Satelit seberat 100 kilogram yang dilancarkan semalam menggunakan roket Falcon 9, akan melaksa­nakan teknik-teknik mengesan dan mengumpul serpihan bahan buangan di angkasa lepas, lapor BBC,

Sistem digelar RemoveDebris sedang bergerak menuju stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dan tiba pada Rabu ini sebelum angkasawan memulakan eksperimen berkenaan akhir Mei ini.

Bahan buangan di angkasa lepas menjadi masalah semakin meruncing dengan lebih 7,500 tan peralatan berlebihan kini berlegar-legar mengelilingi bumi.

Bahan buangan itu merangkumi bahagian roket lama dan kapal ang­kasa yang tidak berfungsi seperti skru dan tanggalan cat yang boleh mengakibatkan perlanggaran berbahaya kepada misi-misi operasi.

RemoveDebris akan membuat demonstrasi teknologi yang boleh digunakan untuk membersihkan sampah-tekno ini.

Satelit tersebut akan ditempatkan terlebih dahulu di stesen berkenaan untuk beberapa minggu sebelum dilepaskan bagi memulakan siri operasi tersebut.

RemoveDebris turut membawa “sampah” sendiri iaitu dua kiubsat (satelit kecil berbentuk empat segi sama yang digunakan untuk penyelidikan angkasa lepas) dan kemudiannya akan dilepaskan sebelum dikesan untuk dikutip semula.

Bagi salah satu daripada dua kiubsat tersebut, “ibu” satelit akan menunjukkan bagaimana teknologi itu berfungsi menggunakan pengesanan laser (Lidar) dan teknologi kamera untuk memantau dan mengenal pasti serpihan-serpihan di orbit.

Manakala, kiubsat yang kedua pula akan “menangkap” objek tersebut menggunakan jaring.

Demonstrasi lembing kecil untuk menangkap sampah juga akan dilakukan untuk mengetahui bagaimana peralatan tersebut bergerak dan memberi impak ke atas permukaan dalam graviti-mikro.

Projek yang melibatkan kepakaran dari seluruh Eropah dikendalikan melalui Pusat Angkasa Universiti Surrey.