Teknologi baharu itu akan menjadi alternatif untuk menyelesaikan masalah pelupusan sisa pepejal di kawasan pihak berkuasa tempatan negara ini.

Naib Chenselor Universiti Tek­no­logi Malaysia (UTM), Profesor Datuk Ir. Dr. Wahid Omar berkata, projek hasil kerjasama pemindahan teknologi antara UTM dengan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) itu juga berpotensi mengeluarkan mesin memproses sisa pepejal untuk dipasarkan ke negara-negara Asia.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas melancarkan sistem tersebut beliau berkata, mesin tersebut boleh memproses semua jenis sisa pepejal dan menukarnya kepada menjadi bahan makanan ternakan ruminan, baja dan lain-lain bahan bio mesra alam sekitar sehingga menyumbang kepada zero waste di sesuatu kawasan.

“Sebuah mesin yang berke­upayaan memproses dua tan sisa pepejal dalam masa sejam dan boleh menjalankan empat pusi­ngaan sehari mampu menerima semua sisa pepejal dari empat instusi di Hub Pendidikan Pagoh,” katanya.

Yang turut hadir Timbalan Naib Chenselor UTM (Pembangunan), Profesor Dr. Azlan Abdul Rahman, Ketua Eksekutif UTM Holding Sdn. Bhd., Ahmad Kamil dan Pensyarah Kanan UTM, Dr. Pramila Tamunaidu selaku pengurus projek tersebut.

Ketika ini katanya, UTM dan Malaysia-Japan Advanced Researh Centre (MJARC) dengan kerjasama UTM Holding Berhad akan menjalankan kajian pembangunan lanjut terhadap usaha mengkomersialkan produk tersebut sebelum dipasarkan dalam tempoh enam bulan.

Dr. Wahid yakin, pojek tersebut akan diterima baik bukan sahaja dari kesemua universiti awam di hub pendidikan tersebut bahkan masyarakat di sekitar Pagoh amnya.

“Pusat ini juga akan melahirkan graduan dan usahawan mahir yang inovatif dalam teknologi dan pengurusan sisa pepejal pada masa depan,” tambahnya.

Pengurus UTM-MJARC, Dr. Pramila dalam teklimatnya pula memberitahu, sistem tersebut boleh menjadi alternatif kepada pelupusan sampah biasa kerana merupakan alternatif mesra alam berbanding berbanding tapak pelupusan sampah konvensional dan insinerator.

“Kedua-dua rektor ini yang masing-masing berukuran dua meter kubik menggunakan air dan tekanan rendah dan kedua-duanya mampu memproses empat tan metrik sisa pepejal dalam masa sejam,” katanya.

Beliau memberi contoh ba­gaimana sebuah kawasan pelupusan sampah di Melaka hanya mampu melupuskan sampah untuk tempoh dua tahun sedangkan usaha memulihkannya memerlukan tempoh 30 tahun.

Katanya, rektor padat itu boleh direka bentuk mengikut kese­suaian dan keperluan, mesra alam dan fleksibel terhadap sisa pepejal, mudah dikendalikan serta memerlukan masa singkat untuk pemprosesan.

“Produk ini boleh digunakan sebagai baja berasaskan bio, bahan untuk memulihkan tanah, makanan haiwan dan lain-lain kegunaan,” ujarnya.