Melalui produk Glue Laminated Timber Railway Sleepers from Malaysia Tropical Heavy Hardwood yang berpotensi untuk digunakan dalam industri bahan bina pengangkutan, pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan.

Prof. Madya Dr. Siti Hamidah Mohd Setapar dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula memenangi Semi Grand Award melalui ciptaan Biosurfactant Micellar Nano System in Wellness Industry yang bakal membantu industri  farmaseutikal dan perubatan.

Dua lagi pemenang Semi Grand Award ialah Assoc.Prof. Dr. Palsan Sannasi Abdullah dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan ciptaan AcBioC dan Dr. Syahida Ahmad dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan ciptaan Danio Assay Kit: Robust in Vivo Toxicity Screening Test.

Program dwitahunan yang berlangsung selama tiga hari di Stadium Tertutup, Gong Badak dekat sini disertai 40 buah institusi pengajian tinggi awam dan swasta, di samping tujuh Politeknik dan dua buah Kolej Komuniti.

Sebanyak 89 pingat emas, 96 pingat perak dan 183 pingat gangsa telah dianugerahkan kepada penyelidik di samping anugerah khas kepada 12 produk daripada 416 produk inovasi yang diketengahkan kali ini.

Penutupan program tersebut yang pertama kali diadakan di luar Kuala Lumpur disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir, petang ini.-UTUSAN ONLINE