Buat julung kalinya Malaysia dan Switzerland bekerjasama melalui sebuah projek berprestij yang dinamakan Cabaran Inovasi Swiss Asia (SICA) 2017.

Usaha sama ulung yang unik dan pertama di Malaysia ini adalah hasil gandingan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama University of Applied Sciences & Arts Northwestern, Switzerland (FHNW).

Projek berkenaan berbentuk perpindahan ilmu dan pengalaman untuk menaik taraf dan memperkasa pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan, serta memartabatkan keusahawanan teknologi pada peringkat global.

Menurut pengarah projeknya, Dr. Rahayu Tasnim, objektif utama usaha sama itu adalah untuk membantu pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) pelbagai bidang dan memupuk kebolehan keusahawanan global yang berteraskan penggunaan serta penghasilan teknologi baharu yang mampu memberi faedah serta berdaya saing secara kompetetif pada arena antarabangsa.

“Fokus diberi kepada 100 usahawan dan bakal usahawan teknologi yang berpotensi untuk memasar dan mengembangkan inovasi mereka pada pasaran global, khususnya pada pasaran Eropah.

“SICA 2017 kini memasuki fasa ketiga apabila pada fasa ini, terdapat beberapa barisan program serta acara rangkaian yang telah dirancangkan untuk penyatupaduan hubungan industri-akademik yang baharu demi kerjasama antara kedua-dua pihak pada masa hadapan,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohammad Diah; Timbalan Duta Switzerland ke Malaysia, Bardwill Werner dan Pro Naib Canselor UTM Kuala Lumpur, Prof. Dr. Durrishah Idrus.

Jelas Dr. Rahayu, pertandingan yang mengambil tempoh sembilan bulan bermula pada Januari itu menggunakan konsep mentor bagi membimbing syarikat baharu untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Seramai 187 peserta dari Malaysia dan negara-negara ASEAN turut menyertai cabaran ini. Ia bukan sahaja disertai para penyelidik, malah ahli-ahli perniagaan dan syarikat yang baharu berusia dua tahun.

“Dari 187, hanya 100 peserta dipilih dan dibimbing menerusi sistem mentor (one to one) dan kesemua mentor berpengalaman dalam bidang inovasi ini adalah dari Switzerland dan Malaysia.

“Sepanjang program ini berlangsung, kami juga memberi galakkan kepada semua 100 pasukan dan pada peringkat akhir, hanya pilih 25 peserta dipilih untuk dibimbing hingga ke peringkat global,” katanya.

Tambahnya, sebanyak 17 acara diadakan sepanjang sembilan bulan projek ini dilaksanakan dan SICA kini semakin dikenali di seluruh Malaysia dan serata Asia.

“Secara amnya, cabaran
 ini akan diteruskan setiap tahun dan harap dapat 
disertai lebih ramai orang.

“Ini juga platform terbaik 
untuk menembusi pasaran Switzerland dan peluang membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia sememangnya kehadapan dalam bidang inovasi,” katanya.