Pada hari ini, tanpa diduga kehidupan hampir 107,508 para nelayan jauh lebih baik dan stabil dengan pelbagai inisiatif yang diberikan oleh kerajaan termasuk inisiatif Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk memberi fokus dalam meningkatkan pendapatan nelayan dan memajukan industri perikanan negara.

Siapa sangka, kata-kata ‘nelayan itu miskin’ semakin sepi didengar.

Ini membuktikan ekonomi nelayan mula menunjukkan hasil yang amat positif dengan kadar kemiskinan berjaya diturunkan daripada 73.2 peratus pada 1970 kepada 11.8 peratus pada 1987 dengan penurunan sebanyak 61.4 peratus.

Malah, industri perikanan itu sendiri merupakan satu bidang yang menjana pendapatan negara.

Ia selari dengan aspirasi untuk memastikan nelayan maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Demi memastikan kehidupan nelayan terus terjamin, LKIM sentiasa berusaha meningkatkan ekonomi golongan nelayan termasuk menyediakan pelbagai prasarana dan kemudahan kepada mereka untuk meningkatkan pendapatan.

Malah menurut Pengerusi LKIM, Datuk Irmohizam Ibrahim, agensi itu akan memperhebatkan langkah bagi meningkatkan pendapatan nelayan menerusi Jihad Memerangi Orang Tengah di Sub Sektor Perikatan (Jimot).

Katanya, langkah baharu itu akan memberi fokus bukan sahaja meningkatkan pendapatan nelayan sekali gus memajukan industri perikanan negara.

“Antara langkah yang diambil ialah meningkatkan import dan melaksanakan larangan eksport, memperbaiki stok ikan, membantu meringankan kos operasi nelayan serta memudahkan pendaratan ikan.

“Selain itu, kita juga akan meningkatkan trading stock di bawah kawalan LKIM dan pengawalan serta penguatkuasaan sama ada di darat atau laut, memperbaiki rantaian nilai dan bekerjasama dengan semua agensi kerajaan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS),” katanya ketika berucap ketika Majlis Penghargaan Media LKIM 2014 di ibu negara baru-baru ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah LKIM, Abdul Rahman Ellis dan pegawai kanan pertubuhan media.

Walaupun dengan kelebihan pelbagai inisiatif yang diberikan kerajaan, tidak dapat dinafikan nelayan turut berperanan menyumbang kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat termasuk bagi memastikan bekalan ikan sentiasa mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat.

Dalam pada itu, terdengar luahan daripada orang ramai bahwa terdapat kalangan nelayan mengambil kesempatan menaikkan harga ikan sesuka hati. Mereka berbuat demikian tanpa mengetahui punca sebenar kenaikan harga ikan di pasaran.

Enggan berterusan menjadikan nelayan sebagai bahan kutukan orang ramai, LKIM dengan kerjasama beberapa agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Jabatan Perikanan dan AgroBank menjadi tulang belakang bagi menjamin bekalan ikan sentiasa mencukupi untuk menampung keperluan penduduk yang semakin meningkat.

Agensi terbabit juga berusaha menangani orang tengah yang memanipulasi pasaran yang menyebabkan nelayan terkena tempiasnya.

Bukan sahaja nelayan, malah LKIM juga sering menjadi mangsa apabila harga ikan melambung di pasaran.

Punca kenaikan harga ikan untuk jangka panjang adalah disebabkan kenaikan kos operasi, kekurangan stok ikan di laut dan tekanan permintaan akibat perubahan corak penggunaan.

Punca sampingan atau jangka pendek pula ialah manipulasi orang tengah secara berlebihan, kelemahan rantaian nilai, perubahan isu semasa dan kejatuhan mata wang yang kini dalam usaha untuk diatasi.

Sementara itu, Irmohizam berharap pihak media sentiasa memberi sokongan terhadap usaha yang dilakukan oleh LKIM dalam peningkatan taraf sosioekonomi nelayan.

“Peranan media tidak boleh dipisahkan umpama “irama” dan “lagu”, jika dipisahkan, cacatlah ia,” katanya sambil mengakui media massa banyak membantu agensi tersebut membela nasib masyarakat nelayan.

Pada majlis tersebut, Ketua Meja Sains dan Teknologi, Utusan Malaysia, Laupa Junus merangkul tempat pertama bagi Anugerah Kategori Media untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 beserta sijil.

Artikelnya bertajuk Dengar keluh-kesah nelayan yang mengisahkan isu beberapa rumah nelayan di Johor yang tidak sempurna pembinaannya dan membimbangkan nelayan itu mendapat perhatian juri dalam pertandingan kali ini.