Masih dalam misi untuk mencari pendakwah muda dari seluruh negara, program Da’i seharusnya dinilai melalui kemampuan program ini yang mahu memastikan kita tidak akan ketandusan lapisan penceramah agama.

Tidak sekadar hiburan, penerbit rancangan, Shukri Ibrahim yakin usaha ini akan terus disambut lebih ramai anak muda pada masa hadapan.

“Sejak dari awal penerbitan program ini, tujuan kami adalah untuk mencari pendakwah dalam kalangan anak muda. Ternyata untuk musim keempat ini Da’i Pendakwah Nusantara lebih matang dalam melaksanakan misi tersebut.

“Kalau boleh kami bandingkan jumlah tontonan penonton setiap minggu hampir sama membuktikan program ini sudah mempunyai pengikut tersendiri. Secara tidak langsung, memberitahu kita penonton sebenarnya lebih dahagakan program berbentuk keagamaan,” katanya.

Membariskan 11 peserta pada musim ini, ternyata Shukri yakin dengan kemampuan setiap peserta untuk menghadapi dunia sebenar. Jelasnya, walaupun kebanyakan mereka masih lagi bergelar pelajar namun dengan ilmu yang ada sedikit sebanyak boleh memberi ruang untuk mereka berkongsi pengetahuan.

“Macam dikatakan juri, kesemua peserta ini sekurang-kurangnya memerlukan masa 10 tahun untuk lebih mantap. Tetapi ketika ini juga mereka sebenarnya sudah menerima tawaran untuk berkongsi ilmu yang ada.

“Bagi saya tujuan program ini untuk menyediakan platform kepada anak muda untuk menjadi pelapis pendakwah pada masa depan itu tidak harus dinafikan. Selepas empat musim saya tidak menolak pada musim hadapan juga kita akan terus untuk mencari peserta dalam lingkungan umur yang sama,” katanya.

Niezal tahu kemampuan diri

Sementara itu, Da’i Niezal diangkat menjadi juara program realiti ini. Melalui kemenangan itu Niezal, atau nama sebenarnya Mohd. Sufwan Niezal Sabri, 19, membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000. Niezal yang berasal dari Terengganu, juga turut membawa pulang pakej umrah untuk dua orang berserta trofi.

Ketika ditemui, Niezal tidak menolak fokus utamanya kini adalah untuk kembali meneruskan pengajiannya di Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah, Pahang dalam jurusan Diploma Dakwah dan Pengurusan.

“Perkara utama yang akan saya buat kini adalah untuk kembali meneruskan pengajian saya yang tertangguh di Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah. Ketika ini saya baru sahaja menghabiskan semester pertama.

“Tentang kemenangan ini memang saya tidak jangka. Tetapi ini tidak sekadar kemenangan bagi saya tetapi hadir dengan suatu tanggungjawab yang besar. Besar harapan saya untuk mereka di luar sana untuk sentiasa mendoakan saya agar mampu meneruskan dakwah,” katanya.

Bergelar anak yatim selepas kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia. Ternyata kehidupan yang dilalui Niezal tidak seindah mana. Merupakan anak sulung daripada empat beradik, bukan mudah sebenarnya untuk dibesarkan berjauhan dari saudara kandung. Jelasnya, yang dibesarkan di rumah anak yatim selepas kehilangan tempat bergantung, kala ini dia masih belum memikirkan apa yang akan dilakukan dengan wang kemenangan sebanyak RM50,000 itu.

“Apa yang membuat saya lebih tertarik adalah hadiah pakej umrah untuk dua orang. Sudah menjadi niat saya untuk membawa ibu saudara ke sana kerana dia banyak membantu saya dan adik-beradik yang lain.

“Tentang wang kemenangan itu pula, saya masih belum fikirkan. Sebab memang tidak sangka sebenarnya untuk menang,” katanya.

Ditanya persediaan dia menjadi tempat rujukan mengenai soal agama selepas ini. Niezal tidak mampu menolak itu adalah salah satu tanggungjawab yang perlu dia galas segera. Bagaimanapun berdasarkan pengetahuan dan umurnya dia yakin masih banyak yang perlu dia belajar.

“Saya akan berhati-hati untuk berkongsi apa-apa pendapat sekalipun, saat ini saya perlu tahu kemampuan yang saya ada.

“Bagaimanapun setiap kesilapan yang dilakukan, saya akan segerakan permohonan maaf, sebab ketika ini juga saya masih belajar,” katanya.

Sementara itu, dua lagi peserta yang berjaya ke peringkat akhir pertandingan tersebut adalah Da’i Nasrul dan Da’i Saiful. Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 sebuah Ipad, serta produk Almas Beauty & Health.

Membariskan 11 peserta pada awalnya, program yang sudah berlanjutan selama 12 minggu ini juga melantik dua Murabbi (mentor) iaitu Ustaz Zul Ramli dan Dr. Rubiah K. Hamzah. Sementara itu, Datuk Kazim Elias pula bertindak sebagai Mursyid (ketua mentor).