuma ini peluang Malaysia menampilkan cita rasa tersendiri kerana kita ada Musang King, Black Thorn dan sebagainya yang mempunyai keistimewaan.

“Di Singapura pula, saya percaya mereka mampu ‘bayar lebih’ dan orang sana lebih berkemampuan memberikan pulangan kepada pengusaha tempatan. Tidak ada sebab untuk hal dirisaukan,” katanya.