Antara yang menarik perhatian ialah mesin basuh yang mempunyai satu lagi mesin basuh di dalamnya dan juga peti suara 'boomboxes' yang boleh memainkan kaset berbanding penyambungan menggunakan Bluetooth dan pemacu pena sebelum ini.

Namun yang paling 'gila' setakat ini menurut pemerhati teknologi global ialah komputer riba Razer Project Valerie yang kini masih di dalam peringkat konsep.

Bagi pemerhati teknologi, Project Valerie merupakan komputer riba masa depan walaupun ia lebih tebal berbanding komputer riba biasa yang kini semakin menipis.

Project Valerie, laptop paling 'gila' abad ini

Malah, beratnya juga lebih 5 kilogram berbanding komputer riba yang normal dengan spesifikasi biasa.

Ketebalan itu merupakan pengorbanan yang perlu dilalui jika anda ingin memiliki sebuah komputer riba yang mempunyai tiga skrin dengan saiz 17 inci setiap satu.

Setiap skrin yang mempunyai paparan 4K IGZO itu menggunakan teknologi skrin Nvidia G-Sync yang boleh digelongsor keluar sebaik sahaja komputer riba dibuka.

Ini sudah pasti bagaikan mimpi indah bagi mereka yang sering melakukan tugasan suntingan video dan foto jika Razer Project Valerie ini dikomersialkan.

Bukan hanya mereka, menurut Razer, Project Valerie sebenarnya amat sesuai untuk mereka yang bermain permainan digital disebabkan ia dilengkapi dengan sistem Nvidia Surround dengan  paparan 180 darjah.

Project Valerie, laptop paling 'gila' abad ini

Malah kata Razer, skrin komputer riba ini juga mampu mengendalikan sistem warna Adobe RGB sepenuhnya.

Selain  itu, Project Valerie juga dilengkapi dengan kad grafik GeForce GTX 1080 dengan RAM video 8GB dan 32GB RAM.

Ia dibangunkan menggunakan platform komputer riba Razer Blade Pro dan para pemerhati teknologi menganggarkan ia akan dijual dengan harga paling minimun AS$6,000 (kira-kira RM26,836).

Jika Razer Project Valerie ini menjadi kenyataan dan mahu dimiliki, pastikan ia sentiasa mendapat bekalan elektrik sepanjang masa, kerana bateri komputer riba ini akan habis dalam tempoh 14 saat. - UTUSAN ONLINE