“Dahulu saya belajar di Sekolah Menengah Vokasional Klang, Selangor. Selepas itu, selama kira-kira empat tahun saya sempat bekerja sebagai juru kimpal besi di sebuah bengkel di Sentul, Kuala Lumpur. Selepas itu, saya juga sempat bekerja dengan sebuah kilang besi selama dua tahun,” katanya.

Selepas mendirikan rumahtangga pada 2005, dia mengambil keputusan kembali ke Tanjung Karang, Selangor untuk beralih angin mencuba bidang pekerjaan lain.

“Saya menjadi pemandu lori bagi membawa barangan hasil kampung, selepas itu menjadi pemandu treler dan kali ini membawa muatan yang lebih banyak dan berjarak jauh. Pendapatan juga makin besar, malah saya turut membawa treler secara upah persendirian di luar waktu kerja,” katanya.

Namun, takdir Allah SWT tidak siapa dapat menjangkakannya. Norwanizam ditimpa musibah yang membawa perubahan besar kepada kehidupannya.

“Pada 2009, saya terjatuh daripada lori semasa mengikat kanvas bagi menutup guni padi hingga menyebabkan paha patah. Lebih sembilan bulan saya terlantar, biarpun berpengalaman dan mempunyai lesen, saya terpaksa melupakan kerjaya ini. Kaki saya tidak mampu lagi menahan perjalanan yang jauh. Akhirnya saya terpaksa berhenti kerja.

“Malangnya oleh kerana kemalangan itu tidak melibatkan masa kerja rasmi, maka saya tidak berhak membuat sebarang tuntutan kepada majikan,” ceritanya.

CARI ALTERNATIF LAIN

Berlalunya tempoh bertenang selama sembilan bulan, Norwanizam mulai berfikir untuk kembali mencari pekerjaan. Namun statusnya sebagai orang kurang upaya membataskan keupayaannya. Menyedari mempunyai kemahiran dalam bidang kimpalan besi, terfikir untuknya mencuba nasib memulakan perniagaan sendiri dalam bidang berkaitan.

“Sebelum itu, saya cuba dahulu menternak ayam. Saya berjaya mendapat pinjaman modal perniagaan daripada sebuah agensi kerajaan sebanyak RM12,000. Malangnya usaha itu gagal, dua kali terpaksa menanggung kerugian kerana ayam-ayam mati. Selepas gagal, baharulah saya serius kembali sebagai tukang besi,” kongsinya.

Bermula 2012 dengan hanya bermodalkan wang simpanannya, Norwanizam mula membuat kerja-kerja mengimpal besi di hadapan rumahnya. Tempahan datang agak memberangsangkan. Namun keadaannya pada waktu itu masih di tahap cukup-cukup makan.

“Saya hanya mendapat sentuhan dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) mulai tahun 2014. Antara perkara yang paling kami dambakan sangat pada waktu itu ialah memiliki rumah sendiri. Maklumlah, sekian lama terpaksa menumpang di rumah mertua, sebuah bilik dikongsi anak-beranak. Alhamdulillah, berkat adanya zakat, maka hajat saya tercapai,” ujarnya.

Selain bantuan rumah, LZS turut menghulurkan pelbagai jenis bantuan lain seperti bantuan pendidikan anak-anak, bantuan hari raya dan bantuan perniagaan kepadanya.

“LZS terus memantau keadaan saya dan apabila melihat perniagaan besi ini berpotensi maju, LZS menyarankan agar saya menyewa sebuah tapak yang bersesuaian untuk dijadikan bengkel besi. Alhamdulillah, tahun 2015 saya menerima bantuan modal perniagaan kira-kira RM20,000 bagi tujuan berkenaan. Itu termasuklah sewa premis, modal peralatan dan juga tunai,” katanya.

Mengimbas kembali keadaan hidupnya pada hari ini dan masa silamnya, Norwanizam mengakui bahawa sinar bahagia muncul selepas LZS membantu mereka sekeluarga.

“Kami dahulu hidup sangat sederhana. Masalah tidak cukup wang memang terasa dan saya juga sering terpaksa meminjam. Mujurlah ada orang tua yang memahami dan sanggup membantu. Kegusaran akan bertambah saat menjelangnya hari raya dan musim awal persekolahan.

“Ketika itu, isteri turut membantu membuat kuih-muih untuk dijual. Sebab itu saya bersyukur sangat apabila dibantu zakat. Hari ini kami sekeluarga hidup lebih bahagia dengan rumah tiga bilik yang disediakan LZS,” katanya.

Kini, dia lebih memfokuskan untuk mengembangkan perniagaan kimpalan besinya. Apa yang agak merunsingkan, sejak berpindah dari tapak lama di depan rumah ke bengkel barunya, perniagaannya sedikit merosot. Pendapatannya juga mulai terjejas.

“Saya amat berharap, semoga dengan adanya usaha LZS mempromosikan perniagaan saya ini, maka lebih ramai orang tampil membuat tempahan. Insya-Allah hasil kerja saya memang dijamin berkualiti. Malah, saya sudah banyak membuat kerja pemasangan di pelbagai tempat, sama ada di rumah kediaman mahu pun di masjid,” jelasnya yang amat berharap agar pada satu hari nanti akan turut mampu menjadi pembayar zakat.

Nota: Norwanizam menjalankan perniagaannya di Tanjung Karang dan sedia menerima tempahan kerja besi seperti pintu pagar, pintu dan jeriji (grill), atap (awning), kerja-kerja kayu seperti buaian, pergola dan sebagainya. Dia boleh dihubungi di talian 012-257 5956.